99-101: AMAL, TAAT DAN BALASAN ALLAH S.W.T.
CUKUPLAH BALASAN ALLAH S.W.T KEPADA KAMU DENGAN KETAATAN KAMU
KEPADA-NYA, JIKA DIA REDA KAMU MENJADI AHLI TAAT.
CUKUPLAH BAGI ORANG-ORANG YANG BERAMAL DIBALAS DENGAN TERBUKANYA HATI
MEREKA UNTUK MENTAATI ALLAH S.W.T. DAN,
CUKUPLAH BAGI MEREKA DENGAN BALASAN DI
MANA HATI MEREKA MENJADI JINAK DENGAN ALLAH S.W.T.
* * *
* * * *
- Allah s.w.t Maha Tinggi hingga tidak dapat disentuh oleh sesiapa pun, dan
- Tidak dapat dilihat oleh pandangan yang bagaimana pun.
- Allah s.w.t Maha Kaya hingga Dia cukup dengan diri-Nya sendiri, tidak memerlukan apa-apa pun dari makhluk-Nya.
- Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri hingga tidak ada satu pun yang dapat mengikat-Nya, mengawal-Nya atau mempengaruhi-Nya.
- Dia berbuat apa yang Dia kehendaki hingga tidak ada sesiapa yang boleh bertanyakan apa-apa tentang perbuatan-Nya.
* *
* * *
* *
Allah s.w.t
menangguhkan balasan kepada amal hamba-Nya yang dilakukan dengan segera (tunai)
dan tidak ada hamba yang berhak membangkang tindakan-Nya itu. Walaupun balasan
ditangguhkan namun, tidak ada hamba yang melakukan amal ketaatan kepada-Nya
akan mengalami kerugian.
Semakin banyak
waktu dihabiskan untuk beramal, orang yang berkenaan semakin berasa beruntung,
tidak kerugian. Inilah hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menangguhkan
balasan kepada hamba-Nya.
Beramal kerana
Allah s.w.t tidak serupa dengan beramal kerana urusan duniawi. Amalan yang
ditujukan kepada muslihat dunia memerlukan kepada upah yang bersegera. Jika
boleh upah diberikan terlebih dahulu sebelum amalan dibuat. Jika tidak ada upah
tidak ada amal. Jika amal sudah dibuat tetapi upah belum didapati maka si
beramal itu akan memberontak. Begitulah sifat yang timbul dari amalan yang
ditujukan kepada muslihat dunia.
Jika tujuan beramal
berubah dari dunia kepada akhirat, maka sifat yang ada menyertai si beramal
juga berubah. Amal yang ditujukan kerana muslihat akhirat pada mulanya
dilakukan dengan ada rasa keberatan, tetapi kemudian bertukar kepada rasa
ringan dan mudah. Ini disebabkan kerana
amalan yang dilakukan bersungguh-sungguh walaupun secara paksaan, akhirnya akan
melahirkan sifat taat. Sesuatu amalan dilakukan dalam waktu yang singkat
sahaja, tetapi sifat taat yang telah
lahir itu hidup berpanjangan.
Orang yang sifat
taat telah hidup dalam hatinya akan sentiasa bersedia untuk berbuat taat kepada
Allah s.w.t. Apabila dia selesai melakukan sesuatu perintah Allah s.w.t dia
akan melakukan perintah yang lain pula. Dia
berjangkit dari satu perintah Allah s.w.t kepada perintah Allah s.w.t yang
lain, terus menerus, tanpa berasa berat dan letih. Jadi, amal melahirkan
taat dan taat itu pula menambahkan amal. Orang yang dikurniakan Allah
s.w.t dengan taat berasa cukup puas dengan kurniaan tersebut. Ketenangan hati dalam melakukan ketaatan
kepada Allah s.w.t menjadi balasan yang sangat besar baginya. Hatilah yang
merasai nikmat atau celaka.
Suasana beramal
merupakan suasana yang paling baik bagi hati yang mencari Allah s.w.t. Amal
yang melahirkan ketaatan membawa hati menuju kepada keredaan-Nya. Apabila Allah
s.w.t membuka jalan menuju kepada-Nya maka
terasalah dalam hati si hamba itu rasa jinak dengan Allah s.w.t. Dia akan
mendapati jalan yang dilaluinya menjadi terang dan mudah. Keinginannya untuk
menemui Allah s.w.t semakin bertambah. Ini menjadi nikmat yang besar dari Allah
s.w.t.
Hamba yang dijinakkan hatinya tidak suka lagi membuang masa pada perkara
yang sia-sia. Kebanyakan dari masanya dihabiskan untuk berbuat amal
ibadat kepada Allah s.w.t. Dia tidak
berasa berat walaupun melakukan amal ibadat yang banyak. Hatinya tidak lagi
ghairah kepada dunia, maka syaitan sukar mengenakan tipu daya kepadanya.
Apabila dia dapat
melepasi benteng dunia dapatlah dia masuk ke alam ghaib yang membawa makrifat
dengan Allah s.w.t. Orang yang mencari
makrifatullah akan beramal tanpa menuntut balasan. Dia tidak berasa
terkilan dengan balasan yang ditangguhkan bagi amalannya.
.
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete