53 & 54: WASPADA MEMILIH SAHABAT.
JANGAN MENJADIKAN SAHABAT (TEMAN HIJRAH) AKAN ORANG YANG TIDAK
MEMBANGKITKAN SEMANGAT KEPADA ALLAH S.W.T DAN PERKATAANNYA TIDAK MEMIMPIN KE
JALAN ALLAH S.W.T.
KEMUNGKINAN ENGKAU KELIRU TETAPI MENGANGGAPKAN ENGKAU BENAR LANTARAN
PERSAHABATAN ENGKAU DENGAN ORANG YANG LEBIH RENDAH HALNYA (KEADAAN ROHANINYA)
DARI KAMU.
Orang yang
melakukan perjalanan cenderung membawa sahabat bersama-samanya. Ada sahabat
berfungsi sebagai khadam. Ada sahabat yang berguna untuk berbicara dan ada
sahabat yang boleh menjadi penunjuk jalan.
Muhajirin (orang
yang berhijrah) kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya tidak memerlukan khadam. Dia
mungkin memerlukan sahabat berbicara, tetapi
yang sangat diperlukannya ialah sahabat yang boleh menjadi penunjuk jalan.
Seseorang haruslah
berhati-hati dalam memilih sahabat penunjuk jalan. Orang yang hendak
dijadikan pembimbing itu hendaklah seorang yang boleh membangkitkan semangat
untuk bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan perkataannya mengandungi hikmah yang
menggerakkan hati agar menghadap Allah s.w.t.
Orang yang layak membimbing orang lain pada jalan kerohanian
adalah orang yang telah menempuh sendiri jalan tersebut dan telah mengalami
hal-hal (hakikat-hakikat) serta memperolehi makrifat. Mungkin
sukar untuk kita mengetahui hal sebenar orang yang demikian namun, sekiranya
diperhatikan, pengalaman dan pencapaiannya terbayang pada kelakuan dan
pertuturannya.
Kelakuannya
membangkitkan semangat orang di sekelilingnya agar beramal bersungguh-sungguh
bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Perkataannya pula mengandungi
nasihat dan tunjuk ajar yang menggerakkan hati supaya menghadap kepada Allah
s.w.t. Apabila orang yang sedang
menjalani jalan kerohanian bersahabat dengan orang arif yang demikian, dia akan
dapat menghilangkan kekeliruan yang mungkin dialaminya semasa pengembaraannya.
Sekiranya si salik memilih sahabat dari kalangan orang yang tidak pernah
mengalami zauk hakikat dan makrifat dan kedudukan kerohanian orang tadi jauh
lebih rendah daripadanya, si salik itu tidak akan mendapat bimbingan yang
diharapkannya. Kehadiran sahabat yang demikian mungkin tidak
membangkitkan semangat untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t dan ucapannya
tidak melahirkan keghairahan menghadap Allah s.w.t. Lebih bahaya lagi jika dia
memberi petunjuk yang salah kepada si salik.
Kemungkinan terjadi
si salik melakukan kesalahan tetapi dia tidak menyedari akan kesalahan
tersebut, dan sahabatnya juga tidak menyedarinya. Si salik itu terus berpegang
pada pendapat yang salah dan sahabatnya memberi sokongan. Dia menganggap benar
apa yang sebenarnya salah. Sekiranya perkara yang salah itu melibatkan soal
akidah, kemungkinan salah iktikad itu membawa kepada kekufuran.
Bertambah jauh perjalanan bertambah banyak perkara pelik yang dialami
dan kekeliruan yang dihadapi menjadi bertambah sulit. Hanya
sahabat yang terdiri daripada orang arif dapat menerangkan setiap pengalaman
kerohanian yang dilalui dan menyingkap segala kekeliruan yang dihadapi.
Syaitan akan
sentiasa mencari jalan untuk menghalang dan menyesatkan orang yang cuba
berjalan di atas jalan yang lurus.
Katakanlah:
“Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak
memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada
kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir
musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam),
seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi (di tempat
yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat
yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya):
‘Marilah
bersama-sama kami’. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah
sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada
Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian makhluk”. (Ayat 71 : Surah
al-An’aam)
No comments:
Post a Comment