55: ZAHID DAN RAGHIB.
BUKAN SEDIKIT (NILAINYA) AMAL YANG KELUAR DARI HATI SI ZAHID, DAN TIDAK
BANYAK (NILAINYA) AMAL YANG KELUAR DARI HATI SI RAGHIB.
Kita telah diajak
keluar dari alam kepada Pencipta alam, berhijrah kepada Allah s.w.t dan
Rasul-Nya. Kita diajar supaya memilih sahabat yang dapat membangkitkan semangat
untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dan berbuat taat kepada-Nya.
Hikmat 55 ini
memberi gambaran apakah hijrah rohani itu akan berjaya atau gagal. Alat untuk
menilainya ialah dunia. Bagaimana kedudukan dunia di dalam hati akan
mempengaruhi perjalanan kerohanian.
Manusia terdiri
dari dua unsur iaitu 1).tubuh kasar dan 2).
hati seni.
Gabungan dua unsur
tersebut membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang boleh membalikkan
wajah yang memandang kepadanya.
1).Tubuh kasar adalah umpama muka cermin yang gelap dan
2).Hati seni pula umpama muka cermin yang terang.
Gabungan badan yang
gelap dan hati yang terang menyebabkan manusia berkebolehan untuk menerima pancaran Nur Ilahi atau disebut
juga menerima tajalli, iaitu
melihat sesuatu tentang Allah s.w.t dengan mata hati.
Malaikat hanya
mempunyai tubuh yang terang dan binatang pula hanya mempunyai badan yang gelap.
Makhluk yang mempunyai hanya satu jenis
badan tidak sesuai untuk menjadi cermin yang menerima sinaran Nur Ilahi.
Manusia dalam
keadaan keasliannya berkebolehan menerima sinaran Nur Ilahi, iaitu menerima
tajalli Allah s.w.t. Tetapi, keadaan
yang asli itu tertutup, terpendam atau tertimbus kerana manusia hidup dalam
dunia. Dunia menjadi anasir yang merosakkan keharmonian gabungan badan yang
gelap dengan hati yang terang.
Di dunia wujud satu
makhluk bangsa jin yang dijadikan daripada cahaya api dan dinamakan syaitan. Cahaya api ini berkebolehan untuk
menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan mengubah suasananya
sehingga hilang fungsinya sebagai cermin yang menahan cahaya.
Oleh sebab gangguan cahaya api itulah hati manusia tidak dapat menerima
sinaran Nur Ilahi. Nur Ilahi yang memancarkan tanda-tanda,
peringatan dan sebagainya tidak melekat pada cermin hati, sebaliknya cahaya
tersebut menyeberang keluar. Walaupun nabi-nabi membacakan ayat-ayat
Allah s.w.t dan memperlihatkan mukjizat, tetapi hati yang demikian tidak dapat
menerimanya. Apa yang datang itu berlalu begitu sahaja tidak terlekat pada
hati. Manusia yang demikian, yang kebolehannya
yang asli terganggu itu dinamakan si raghib.
Hati si
raghib yang sudah menjadi cermin yang tembus cahaya, akan menerima kedatangan
kebenaran secara samar-samar
kerana yang sejati tidak melekat pada cerminnya. Kesamaran itu akan menimbulkan
keraguan dan sangkaan. Dalam keadaan demikian si raghib tidak lagi melihat
kebenaran yang asli. Sangkaan telah
menggubah ‘kebenaran’ yang dilihat oleh si raghib itu. Bila cahaya yang
asli tidak melekat pada hati, syaitan
memainkan peranannya dengan memancarkan cahayanya kepada hati untuk menambahkan kesamaran dan kekeliruan
. Hasilnya muncullah jelmaan yang mengambil alih tempat kebenaran. Jelmaan
itulah yang dianggap sebagai kebenaran oleh si raghib. Dalam suasana demikian,
sekiranya dia beramal, maka amalannya berpandukan kepada jelmaan yang dipancar
oleh syaitan bukan bersumberkan kebenaran yang asli. Walaupun banyak amal yang
dilakukannya namun, tidak ada yang menepati dengan yang benar, dan tidak ada
nilainya.
Orang yang mendapat
petunjuk dari Allah s.w.t menyedari kesilapan yang berlaku kepada si raghib,
dan dia akan berusaha untuk mengembalikan keaslian dirinya dengan memisahkan
hatinya dari dunia dan cahaya api yang menerangi dunia. Dia berusaha untuk
keluar dari dunia. Keluar dari dunia
bukan bermakna mati. Maksudnya ialah mengwujudkan suasana hati yang tidak
ada dunia di dalamnya.
Ketika
membincangkan Kalam Hikmat 51 telah disentuh tentang cara-cara melepaskan diri
dari penjara dunia. Apabila dunia
tidak mampu lagi mengenakan tipu daya, seseorang manusia itu akan kembali
kepada keasliannya yang berkebolehan menangkap kebenaran.
Tidak ada lagi
kesamaran dan jelmaaan yang mengganggu hatinya. Apa yang datang kepada hatinya
adalah kebenaran yang sejati, tidak dibayangi oleh kepalsuan. Orang yang telah bebas dari penjara
dunia itu dinamakan zahid yang bersifat zuhud Si zahid melihat
sesuatu sebagaimana semestinya dilihat. Apabila dia beramal maka amalnya
bertepatan dengan sebagaimana yang mesti diamalkan. Apa juga amal yang keluar
daripadanya adalah amal yang benar dan tidak sia-sia. Sebab itu tidak boleh
dianggap sedikit amal yang keluar dari si zahid.
Hati hendaklah
bebas daripada kasihkan dunia, kemegahan dan kemuliaannya. Kepentingan duniawi akan menghilangkan sifat ikhlas daripada hati.
Orang yang ikhlas, walaupun hidup dalam dunia, melakukan kebaikan kepada
makhluk Allah s.w.t tanpa memandang kepada apa juga tawaran yang dibuat oleh
dunia. Hubungan amalan yang ikhlas dengan Tuhan adalah ketaatan bukan
kepentingan.
Hamba melakukan
kebaikan dan kebajikan atas dasar melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t.
Dan (ingatlah) Aku
tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadat kepada-Ku. (Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat)
Padahal mereka
tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan
ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan
sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang
benar. (Ayat 5 : Surah al-Bayyinah)
Hamba yang
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t melakukan segala pekerjaan dengan ikhlas
kerana Allah s.w.t. Mereka tidak mempersekutukan amal mereka dengan sesuatu,
baik anasir alam mahupun kepentingan diri sendiri. Merekalah hamba Allah s.w.t yang hanif, yang
sentiasa berpegang kepada kebenaran. Kehanifan itu
menjadi kemudi pada hati mereka.
Hati akan segera memberontak jika kebenaran diperkosakan.
Bila hati sudah dikemudikan oleh sifat hanif, haluan akan lari daripada
kesesatan. Diri yang demikian akan dipenuhi oleh ketaatan kepada
Allah s.w.t. Jadi, ikhlas, tidak berbuat kemusyrikan dan kesesatan, hanif dan
mentaati Allah s.w.t adalah agama yang sebenarnya.
Ahli-ahli sufi bersepakat bahawa jika diisikan dunia ke dalam hati pasti
tidak akan ditemui Allah s.w.t, dan sekiranya Allah s.w.t bertempat
di hati pasti tidak ada dunia di dalamnya.
No comments:
Post a Comment