2: AHLI ASBAB DAN AHLI TAJRID
KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU
DALAM SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU UNTUK
BERASBAB PADAHAL ALLAH TELAH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA TAJRID
BERERTI TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI.
Hikmat 1
menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung kepada amal
adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini dinamakan alam asbab.
Apabila perjalanan
hidup keduniaan dipandang melalui mata ilmu atau mata akal akan dapat
disaksikan kerapian susunan sistem sebab
musabab yang mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut
sebab yang menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat
erat.
Mata akal melihat dengan
jelas keberkesanan sebab dalam menentukan akibat. Kerapian sistem sebab musabab
ini membolehkan manusia mengambil manfaat daripada anasir dan kejadian
alam. Manusia dapat menentukan anasir yang boleh memudaratkan kesihatan lalu
menjauhkannya dan manusia juga boleh menentukan anasir yang boleh menjadi ubat
lalu menggunakannya. Manusia boleh membuat ramalan cuaca, pasang surut air
laut, angin, ombak, letupan gunung berapi dan lain-lain kerana sistem yang
mengawal perjalanan anasir alam berada dalam suasana yang sangat rapi dan
sempurna, membentuk hubungan sebab dan akibat yang padu.
Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah
untuk kemudahan manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan
akal dan pancaindera manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan
perjalanan sebab musabab. Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah
lahir berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains,
astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu itu
dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil (akibat).
Manusia yang
melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan akibat serta bersandar
dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem sebab
musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat manusia lupa kepada
kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan penuh keyakinan
bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah s.w.t tidak ikut
campur dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya ‘mempertuhankan’
sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-Nya.
Allah s.w.t tidak
suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap mempersekutukan diri-Nya dan
kekuasaan-Nya dengan anasir alam dan hukum sebab-akibat ciptaan-Nya. Dia
yang meletakkan keberkesanan kepada anasir alam berkuasa membuat anasir alam
itu lemah semula. Dia yang meletakkan
kerapian pada hukum sebab-akibat berkuasa merombak hukum tersebut. Dia
mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mukjizat yang merombak hukum
sebab-akibat bagi mengembalikan pandangan manusia kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab
ketuhanan-Nya.
Kelahiran Nabi Isa
a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat Nabi Musa a.s, kehilangan kuasa
membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk ke dalamnya,
keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi Muhammad s.a.w dan banyak lagi
yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak
keberkesanan hukum sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa
kekuasaan Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum
sebab-akibat. Alam dan hukum yang ada padanya seharusnya membuat
manusia mengenal Tuhan, bukan menutup pandangan kepada Tuhan. Sebahagian
daripada manusia diselamatkan Allah s.w.t daripada waham sebab musabab.
Sebagai manusia
yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus sebab musabab tetapi
mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada sebab. Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau
mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat.
Jika sesuatu sebab
berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya
sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang
menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut dan Allah s.w.t juga yang
mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada di
langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit
dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu. ( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid )
Maka Kami (Allah)
berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih
itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah
menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu
tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. ( Ayat 73 :
Surah al-Baqarah )
Orang yang melihat
kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebab-akibat tidak
meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut. Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak kepada amal yang
menjadi sebab. Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.
Ahli tajrid,
seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan sebab-akibat. Ahli
tajrid juga makan dan minum Ahli tajrid memanaskan badan dan memasak
dengan menggunakan api juga. Ahli tajrid juga melakukan sesuatu pekerjaan yang
berhubung dengan rezekinya.
Tidak ada perbezaan di antara amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab. Perbezaannya
terletak di dalam diri iaitu hati. Ahli asbab melihat kepada kekuatan hukum
alam. Ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hukum alam itu.
Walaupun ahli asbab mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi penghayatan dan
kekuatannya pada hati tidak sekuat ahli tajrid.
Dalam melakukan kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka
perlu memaksa diri mereka
berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar tidak menjadi rosak. Ahli
asbab perlu memperingatkan dirinya
supaya berbuat ikhlas dan perlu melindungi keikhlasannya agar tidak dirosakkan
oleh riak (berbuat baik untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia
dikatakan orang baik), takbur (sombong dan membesar diri, merasakan diri
sendiri lebih baik, lebih tinggi, lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang
lain) dan sama’ah (membawa perhatian orang lain kepada kebaikan yang telah
dibuatnya dengan cara bercerita mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia
adalah orang baik). Jadi, ahli asbab
perlu memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan juga selepas melakukannya.
Suasana hati ahli
tajrid berbeza daripada apa yang dialami oleh ahli asbab. Jika ahli asbab
memperingatkan dirinya supaya ikhlas, ahli
tajrid tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka tidak bersandar kepada amal
kebaikan yang mereka lakukan. Apa juga kebaikan yang keluar daripada
mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kebaikan tersebut.
Ahli tajrid tidak perlu menentukan perbuatannya ikhlas atau tidak
ikhlas. Melihat keihklasan pada perbuatan sama dengan melihat diri sendiri yang
ikhlas. Apabila seseorang merasakan dirinya sudah ikhlas, padanya
masih tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak, ujub (merasakan diri
sendiri sudah baik) dan sama’ah.
