48: HAJAT DARIPADA ALLAH S.W.T, HANYA DIA DAPAT MELAKSANAKANNYA.
JANGAN DIAJUKAN HAJATMU KEPADA SELAIN ALLAH S.W.T. ALLAH S.W.T YANG
MENDATANGKAN HAJAT ITU KEPADA KAMU. SIAPAKAH YANG SELAIN ALLAH S.W.T DAPAT
MENGANGKAT SESUATU YANG DILETAKKAN OLEH ALLAH S.W.T?
BARANGSIAPA YANG TIDAK MAMPU MELAKSANAKAN HAJAT DIRINYA SENDIRI,
BAGAIMANA PULA DIA SANGGUP MELAKSANAKAN HAJAT ORANG LAIN.
Dalam membentuk
keperibadian tauhid, kita perlu melihat sesuatu dari asal mulanya hinggalah
kepada penghabisan sampainya.
Orang yang masih
dalam proses membentuk keperibadian tauhid, diibaratkan jambatan tempat
lalu-lintas yang datang dan yang pergi. Apa yang datang menceritakan asalnya
dan yang pergi menceritakan tujuannya. Jambatan
itu ialah hati dan yang datang itu bermacam-macam, antaranya adalah niat,
harapan, angan-angan, cita-cita, hajat dan keinginan.
Semuanya datang
dari arah yang sama, semuanya bukan jenis benda yang berupa, tetapi adalah
jenis tenaga atau kuasa ghaib. Walaupun ghaib, masing-masing itu mempunyai
keupayaan dan kekuatan untuk memberi kesan kepada hati.
Kesan yang
berbeza-beza menyebabkan satu keupayaan dan kekuatan dapat dibezakan dengan
keupayaan dan kekuatan yang lain. Boleh dikenal keupayaan dan kekuatan marah,
benci, suka, niat, harapan, hajat dan lain-lain.
Sumber datangnya
segala-galanya ialah makam Lahut (zat Ilahiat), turun kepada makam Jabarut
(sifat). Pada makam Jabarut muncullah Iradat dan Kudrat. Iradat dan Kudrat
Allah s.w.t menjadi sumber kepada semua keupayaan dan kekuatan. Pancaran Iradat
dan Kudrat diterima oleh Alam Malakut sebagai perintah Allah s.w.t. Iradat dan
Kudrat yang diterima oleh para malaikat dinamakan Haula dan Kuwwata Allah
s.w.t.
Lalu
malaikat-malaikat yang menyambutnya mengucapkan:
TIDAK ADA KEUPAYAAN DAN KEKUATAN MELAINKAN (IRADAT DAN KUDRAT) ALLAH S.W.T.
Perintah-perintah
yang berhubung dengan manusia dibawa turun dari Lahut kepada Jabarut kepada
malakut dan kemudiannya kepada langit dunia atau langit pertama.
Langit pertama
adalah tempat pengasingan. Ketika Rasulullah s.a.w Mikraj, baginda
s.a.w melihat dilangit pertama ada satu pintu ke syurga dan satu pintu ke
neraka. Apa yang naik ke atas diasingkan di langit pertama dan apa yang turun
ke bawah diasingkan juga di langit yang pertama.
Perintah yang
berupa kebaikan turun dari langit pertama dengan diiringi oleh malaikat hingga
sampai kepada manusia. Perintah yang mengandungi keburukan diiringi oleh
syaitan hingga sampai kepada manusia juga. Baik dan jahat hanya diasingkan
apabila memasuki dunia.
Pada Alam Malakut tidak ada jahat dan tidak ada baik kerana semuanya
diterima oleh malaikat sebagai perintah Allah s.w.t. Malaikat yang
memukul ahli neraka tidak membuat kezaliman tetapi melaksanakan perintah Allah
s.w.t, tetapi manusia yang memukul manusia lain di dunia adalah melakukan
kezaliman.
