1: PERBUATAN ZAHIR DAN SUASANA HATI
SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH
BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah
memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan
kepada dua jenis iaitu perbuatan
zahir dan perbuatan hati atau
suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu.
Beberapa orang
boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung
dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza
antara seorang dengan seorang yang lain.
Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan
bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh
amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun
ianya amalan batin. Hati yang bebas
daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati
yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa
membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah
s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak
menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai
alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu.
Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang
yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk
kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat
sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa
sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan
perbatasan. Oleh kerana itu orang arif
tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t
atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk.
Perbuatan Allah
s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi
Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.
Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat
dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan
zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat
bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat.
Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya
menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan
yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan
dengan Tuhan. Pergantungan mereka
hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah
s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan.
Seseorang manusia
boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada
Allah s.w.t.
Kalam Hikmat 1 yang
dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada
hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika
kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan
pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah.
Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas
menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan
pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun.
Pergantungan kepada
Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup.
Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan
hasil yang diharapkan.
Kegagalan
mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah
s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia
melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan
bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan
kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak
menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian menjadikan orang yang
beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka
yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka
apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak
beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada
amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila
mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang
mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika
ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil,
mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang
berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t
mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir
tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan
sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya
menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana
kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin
mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di
dunia. Dia mengharapkan semoga amal
kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah
rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang
lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit,
kemiskinan dan sebagainya. Bertambah
banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan
keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan
hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki
syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah,
terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka
tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka
sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan.
Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan
gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang
paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan,
mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka
sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
Apabila rohani
seseorang bertambah teguh dia melihat amal
itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada
faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah
s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya
kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang
kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang
sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal
yang biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia
berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah
orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui
amalan tarekat tasauf.
Jadi:
1.
ada golongan yang bersandar kepada amal
semata-mata dan
2.
ada pula golongan yang bersandar kepada
Tuhan melalui amal.
Kedua-dua golongan
tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan
pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan
usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan
mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih
diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti
sembahyang dan berzikir. Jika mereka
tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan
harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka
tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan
anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara
bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada
ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan
sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang
menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan
ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada
ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan
keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya, sekiranya
Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi.
Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada
amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat
bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika
tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan
yang dapat dilakukannya.
Allah s.w.t
berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml ) Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya
adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak
terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya
sendiri. Makam ini dinamakan makam
ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang
paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang
ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan
atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau
pengeluar kesan.
Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang
itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia
melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah
s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam
perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya
terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau
penyebab. Pandangannya beralih kepada
kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t
kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya.
Seterusnya
terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali
Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan
dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna
dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan
mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala
sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia
seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri
kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t
yang faqir.
.
mantab
ReplyDeletemantab
ReplyDeletealhamdulillah ana dapat habiskan walaupan otak hampir nk pecah...
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletetrimaksih...
ReplyDeletealhamdulillah. terima kasih
ReplyDeleteSemoga aku diberi faham sebagaimana yg dikehendakiNya.
ReplyDelete