61: AMAL YANG BERNILAI PADA SISI ALLAH S.W.T.
TIDAK ADA AMAL YANG DIHARAPKAN DITERIMA ALLAH S.W.T SELAIN AMAL YANG
KAMU TIDAK MELIHAT KEPADANYA DAN MEMANDANGNYA KECIL ATAU REMEH.
Hikmat ini mengajak
kita merenung kepada amal yang kita
anggap kecil, remeh dan tidak penting.
Amal yang demikian
kita lakukan seketika kemudian terus melupakannya. Misalnya, ketika kita sedang
memandu, seekor anak ayam melintasi jalan di hadapan, kita memperlahankan
kereta sehingga anak ayam itu selamat menyeberang.
Misal yang lain,
seekor lalat terjatuh ke dalam minuman kita, lalu kita keluarkannya dan
membiarkan ia terbang pergi. Peristiwa seperti itu dialami dalam beberapa saat sahaja,
bersahaja, tidak menyentuh jiwa dan kemudian dilupakan buat selama-lamanya.
Amal yang seperti
itulah yang perlu direnungkan kerana begitulah bentuk amal yang diterima oleh
Allah s.w.t. Amal yang demikian
keluar dari kemanusiaan yang asli dan murni. Keaslian dan kemurnian itulah yang
hendak dihidupkan dalam setiap amalan, walau bagaimana besar sekalipun amalan
itu.
Apalah bezanya
menyelamatkan seorang manusia dengan seekor lalat yang sama-sama lemas di dalam
air. Allah s.w.t yang mengizinkan dan menggerakkan
kamu untuk menyelamatkan lalat yang lemas itu. Allah s.w.t juga yang
mengizinkan dan menggerakkan kamu menyelamatkan manusia yang lemas.
Siapakah kamu, di manakah kamu, apakah kekuasaan kamu,
apakah tindakan kamu dalam peristiwa-peristiwa tersebut? Adakah
berbeza kamu yang menyelamatkan lalat itu dengan kamu yang menyelamatkan
manusia itu?
Sekiranya seseorang
itu tidak ada keegoan atau ketaksuban terhadap dirinya sendiri dan hatinya
tawadhuk kepada Allah s.w.t, maka dia
akan melihat Allah s.w.t yang menyelamatkan lalat dan Dia juga yang
menyelamatkan manusia itu.
Ambillah iktibar dari amal yang kecil-kecil dan dipandang remeh dalam
membentuk amal yang besar-besar dan dipandang penting, supaya kamu tidak
melihat kepada amal ketika beramal.
Nilai sesuatu amal
terletak pada ikhlas yang mengiringi amal tersebut dan ikhlas melepaskannya.
Biasa terjadi
seseorang itu ikhlas ketika berbuat kebaikan tetapi keikhlasan itu terusik
kemudiannya. Kebanyakan manusia enggan melepaskan perbuatan baik yang telah
mereka lakukan. Mereka suka mengingati dan menyebut kebaikan tersebut. Perbuatan demikian boleh membawa seseorang
jatuh ke dalam samaah, iaitu menceritakan kebaikan supaya dirinya diperakui dan
disanjung sebagai seorang yang baik.
Samaah menjadi minyak
yang memudahkan riak menyala. Apabila riak sudah menyala segala kebaikan yang
telah dibuatnya akan terbakar. Apa yang
tinggal dalam simpanan akhiratnya hanyalah debu-debu yang tidak berharga. Orang tersebut akan menjadi orang yang
memikul peti besi yang besar berisi debu untuk dibukakan di hadapan Tuhan.
Mereka gembira di dunia tetapi kehampaan di akhirat.
Orang yang berada
dalam suasana asbab perlu menghidupkan ikhlas dan memeliharanya agar tidak
dirosakkan oleh ujub, riak dan sama'ah. Ikhlas dihidupkan dengan meniadakan
kepentingan diri apabila berhubungan dengan orang lain.
Ikhlas dipelihara dengan cara tidak mengikat kebaikan yang dibuat itu
sama ada di mulut ataupun di ingatan. Serahkan segala
kebaikan yang dibuat kepada Allah s.w.t, tidak perlu kita menyimpan di mulut
kita.
Ketahuilah, memelihara ikhlas lebih sukar daripada menghidupkan ikhlas.
Seseorang hanya perlu berperang sekejap sahaja dengan nafsunya sebelum berjaya
melakukan sesuatu perbuatan dengan ikhlas, tetapi dia perlu berperang dengan
nafsunya sepanjang hayatnya untuk memelihara ikhlas yang sudah dilakukannya
dahulu.
Walau melalui arah
mana pun diperhatikan, persoalannya tetap kembali kepada hati. Hati menjadi medan perebutan kuasa di
antara nafsu dengan ikhlas. Modal nafsu adalah kepentingan diri. Nafsu
mengingatkan sesuatu yang dia ada kepentingan atau hak padanya telah dilepaskan
kepada orang lain. Oleh kerana nafsu tidak mati maka ingatannya kepada yang
kehilangan itu juga tidak mati. Jihad terhadap nafsu ini berpanjangan. Ikhlas adalah umpama bayi suci yang perlu
dipelihara dan dilindungi daripada dibaham oleh harimau nafsu.
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete