4: ALLAH S.W.T MENGATUR SEGALA URUSAN.
TENANGKAN HATIMU DARI URUSAN TADBIR KERANA APA YANG DIATUR OLEH
SELAIN-MU TENTANG URUSAN DIRIMU, TIDAK PERLU ENGKAU CAMPUR TANGAN.
Kita bertauhid
melalui dua cara:
1. pertama
bertauhid dengan akal dan 2. keduanya
bertauhid dengan hati.
Bidang akal ialah
ilmu dan liputan ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada dahan-dahan dan
seterusnya kepada ranting-ranting. Setiap ranting ada hujungnya, iaitu
penyeleaiannya. Ilmu bersepakat pada perkara pokok, bertolak ansur pada
cabangnya dan berselisih pada rantingnya atau penyelesaiannya. Jawapan kepada
sesuatu masalah selalunya berubah-ubah menurut pendapat baharu yang ditemui.
Apa yang dianggap benar pada mulanya dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang demikian orang
awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh mengalami
kekeliruan dan kekacauan fikiran.
Salah satu perkara
yang mudah mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika
persoalan ini diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang akan
menemui kebuntuan kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang konkrit. Qadak dan Qadar diimani dengan hati.
Tugas ilmu ialah membuktikan kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak
menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa kepada tunduk dengan iman.
Kalam Hikmat keempat di atas membimbing ke arah itu agar iman tidak
dicampur dengan keraguan.
Selama nafsu dan akal menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan
menyerah diri secara menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak
dan Qadar termasuk dalam perkara ghaib. Perkara
ghaib disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata hati tidak dapat memandang jika hati dibungkus oleh hijab
nafsu. Nafsu adalah kegelapan, bukan kegelapan yang zahir tetapi
kegelapan dalam keghaiban. Kegelapan nafsu itu menghijab sedangkan mata hati memerlukan
cahaya ghaib untuk melihat perkara ghaib.
Cahaya ghaib yang
menerangi alam ghaib adalah cahaya roh kerana roh adalah urusan Allah s.w.t.
Cahaya atau nur hanya bersinar apabila sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah
s.w.t.
Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Dialah Yang Maha
Tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan
dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu darihal perintah-Nya kepada sesiapa
yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih
menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari
pertemuan, - ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )
Dan demikianlah
Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan
hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan
kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman
itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri
petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran
itu ke jalan yang lurus, - Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai yang
ada di langit dan yang ada di bumi. Kepada Allah jualah kembali segala
urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Apabila cahaya roh
berjaya menghalau kegelapan nafsu, mata hati akan menyaksikan yang ghaib. Penyaksian mata hati membawa hati beriman
kepada perkara ghaib dengan sebenar-benarnya.
Allah s.w.t telah
menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia
berfirman:
Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu,
dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. ( Ayat 3 : Surah
al-Maa’idah )
Umat Islam adalah
umat yang paling bertuah kerana Allah s.w.t telah menyempurnakan nikmat-Nya ke
atas mereka dengan mengurniakan Islam. Allah s.w.t menjamin juga bahawa
Dia reda menerima Islam sebagai agama mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang menuntut keredaan
Allah s.w.t untuk tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus
berjalan mengikut landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah
perlembagaan yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir
mahupun yang batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang
mesti tidak dibuat, bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana
jika tidak mahu melakukan apa-apa.
Segala peraturan
dan kod etika sudah dijelaskan dari perkara yang paling kecil hingga kepada
yang paling besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara berhubungan sesama
manusia, cara membahagikan harta pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta,
cara makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban, cara
hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan mayat dan
semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.
Umat Islam tidak
perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala
penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu
sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang
dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai
nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan
kita ialah melakukan apa yang telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur
atau mentadbir adalah hak Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat
peraturan Allah s.w.t yang tidak dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula
melentur peraturan tersebut atau membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu
hendaklah ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah s.w.t.
Jika pendapat akal
sesuai dengan Islam maka yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan
jika penemuan akal bercanggah dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah
tersilap di dalam perkiraannya. Jangan memaksa Islam supaya tunduk
kepada akal semasa yang akan berubah pada masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang kebenarannya
tidak akan berubah sampai bila-bila.
Orang yang mengamalkan
tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qada’ dan Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak
membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut
apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin
oleh Allah s.w.t. Hatinya tunduk
kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir sementara sekalian hamba
berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur dalam urusan-Nya.
Mungkin timbul
pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, tidak boleh
mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki kehidupannya? Apakah
orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa tadbir?
Allah s.w.t
menceritakan tentang tadbir orang yang beriman:
Maka Yusuf pun
mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa tempat barang
saudara kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu
dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan
rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil
saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh
Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang
Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di
atasnya yang lebih mengetahui. (Ayat 76 : Surah Yusuf )
Dan kepunyaan-Nya
jualah kapal-kapal yang berlayar di lautan laksana
gunung-ganang. (Ayat 24 : Surah ar-Rahmaan )
Nabi Yusuf a.s,
dengan kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa saudaranya, Bunyamin,
tinggal dengannya. Kepandaian dan
muslihat yang pada zahirnya diatur oleh Nabi Yusuf a.s tetapi dengan tegas
Allah s.w.t mengatakan Dia yang mengatur muslihat tersebut dengan kehendak dan
kebijaksanaan-Nya. Kapal yang pada zahirnya dibina oleh manusia
tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan kapal itu adalah kepunyaan-Nya.
Ayat-ayat di atas memberi pengajaran mengenai tadbir yang dilakukan oleh
manusia.
Rasulullah s.a.w
sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan
mereka. Tadbir yang disarankan oleh
Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak memutuskan hubungan dengan Allah
s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan penyerahan kepada Tuhan yang mengatur
pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah seseorang menyangka apabila dia
menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak itu berfungsi dengan sendiri tanpa
tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang diperolehi oleh otak itu jika
tidak dari Tuhan?
Allah s.w.t yang
membuat otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah fikiran
kepada otak itu. Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang
sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk
mengasingkan pendapat dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam
menegaskan bahawa sekiranya tidak kerana
daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh
sesiapa pun. Oleh yang demikian seseorang mestilah menggunakan daya dan
upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya menurut keredaan Allah s.w.t.
Seseorang hamba
Allah s.w.t tidak sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang
Maha Mengatur. Apabila apa yang
diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa kejayaan itu adalah
kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t. Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya
wajib tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk
di dalam tadbir Allah s.w.t.
Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan.
Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan
dalam urusan-Nya.
alhamdulillah
ReplyDeleteAlhamduliLLah
ReplyDeleteOnline Fidya service is very helpful for Muslims. If a person becomes so old that he cannot Fast in the month of Ramzan, he can give Fidya for his Fasts. In an acute disease if one has no chance to recover from this disease this person can also pay Fidya for the Fasts of Ramzan. With online Fidya service you can give your Fidya. Sadaqa Jariya
ReplyDeleteAbsolutely posting! Lots of useful information and inspiration, both of which we all need!Relay appreciate your work.
ReplyDelete