38: SEBARKAN KEBAIKAN MENGIKUT KEMAMPUAN.
HENDAKLAH BERBELANJA AKAN KEKAYAANNYA BAGI MEREKA YANG TELAH SAMPAI
KEPADA ALLAH S.W.T DAN MENURUT KADAR KEMAMPUANNYA BAGI YANG SEDANG BERJALAN
KEPADA ALLAH S.W.T.
Hikmat 38 di atas
mengemukakan ujian kepada hati sejauh mana kekuatannya beriman, berserah diri
dan yakin dengan janji Allah s.w.t. Ia juga menjadi pengukur pada tahap mana
seseorang yang berjalan pada jalan kerohanian itu berada. Hikmat di atas
menjurus khusus kepada harta kekayaan.
Harta merupakan
sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk
menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat
perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah juga memerlukan harta.
Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain
juga memerlukan harta.
Oleh kerana
besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada
aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi. Pendidikan dan
kemahiran disalurkan ke arah ekonomi. Kejayaan atau kegagalan dinilai melalui
faktor ekonomi. Perhatian manusia sentiasa tertuju kepada soal ekonomi atau
harta dalam membuat sesuatu keputusan.
Apabila harta sudah
bertapak dalam jiwa seseorang manusia akan menjual maruah dirinya kerana harta.
Orang miskin sanggup diperkudakan oleh orang kaya kerana harta. Orang kaya
sanggup melakukan rasuah dan penganiayaan kerana harta. Harta menjadi raja
menguasai jiwa raga manusia. Segala sesuatu dinilai dengan harta. Persahabatan
harus dibeli dengan harta. Kesetiaan juga perlu dibayar dengan harta.
Hikmat di atas menarik perhatian orang yang sedang berjalan
pada jalan kerohanian agar memerhatikan hatinya, bagaimanakah hubungan hatinya
dengan harta. Ia menyatakan bahawa orang yang telah sampai
kepada Allah s.w.t dan memperolehi makrifat-Nya tidak seharusnya menyimpan harta, hendaklah dia membelanjakan ke
jalan Allah s.w.t dan yakin dengan janji Allah s.w.t tentang rezekinya.
Orang yang masih dalam perjalanan pula hendaklah membelanjakan ke jalan Allah
s.w.t menurut kesanggupannya. Sejarah banyak menceritakan tentang sikap hamba-hamba pilihan Allah s.w.t
terhadap harta.
Saiyidina Abu Bakar
as-Siddiq r.a menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad
fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Bila Rasulullah s.a.w
bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit buat menguruskan
keperluannya, beliau r.a menjawab, “Cukuplah
Allah dan Rasulullah bagiku”.
Abdul Rahman bin
Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk
kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah s.w.t.
Salman al-Farisi ketika
memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam
daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijualnya dan apa
yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai
modal pusingan, satu bahagian buat belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi
disedekahkan kepada golongan miskin.
Imam as-Syafi’e r.a sekembalinya ke
Makkah dari Yaman telah dihadiahkan puluhan ribu wang emas. Sebelum memasuki
kota Makkah beliau telah mendirikan sebuah khemah di luar kota. Dikumpulkan
golongan fakir dan miskin dan disedekahkan kesemua wang yang diterimanya
sebagai hadiah itu. Setelah kesemua wang itu habis disedekahkan baharulah
beliau masuk ke kota Makkah.
Rabiatul ‘Adawiah hanya
menyimpan sehelai tikar yang usang sebagai sejadah dan sebiji kendi buat
mengisi air untuk wuduknya. Beliau tidak menyimpan makanan untuk petangnya.
Banyak lagi kisah aulia’ Allah s.w.t yang menggambarkan bahawa tidak sebesar
zarah pun hati mereka terikat dengan harta. Mereka melihat pengidupan dunia ini
hanyalah persinggahan sebentar, tidak perlu mengambil bekalan.
Bagi orang yang masih dalam perjuangan dan belum lagi sampai kepada
Allah s.w.t, mereka tidak sanggup berbuat sebagaimana yang dilakukan oleh aulia
Allah s.w.t. Sungguhpun begitu jika dibiarkan harta melekat pada hati akan
membahayakan hati itu sendiri.
Oleh itu biasakanlah
berpisah daripada harta yang disayangi agar rohani akan menjadi lebih kuat
dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:
Hendaklah orang
yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan
rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah
kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan
(sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam
kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah
berlakunya kesusahan. (Ayat 7 : Surah at-Talaaq)
Oleh kerana bidang
ekonomi merupakan salah satu fardu kifayah yang perlu diuruskan demi
kesejahteraan dan kekuatan kaum muslimin, maka Allah s.w.t memilih dari
kalangan kaum muslimin orang-orang tertentu yang dipermudahkan bagi mereka
mengembangkan ekonomi mereka. Allah s.w.t bukakan bagi mereka pintu-pintu
rezeki.
Allah s.w.t kurniakan kepada mereka rezeki
yang melimpah-ruah. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan menadah bekas dan
rezeki dicurahkan ke dalam bekas mereka.
1].Orang yang
menyedari harta kekayaannya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka harta kekayaan
itu menjadi ujian baginya.
2].Orang yang tidak
menyedarinya pula, maka harta kekayaan itu menjadi alat istidraj yang akan
menghempapnya kelak.
Baik ujian mahu pun
istidraj, orang yang memikul harta sebenarnya memikul beban yang
sangat berat. Golongan yang menghadapi hisab yang paling halus di akhirat kelak
adalah mereka yang di dunia memikul harta.
Walaupun memikul harta
merupakan beban yang berat tetapi sebahagian kaum muslimin perlu mengambil
tugas tersebut sebagaimana sebahagian kaum muslimin yang mengambil bidang jihad
fi-sabilillah dan mati syahid di medan perang.
Dari kalangan
nabi-nabi juga ada yang memikul tugas yang berhubung dengan harta, misalnya
Nabi Yusuf a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Daud a.s.
Al-Quran
menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s:
Dia (Yusuf)
berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); kerana
sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara
mentadbirkannya”. (Ayat 55 : Surah Yusuf)
Nabi Yusuf a.s
mengetahui sifat dirinya dan kebolehan yang ada dengannya. Beliau a.s telah
menjalani kehidupan yang membuatkan harta tidak sedikit pun menguasai hatinya.
Beliau a.s juga mengetahui kebolehan menguruskan harta yang Allah s.w.t
kurniakan kepadanya. Demi kebaikan orang ramai Nabi Yusuf a.s menawarkan
dirinya kepada raja untuk memegang jawatan pengurus harta kekayaan kerajaan
Mesir. Raja bersetuju dengan permintaan Nabi Yusuf a.s itu dan beliau a.s
membuktikan kewibawaan dan kebijaksanaan beliau a.s dalam bidang tersebut.
Nabi Sulaiman a.s
juga menguruskan kekayaan dan kekuasaan. Beliau a.s mempunyai sifat-sifat yang
terpuji. Allah s.w.t memanggil hamba-Nya, Sulaiman a.s, sebagai sebaik-baik
hamba. Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s menguruskan kekayaan dan kekuasaan
atas dasar kehambaan kepada Allah s.w.t.
Dan Kami telah
kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman; ia adalah sebaik-baik
hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali
(bertaubat). (Ayat 30 : Surah Saad)
Nabi Sulaiman
a.s bermohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan kepada beliau a.s
kerajaan yang besar. Kedua-dua mereka, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s,
meminta untuk menguruskan bidang berkenaan. Ternyata bahawa orang yang boleh
menguruskan dengan adil bidang berkenaan adalah orang yang benar-benar
mengenali dirinya, mempunyai keyakinan yang teguh, hati yang bulat dan sifat
kehambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t.
Dia (Sulaiman)
berkata: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku
sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada
sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah
Kurnia-Nya”. (Ayat 35 : Surah Saad)
No comments:
Post a Comment