Manusia dan jin
yang mendiami alam dunia inilah yang dihadapkan dengan kebaikan dan kejahatan. Makhluk
lain dalam dunia tidak memikul kebaikan dan kejahatan. Harimau yang memakan
rusa tidak dikira melakukan kejahatan. Angin yang menerbangkan rumah orang
tidak dikira sebagai melakukan kezaliman. Hanya manusia dan jin yang
dipertanggungjawabkan memikul kebaikan dan kejahatan. Jin jenis jahat dinamakan
syaitan.
Syaitan sangat
gemarkan apa sahaja yang jahat. Syaitan menanti dibawah bumbung langit dunia
dan mengiringi keburukan yang turun dengan penuh sukaria hingga sampailah
kepada hati manusia. Perkara yang baik diiringi oleh malaikat hingga selamat
sampai kepada hati manusia. Walaupun begitu syaitan masih juga mencuba
mengganggu perkara baik itu agar bertukar menjadi buruk, tetapi dihalang oleh
malaikat.
Setiap perkara yang
diterima oleh hati, dibawa oleh malaikat dan syaitan, diberi berbagai-bagai
nama mengikut kesannya kepada hati. Ada
yang dipanggil niat, ada yang dipanggil keinginan dan ada yang dipanggil hajat
serta banyak lagi nama yang digunakan untuk membezakan yang satu dengan yang
lain.
1).Setiap yang
dibawa oleh malaikat adalah baik, maka lahirlah niat baik, kehendak yang baik
dan hajat yang baik.
2).Setiap yang
dibawa oleh syaitan adalah buruk, maka lahirlah niat buruk, keinginan jahat dan
hajat yang jahat.
Biar apa pun
istilah yang digunakan, yang pasti ia mempunyai keupayaan untuk menarik hati
agar cenderung ke arah atau kepada sesuatu dan ada kekuatan yang memaksa hati
untuk mengadakan tindakan mengarah kepada yang dicenderungi itu. Keupayaan dan
kekuatannya bukan sahaja terhenti setakat hati dan anggota-anggota di bawah
kawalannya sahaja, malah ia mampu bergerak melalui ruang dan zaman.
Keupayaan dan
kekuatannya mampu mempengaruhi orang lain supaya bergerak ke arah yang sama.
Misalnya, seorang pemimpin yang berwawasan mampu mempengaruhi orang ramai
supaya bergerak ke arah wawasannya. Ketua penjahat juga mampu menekankan
rencana jahatnya kepada anak buahnya. Wawasan dan rencana itu boleh diteruskan
oleh orang lain dan boleh juga melintasi zaman lain walaupun orang yang
memulakannya sudah meninggal dunia.
Sebab itulah
sesuatu amal yang dipelopori oleh seseorang kemudian menjadi ikutan orang lain
maka si pelopor itu tetap bertanggungjawab ke atas perbuatan orang yang
mengikutnya, kerana pada hakikatnya keupayaan dan kekuatan yang diterimanya
itulah yang disebarkannya kepada orang lain.
1a].Makhluk yang
pertama menerima keupayaan dan kekuatan jahat ialah iblis laknatullah dan
daripadanya keupayaan dan kekuatan jahat itu tersebar. Sesiapa yang melakukan
kejahatan dia berbuat demikian dengan tenaga iblis laknatullah.
2a].Makhluk yang
pertama menerima keupayaan dan kekuatan baik ialah Nabi Muhammad s.a.w.
Walaupun Nabi Adam a.s diciptakan terlebih dahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w
tetapi roh Nabi Muhammad s.a.w diciptakan terlebih dahulu dan roh Nabi Muhammad
s.a.w itulah bekas yang pertama menerima tenaga baik. Sesiapa sahaja yang
melakukan kebaikan maka dia berbuat demikian dengan menggunakan tenaga yang
dibekalkan oleh Roh Muhammad s.a.w.
1b].Kejahatan tidak berpisah dengan iblis laknatullah.
2b].Kebaikan tidak berpisah dengan Muhammad s.a.w.
Dan tiadalah Kami
mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekalian alam (semua makhluk pada semua zaman) (Ayat 107 : Surah
al-Anbiyaa’)
Tidak ada satu pun
makhluk yang memperolehi atau melakukan kebaikan melainkan ia bernaung di bawah
rahmat yang Allah s.w.t telah tentukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, walaupun
kebaikan itu berlaku sebelum baginda s.a.w lahir ataupun sesudah baginda s.a.w
wafat.
Begitulah pandangan
kita jika memandang kepada sempadan alam. Sekiranya pandangan kita tidak
berubah dari asal mula sesuatu tentu Iradat dan Kudrat Allah s.w.t tidak
terlindung daripada kita. Kita akan melihat bahawa Iradat dan Kudrat Allah
s.w.t sahaja yang menimbulkan keupayaan dan kekuatan yang singgah kepada hati
lalu dinamakan niat, kemahuan atau hajat.
Iradat dan Kudrat Allah s.w.t yang sama juga memperjalankan niat, kemahuan dan
hajat melalui ruang dan waktu. Semuanya adalah Iradat dan Kudrat Allah
s.w.t.
Dan kamu tidak
dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara
yang diatur oleh Allah. (Ayat 29 : Surah at Takwiir)
“Padahal Allah yang
mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” (Ayat 96 : Surah
as-Saaffaat)
Rasulullah s.a.w
bersabda:
SESIAPA DIBIMBING
OLEH ALLAH S.W.T KEPADA JALAN YANG BENAR ENGKAU TIDAK DAPAT MENYESATKANNYA DAN
SESIAPA YANG DIBIMBING OLEH ALLAH S.W.T KEPADA KESESATAN ENGKAU TIDAK DAPAT
MELURUSKANNYA.
Kita sering
ucapkan:
TIDAK ADA DAYA DAN UPAYA MELAINKAN DENGAN ALLAH S.W.T.
Pandangan tauhid memperlihatkan kepada kita bahawa pada apa jua keadaan Iradat dan Kudrat Allah s.w.t tidak luput daripada kita walaupun
dalam niat, harapan atau hajat.
Apabila mata hati
memandang dari asal mula hingga ke akhir tujuan tetap pada Allah s.w.t maka
hati pun akan bersandar kepada Allah s.w.t sahaja, tidak lagi bergantung kepada
sesama makhluk dan tidak juga kepada dirinya sendiri. Dirinya dan orang lain
sama-sama dipikulkan beban. Orang yang memikul beban tidak mampu mengangkat
bebannya sendiri, jauh sekali untuk mengangkat beban orang lain. Siapakah dari
kalangan makhluk Allah s.w.t yang dapat mengubah apa yang Allah s.w.t telah
tetapkan dengan Iradat-Nya dan laksanakan dengan Kudrat-Nya? Tidak ada yang
boleh berbuat demikian melainkan Allah s.w.t.
Perintah berbentuk
kebaikan yang dibawa oleh malaikat mudah kita mengerti dan terima sebagai
Iradat dan Kudrat Allah s.w.t.
Bagaimana pula
‘perintah’ keburukan yang dibawa oleh syaitan? Adakah kita perlu melakukan
keburukan tersebut? Adakah Allah s.w.t memerintahkan kita berbuat jahat?
Persoalan ini
membuat kita keliru. Kita harus meneliti perkara ini dengan mendalam supaya
tidak terjadi salah iktikad. Ibaratkan
syaitan sebagai anjing dan Tuhan adalah Tuan yang memerintahnya. Anjing tidak
akan menyalak dan menggigit jika tidak diizinkan atau diperintah oleh Tuannya.
Andainya Tuan
mengizinkan anjing menyalak dan menggigit kita kemungkinannya adalah
kerana:
1.
Tuan murka kepada kita.
2.
Kita mencabar hak Tuan.
3.
Pada diri kita ada sesuatu yang digemari
oleh anjing.
Apabila kita
berhadapan dengan situasi seperti di atas kita mempunyai dua pilihan
iaitu:
1.
Kita membiarkan diri kita digigit oleh
anjing. Jika yang menggigit itu adalah anjing gila maka kita juga akan terkena
penyakit anjing gila.
2.
Kita lari kepada Tuannya dan merayu agar
menghalau anjing itu daripada kita.
3.
Ketika menerima
kedatangan ‘perintah’ supaya berbuat jahat kita mesti menerimanya dengan
bijaksana agar kita tidak salah mentafsirkannya.
Allah s.w.t selalu
mengingatkan kita bahawa syaitan adalah musuh kepada manusia, dan layanlah syaitan
itu sebagai musuh. Kita diajarkan supaya berlindung kepada Allah s.w.t dari
syaitan yang kena rejam. Jika Allah Yang Maha Mulia menyuruh utusan yang sangat
keji yang menjadi musuh kita, membawa benda busuk kepada kita apakah yang
dapat kita katakan tentang nilai diri kita pada pandangan Allah s.w.t?
Nilai diri kita
adalah sama dengan benda busuk yang dibawa oleh musuh kita itu, iaitu kita ini
adalah umpama tong sampah yang layak untuk diisikan dengan sampah sarap.
Sekiranya kita menginsafi perkara tersebut, sebaik sahaja utusan yang keji itu
dan benda yang busuk itu sampai kepada kita, tentu sekali kita akan jatuh
pengsan kerana takut dan khuatir terhadap kehinaan diri kita dan kemurkaan
Allah s.w.t kepada kita.
Apabila sedar kita
seharusnya menginsafi akan kejahatan dan kehinaan diri kita yang menyebabkan
utusan yang jahat dan dilaknat membawa benda kotor dan busuk kepada kita. Kita
seharusnya menyucikan diri kita agar kekotoran hilang. Kita sepatutnya
memperbanyakkan taubat, memohon keampunan dan belas kasihan daripada Allah
s.w.t. Kita sepatutnya memperbaiki diri
kita, bukan membaham benda busuk yang dibawa oleh utusan yang keji itu.
Oleh sebab yang
datang itu dengan keizinan Allah s.w.t ia
membawa kekuatan yang tidak terdaya kita menentangnya dengan kekuatan diri kita
sendiri. Sebab itulah kita diajarkan
supaya mengadu kepada Allah s.w.t dan meminta perlindungan-Nya. Sekiranya
kita menentangnya dengan kekuatan diri kita sendiri, kita akan tewas, tetapi
jika kita berlindung di bawah payung kekuatan Allah s.w.t kita akan menang.
Jadi, dalam menghadapi perintah baik dan ‘perintah’ jahat kita mesti lari
kepada Allah s.w.t kerana segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan hanya
Dia yang mampu menangani segala sesuatu itu.
Penting bagi orang
yang melatih kerohaniannya memerhatikan
gerak hatinya kerana ia adalah utusan yang membawa perkhabaran dan pemberi
petunjuk. Jika kita selalu dikunjungi oleh utusan yang membawa
kejahatan itu tandanya kita berada jauh dari Allah s.w.t, Tuan Yang Maha Mulia.
Perutusan yang sampai itu merupakan teguran agar kita membetulkan jalan.
Jalan yang sesuai untuk kita pilih dan lari ke dalamnya ialah bertaubat,
beristighfar, mengingati balasan terhadap dosa, mengingati mati dan takut
dengan sebenar-benar takut kepada Allah s.w.t yang berbuat sekehendak-Nya tanpa
boleh dihalang oleh sesiapa pun.
SubhanaLLoh walhahduliLLah
ReplyDelete