49: BAIK SANGKA TERHADAP ALLAH S.W.T.
JIKA KAMU BELUM MENCAPAI BAIK SANGKA TERHADAP ALLAH LANTARAN
KESEMPURNAAN SIFAT-NYA, MAKA HENDAKLAH KAMU MEMPERBAIKI SANGKA TERHADAP
WUJUD-NYA KERANA WUJUD-NYA BESERTA KAMU.
BUKANKAH DIA TIDAK MELETAKKAN KAMU MELAINKAN PADA YANG BAIK-BAIK DAN
TIDAK MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU MELAINKAN NIKMAT-NIKMAT-NYA.
Kita menggantungkan
harapan dan hajat kepada sesama makhluk kerana kurangnya pengenalan (makrifat)
terhadap Allah s.w.t.
Apabila kurang
kenal maka kita mengadakan sangkaan-sangkaan terhadap-Nya. Sangkaan dibahagikan
kepada dua iaitu
1).sangkaan baik
dan
2).sangkaan buruk.
Sangkaan baik datangnya dari iman dan sangkaan buruk datangnya dari
keraguan.
Corak sangkaan
terhadap Allah s.w.t itulah menentukan haluan hajat dan harapan. Jika kita menyangkakan ada makhluk yang
mampu menyampaikan harapan dan hajat kita maka kita bersandar kepada makhluk.
Jika kita menyangkakan makhluk tidak berdaya maka kita tidak bersandar kepada
makhluk.
Perkara sangkaan
ini masih lagi di bawah persoalan Iradat dan Kudrat Allah s.w.t. Sangkaan baik
dibawa oleh malaikat dan sangkaan buruk dibawa oleh syaitan. Kedatangan
sangkaan buruk adalah tanda rohani kita masih terikat dengan alam dunia yang
diselubungi oleh cahaya syaitan.
Syaitan berada di
bawah bumbung langit dunia dan rohani kita juga berada di bawah bumbung yang
sama, maka syaitan boleh menjadi kawan dan juru nasihat kepada
hati kita. Selagi rohani kita tidak melepasi kongkongan langit dunia selagi
itulah gerak hati atau lintasan yang dibawa oleh syaitan mengganggu hati kita.
Tujuan latihan kerohanian ialah memberi kekuatan kepada rohani
agar ia dapat naik melepasi langit dunia, lalu lepaslah ia daripada taklukan
syaitan. Lintasan syaitan tidak lagi mengganggu hatinya, sebaliknya
hati akan menerima lintasan malaikat.
Apabila kita memahami tentang hakikat sangkaan buruk maka
kita akan berusaha membuangnya agar ia tidak melekat di hati kita.
Kemudian sangkaan itu digantikan dengan sangkaan baik. Bagi kita orang awam,
baik sangka terhadap Allah s.w.t dibina di atas kesedaran terhadap nikmat-nikmat
yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita.
Nikmat yang kita terima daripada Allah s.w.t tidak pernah putus sejak
kita mula dijadikan hinggalah ke detik ini. Dalam surah
al-Mu'minuun ayat-ayat 12 hingga 14 Allah s.w.t memberi gambaran yang jelas
tentang kejadian manusia, supaya manusia menginsafi nikmat yang diterimanya
tanpa diminta dan Allah s.w.t memberi nikmat dengan sebaik-baiknya.
Maksud firman-Nya
itu ialah:
DAN SESUNGGUHNYA
KAMI JADIKAN MANUSIA DARI AIR YANG TERSARING DARI TANAH. KEMUDIAN KAMI JADIKAN
DIA SETITIK MANI DI TEMPAT KETETAPAN YANG TERPELIHARA. KEMUDIAN MANI ITU KAMI
JADIKAN SEGUMPAL DARAH, LANTAS DARAH ITU KAMI JADIKAN SEKETUL DAGING. KEMUDIAN
DAGING ITU KAMI JADIKAN TULANG-TULANG. KEMUDIAN TULANG-TULANG ITU KAMI BALUTI
DENGAN DAGING. LANTAS KAMI JADIKAN DIA KEJADIAN YANG LAIN. MAHA SUCI ALLAH,
SEBAIK-BAIK PENCIPTA.
Perhatikan maksud
ayat-ayat di atas. Siapakah kita pada
peringkat-peringkat tersebut? Apakah kita sudah ada ikhtiar dan usaha?