Apabila tangan
kanan berbuat ikhlas dalam keadaan tangan kiri tidak menyedari perbuatan itu
baharulah tangan kanan itu benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas berbuat kebaikan dengan melupakan kebaikan itu.
Ikhlas sama seperti harta benda. Jika seorang miskin diberi harta oleh jutawan,
orang miskin itu malu mendabik dada kepada jutawan itu dengan mengatakan yang
dia sudah kaya.
Orang tajrid yang
diberi ikhlas oleh Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah
s.w.t. Jika harta orang miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah hak Allah s.w.t. Jadi, orang
asbab bergembira kerana melakukan perbuatan dengan ikhlas, orang tajrid
pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir sekalian urusan. Ahli asbab dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam
penyerahan.
Kebaikan yang
dilakukan oleh ahli asbab merupakan teguran agar mereka ingat kepada Allah
s.w.t yang memimpin mereka kepada kebaikan. Kebaikan yang dilakukan oleh ahli tajrid merupakan kurniaan Allah s.w.t
kepada kumpulan manusia yang tidak memandang kepada diri mereka dan
kepentingannya.
Ahli asbab melihat
kepada keberkesanan hukum sebab-akibat. Ahli
tajrid pula melihat kepada keberkesanan kekuasaan dan ketentuan Allah s.w.t.
Dari kalangan ahli tajrid, Allah s.w.t memilih sebahagiannya dan meletakkan
kekuatan hukum pada mereka. Kumpulan ini
bukan sekadar tidak melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat, malah
mereka berkekuatan menguasai hukum sebab-akibat itu. Mereka
adalah nabi-nabi dan wali-wali pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan mukjizat
dan wali-wali dianugerahkan kekeramatan. Mukjizat
dan kekeramatan merombak keberkesanan hukum sebab-akibat.
Di dalam kumpulan
wali-wali pilihan yang dikurniakan kekuatan mengawal hukum sebab-akibat itu
terdapatlah orang-orang seperti Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Abu Hasan as-Sazili, Rabiatul Adawiah, Ibrahim
Adham dan lain-lain. Cerita tentang kekeramatan mereka sering diperdengarkan.
Orang yang cenderung kepada tarekat tasauf gemar menjadikan
kehidupan aulia Allah s.w.t tersebut sebagai contoh, dan yang mudah memikat
perhatian adalah bahagian kekeramatan.
Kekeramatan
biasanya dikaitkan dengan perilaku kehidupan yang zuhud dan bertawakal
sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Timbul anggapan bahawa jika mahu memperolehi
kekeramatan seperti mereka mestilah hidup sebagaimana mereka.
Orang yang berada
pada peringkat permulaan bertarekat cenderung untuk memilih jalan
bertajrid iaitu membuang segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada
Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan
pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Semua harta
disedekahkan kerana dia melihat Saiyidina
Abu Bakar as-Siddik telah berbuat demikian. Ibrahim bin Adham telah
meninggalkan takhta kerajaan, isteri, anak, rakyat dan negerinya lalu tinggal
di dalam gua. Biasanya orang yang bertindak demikian tidak dapat bertahan lama.
Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya dan kembali kepada
kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali kepada kehidupan yang lebih buruk
daripada keadaannya sebelum bertarekat dahulu kerana dia mahu menebus
kembali apa yang telah ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat.
Keadaan yang
demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu. Orang yang baharu masuk
ke dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti aulia Allah s.w.t
yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampak semua yang
dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan dengan cabaran dan dugaan
yang boleh menggoncangkan imannya dan mungkin juga membuatnya berputus-asa.
Apa yang harus
dilakukan bukanlah meniru kehidupan aulia Allah s.w.t yang telah mencapai makam
yang tinggi secara melulu. Seseorang
haruslah melihat kepada dirinya dan mengenalpasti kedudukannya, kemampuanya dan
daya-tahannya. Ketika masih di dalam makam asbab seseorang haruslah
bertindak sesuai dengan hukum sebab-akibat. Dia harus bekerja untuk
mendapatkan rezekinya dan harus pula berusaha menjauhkan dirinya daripada
bahaya atau kemusnahan.
Ahli asbab perlu berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat
dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih lagi melihat bahawa
tindakan makhluk memberi kesan kepada dirinya. Oleh yang demikian adalah
wajar sekiranya dia mengadakan juga tindakan yang menurut pandangannya akan
mendatangkan kesejahteraan kepada dirinya dan orang lain. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang pada
kedudukan sebagai ahli asbab ialah apabila urusannya dan tindakannya yang
menurut kesesuaian hukum sebab-akibat tidak menyebabkannya mengabaikan
kewajipan terhadap tuntutan agama. Dia tetap berasa ringan untuk berbakti
kepada Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat duniawi dan tidak berasa iri
hati terhadap orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum asbab
maka jiwanya akan maju dan berkembang dengan baik tanpa menghadapi kegoncangan
yang besar yang boleh menyebabkan dia berputus asa dari rahmat Allah s.w.t.
Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam makam
tajrid secara selamat. Akhirnya dia mampu untuk bertajrid sepenuhnya.
Ada pula orang yang dipaksa oleh takdir supaya bertajrid. Orang
ini asalnya adalah ahli asbab yang berjalan menurut hukum sebab-akibat
sebagaimana orang ramai. Kemungkinannya kehidupan seperti itu tidak menambahkan
kematangan rohaninya. Perubahan jalan perlu baginya supaya dia boleh maju dalam
bidang kerohanian. Oleh itu takdir
bertindak memaksanya untuk terjun ke dalam lautan tajrid. Dia akan mengalami keadaan di mana hukum sebab-akibat
tidak lagi membantunya untuk menyelesaikan masalahnya.
Sekiranya dia seorang
raja, takdir mencabut kerajaannya. Sekiranya dia seorang hartawan,
takdir menghapuskan hartanya. Sekiranya dia seorang yang cantik,
takdir menghilangkan kecantikannya itu. Takdir memisahkannya daripada apa yang dimiliki dan dikasihinya. Pada
peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai ahli
asbab, dia berikhtiar menurut hukum sebab-akibat untuk mempertahankan apa yang
dimiliki dan dikasihinya. Jika dia tidak terdaya untuk menolong dirinya dia
akan meminta pertolongan orang lain. Setelah puas dia berikhtiar termasuklah
bantuan orang lain namun, tangan takdir
tetap juga merombak sistem sebab-akibat yang terjadi ke atas dirinya.
Apabila dia sendiri
dengan dibantu oleh orang lain tidak mampu mengatasi arus takdir maka dia tidak
ada pilihan kecuali berserah kepada takdir. Dalam keadaan begitu dia akan lari kepada Allah s.w.t dan merayu agar
Allah s.w.t menolongnya. Pada peringkat ini seseorang itu akan kuat beribadat
dan menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. Dia benar-benar berharap Tuhan
akan menolongnya mengembalikan apa yang pernah dimilikinya dan dikasihinya.
Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya sehinggalah dia benar-benar
terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya itu. Luputlah harapannya untuk
memperolehinya kembali.
Redalah dia dengan perpisahan itu. Dia tidak lagi merayu
kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan segala urusannya kepada Tuhan. Dia
menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan
kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid. Apabila
seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t sendiri akan menguruskan
kehidupannya. Allah s.w.t menggambarkan suasana tajrid dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah)
berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang
memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )
Makhluk Allah s.w.t
seperti burung, ikan, kuman dan sebagainya tidak memiliki tempat simpanan
makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Allah s.w.t.
Jaminan Allah s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia. Tanda Allah s.w.t meletakkan
seseorang hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah s.w.t memudahkan baginya
rezeki yang datang dari arah yang tidak diduganya. Jiwanya tetap tenteram
sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki atau ketika menerima bala ujian.
Sekiranya ahli tajrid sengaja memindahkan dirinya kepada makam asbab
maka ini bermakna dia melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada
makhluk . Ini menunjukkan akan kejahilannya tentang
rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t. Tindakan yang jahil itu boleh menyebabkan
berkurangan atau hilang terus keberkatan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya.
Misalnya, seorang
ahli tajrid yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali membimbing orang
ramai kepada jalan Allah s.w.t, walaupun tidak mempunyai sebarang pekerjaan
namun, rezeki datang kepadanya dari berbagai-bagai arah dan tidak pernah putus
tanpa dia meminta-minta atau mengharap-harap. Pengajaran yang disampaikan
kepada murid-muridnya sangat berkesan sekali. Keberkatannya amat ketara seperti
makbul doa dan ucapannya biasanya menjadi kenyataan. Andainya dia
meninggalkan suasana bertajrid lalu berasbab kerana tidak puas hati dengan
rezeki yang diterimanya maka keberkatannya akan terjejas. Pengajarannya, doanya
dan ucapannya tidak seberkesan dahulu lagi. Ilham yang datang kepadanya
tersekat-sekat dan kefasihan lidahnya tidak selancar biasa.
Seseorang hamba
haruslah menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah s.w.t kurniakan
kepadanya. Berserahlah kepada Allah
s.w.t dengan yakin bahawa
Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi
setiap makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat bijak mengatur urusan
hamba-hamba-Nya.
Keinginan kepada
pertukaran makam merupakan tipu daya yang sangat halus. Di
dalamnya tersembunyi rangsangan nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini
merangkumi kehendak, cita-cita dan angan-angan. Orang yang baharu terbuka pintu
hatinya setelah lama hidup di dalam kelalaian, akan mudah tergerak untuk
meninggalkan suasana asbab dan masuk ke dalam suasana tajrid. Orang yang telah
lama berada dalam suasana tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali sepenuhnya,
ikut kembali kepadanya adalah keinginan, cita-cita dan angan-angan. Nafsu
mencuba untuk bangkit semula menguasai dirinya. