45: MAKRIFAT HATI TERHADAP ALLAH S.W.T.
TERBUKA MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN HAMPIRNYA ALLAH S.W.T.
PENYAKSIAN MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN KETIADAAN KAMU DI SAMPING
WUJUD ALLAH S.W.T.
PENYAKSIAN HAKIKI MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU HANYA ALLAH YANG
WUJUD, TIDAK TERLIHAT LAGI KETIADAAN KAMU DAN WUJUD KAMU.
Apabila hati sudah
menjadi bersih maka hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini
dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan
merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya
sendiri.
Renungan akal terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan
perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya.
Kesedaran ini membuatnya merasakan dengan mendalam betapa hampirnya Allah s.w.t
dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah s.w.t
sentiasa mengawasinya. Allah s.w.t melihat segala gerak-gerinya, mendengar
pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya. Jadilah dia seorang Mukmin yang
cermat dan berwaspada.
Di antara sifat
yang dimiliki oleh orang yang sampai kepada martabat Mukmin ialah:
1.
Cermat dalam pelaksanaan hukum Allah s.w.t.
2.
Hati
tidak cenderung kepada harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan
tidak sayang membantu orang lain dengan harta yang dimilikinya.
3.
Bertaubat dengan sebenarnya (taubat nasuha)
dan tidak kembali lagi kepada kejahatan.
4. Rohaninya cukup kuat untuk menanggung
kesusahan dengan sabar dan bertawakal kepada Allah s.w.t.
5. Kehalusan kerohaniannya
membuatnya berasa malu kepada Allah
s.w.t dan merendah diri kepada-Nya.
Orang Mukmin yang
taat kepada Allah s.w.t, kuat melakukan ibadat, akan meningkatlah kekuatan
rohaninya. Dia akan kuat melakukan
tajrid iaitu menyerahkan urusan kehidupannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak
lagi khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang besar. Dia
tidak lagi meletakkan pergantungan kepada sesama makhluk.
Hatinya telah teguh
dengan perasaan reda terhadap apa jua yang ditentukan Allah s.w.t untuknya.
Bala tidak lagi menggugat imannya dan nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya bala dan nikmat adalah sama
iaitu takdir yang Allah s.w.t tentukan untuknya. Apa yang Allah s.w.t
takdirkan itulah yang paling baik.
Orang yang seperti ini sentiasa di dalam penjagaan Allah s.w.t
kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t
kurniakan kepadanya keupayaan untuk melihat dengan mata hati dan bertindak
melalui Petunjuk Laduni, tidak lagi melalui fikiran, kehendak diri
sendiri atau angan-angan. Pandangan mata hati kepada hal ketuhanan memberi
kesan kepada hatinya (kalbu).
Dia mengalami
suasana yang menyebabkan dia menafikan kewujudan dirinya dan di-isbatkannya kepada Wujud Allah s.w.t.
Suasana ini timbul akibat hakikat ketuhanan yang dialami oleh hati.. Dia berasa
benar-benar akan keesaan Allah s.w.t bukan sekadar mempercayainya.
Pengalaman tentang
hakikat dikatakan memandang dengan mata hati. Mata hati melihat atau
menyaksikan keesaan Allah s.w.t dan hati merasakan akan keadaan keesaan itu.
Mata hati hanya melihat kepada Wujud Allah s.w.t, tidak lagi melihat kepada
wujud dirinya.
Orang yang di dalam
suasana seperti ini telah berpisah dari sifat-sifat kemanusiaan. Dalam berkeadaan demikian dia tidak
lagi mengendahkan peraturan masyarakat. Dia hanya mementingkan soal
perhubungannya dengan Allah s.w.t. Soal duniawi seperti makan, minum, pakaian
dan pergaulan tidak lagi mendapat perhatiannya.
Kelakuannya boleh
menyebabkan orang ramai menyangka dia sudah gila. Orang yang mencapai peringkat
ini dikatakan mencapai makam tauhid
sifat. Hatinya jelas merasakan bahawa tidak ada yang berkuasa melainkan
Allah s.w.t dan segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t.
Rohani manusia
melalui beberapa peningkatan dalam proses mengenal Tuhan.
1).Pada tahap pertama terbuka mata hati dan Nur Kalbu
memancar menerangi akalnya. Seorang Mukmin yang akalnya diterangi Nur
Kalbu akan melihat betapa hampirnya Allah s.w.t. Dia melihat dengan ilmunya dan
mendapat keyakinan yang dinamakan ilmul
yaqin. Ilmu berhenti di situ.
2).Pada tahap keduanya mata hati yang terbuka sudah
boleh melihat. Dia tidak lagi melihat dengan mata ilmu tetapi melihat dengan
mata hati. Keupayaan mata hati memandang itu dinamakan kasyaf. Kasyaf
melahirkan pengenalan atau makrifat. Seseorang yang berada di dalam makam
makrifat dan mendapat keyakinan melalui kasyaf dikatakan memperolehi keyakinan
yang dinamakan ainul yaqin.
Pada tahap ainul
yaqin makrifatnya ghaib dan dia juga ghaib dari dirinya sendiri. Maksud ghaib
di sini adalah hilang perhatian dan kesedaran terhadap sesuatu perkara..
Beginilah hukum makrifat yang berlaku. Makrifat lebih tinggi nilainya dari ilmu
pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah pencapaian terhadap persoalan yang
terpecah-pecah bidangnya. Makrifat pula adalah hasil pencapaian terhadap
hakikat-hakikat yang menyeluruh iaitu hakikat kepada hakikat-hakikat.
3).Tetapi,
penyaksian mata hati jauh lebih tinggi dari ilmu dan makrifat kerana penyaksian
itu adalah hasil dari kemahuan keras dan perjuangan yang gigih disertai dengan
upaya hati dan pengalaman. Penyaksian adalah setinggi-tinggi keyakinan.
Penyaksian yang paling tinggi ialah penyaksian hakiki oleh mata hati. Ia
merupakan keyakinan yang paling tinggi dan dinamakan haqqul yaqin.
Pada tahap
penyaksian hakiki mata hati, mata hati tidak lagi melihat kepada ketiadaan dirinya
atau kewujudan dirinya, tetapi Allah s.w.t dilihat dalam segala sesuatu, segala
kejadian, dalam diam dan dalam tutur-kata. Penyaksian
hakiki mata hati melihat-Nya tanpa dinding penutup antara kita
dengan-Nya. Tiada lagi antara atau ruang antara kita dengan Dia. Dia
berfirman:
Dan Ia (Allah)
tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. (Ayat 4 : Surah
al-Hadiid)
Dia tidak terpisah
dari kamu. Penyaksian yang hakiki ialah melihat Allah s.w.t dalam segala
sesuatu dan pada setiap waktu. Pandangannya terhadap makhluk tidak menutup
pandangannya terhadap Allah s.w.t.
Inilah makam
keteguhan yang dipenuhi oleh ketenangan serta kedamaian yang sejati dan
tidak berubah-ubah, bernaung di bawah payung Yang Maha Agung dan Ketetapan Yang
Teguh.
Pada penyaksian yang hakiki tiada lagi ucapan, tiada bahasa, tiada
ibarat, tiada ilmu, tiada makrifat, tiada pendengaran, tiada kesedaran, tiada
hijab dan semuanya sudah tiada. Tabir hijab telah tersingkap,
maka Dia dipandang tanpa ibarat, tanpa huruf, tanpa abjad. Allah s.w.t
dipandang dengan mata keyakinan bukan dengan mata zahir atau mata ilmu atau
kasyaf.
Yakin, semata-mata
yakin bahawa Dia yang dipandang sekalipun tidak ada sesuatu pengetahuan untuk
diceritakan dan tidak ada sesuatu pengenalan untuk dipamerkan.
Orang yang
memperolehi haqqul yaqin berada dalam suasana hatinya kekal bersama-sama Allah
s.w.t pada setiap ketika, setiap ruang dan setiap keadaan. Dia kembali kepada kehidupan seperti manusia biasa dengan suasana hati
yang demikian, di mana mata hatinya sentiasa menyaksikan Yang Hakiki.
Allah s.w.t dilihat dalam dua perkara yang berlawanan dengan
sekali pandang:
Dia melihat Allah
s.w.t pada orang yang membunuh dan orang yang kena bunuh.
Dia melihat Allah
s.w.t yang menghidupkan dan mematikan, menaikkan dan menjatuhkan, menggerakkan
dan mendiamkan.
Tiada lagi
perkaitannya dengan kewujudan atau ketidakwujudan dirinya.
Wujud Allah Esa, Allah s.w.t meliputi segala
sesuatu.
No comments:
Post a Comment