Adakah kita sudah pandai berharap dan
berhajat?
Tidak, ketika itu kita tidak memiliki apa-apa dan tidak
mengetahui apa-apa.
Dalam keadaan yang
paling lemah dan paling tidak mengerti apa-apa itu adakah Allah s.w.t
membiarkan kita?
Adakah lantaran
kita tidak berusaha dan berikhtiar maka Dia membiarkan kita kelaparan dan
kehausan? Adakah lantaran kita tidak mengajukan harapan dan hajat maka Dia
tidak memperdulikan kita? Tidak, sama
sekali tidak!
Allah s.w.t tidak sekali-kali membiarkan hamba-hamba-Nya. Dia memberi
perlindungan dan penjagaan tanpa diminta, tanpa diusahakan, tanpa diharapkan
dan tanpa dihajatkan.
Apakah ketika di
dalam perut ibu sahaja Allah s.w.t memberikan kebaikan kepada kita dan
menyekatnya apabila kita meluncur keluar kepada alam dunia ini? Tidak, bahkan
nikmat kebaikan Allah s.w.t berjalan terus, cuma bezanya ketika di dalam perut
ibu kita menerima tanpa
kesedaran dan tanpa pengetahuan, apabila kita berada di dunia
kita menerima nikmat serta kebaikan itu dengan kesedaran dan berpengetahuan. Kesedaran dan pengetahuan itu membina
sangka baik kita kepada Allah s.w.t.
Jika Allah s.w.t telah membuktikan Dia sanggup memberi tanpa diminta
mengapa ia enggan memberi apabila harapan dan hajat ditujukan kepada-Nya? Hamba
yang insaf akan yakin kepada Allah s.w.t dan dia akan bergantung kepada Allah
s.w.t dengan baik sangka.
Kesedaran dan
pengetahuan terhadap kebaikan yang Allah s.w.t lakukan membuat seseorang hamba
mengerti bahawa Allah s.w.t berbuat baik kerana Dia bersifat dengan sifat yang
baik-baik. Kesan daripada sifat yang baik muncullah perbuatan yang baik.
Apabila kebaikan Allah s.w.t dilihat pada sifat-Nya, aneka ragam perbuatan yang
sebahagiannya mengelirukan pandangan, tidak lagi memudarkan sangkaan baik
seseorang hamba terhadap Allah s.w.t.
Walaupun ada
perbuatan Allah s.w.t yang kelihatan menekan hamba-Nya, tetapi Allah s.w.t yang
sempurna sifat –sifat-Nya, dan semua sifat-Nya adalah baik belaka, tiada
sebesar zarah pun yang tidak baik, mana mungkin boleh lahir perbuatan yang
tidak baik daripada-Nya. Jadi, baik
sangka yang bersandar kepada sifat adalah lebih kuat daripada baik sangka yang
terhenti pada perbuatan. Baik sangka yang bersandar kepada perbuatan masih
menyembunyikan keraguan yang samar-samar iaitu rasa kurang senang dengan apa
yang berlaku, seperti firman-Nya:
Dan boleh jadi kamu
benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu. (Ayat 216 : Surah
al-Baqarah)
Baik sangka yang
bersandarkan kepada sifat akan melahirkan tawakal dan reda yang sebenarnya,
sesuai dengan maksud:
Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Ayat 1 – 4 : Surah al-Faatihah)
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Ayat 1 – 4 : Surah al-Faatihah)
Allah s.w.t sahaja
memiliki sifat ketuhanan yang menguasai dan mentadbir seluruh alam. Sifat ketuhanan-Nya tidak berpisah dari
sifat Pemurah dan Penyayang. Apa juga yang Dia lakukan kepada alam dan
isi alam adalah dengan kasih sayang dan kasihan belas.
Tidak ada kezaliman
dan kejahatan pada perbuatan-Nya. Dia mampu menaburkan ke seluruh alam akan
kasih sayang dan kasihan belas-Nya kerana Dia memiliki hari Agama, iaitu semua
kehidupan, dunia, Alam Barzakh, akhirat, yang diketahui oleh makhluk, yang
tidak diketahui oleh makhluk, semua khazanah dan segala-galanya adalah milik-Nya yang mutlak, tidak
berkongsi dengan sesiapa pun.
No comments:
Post a Comment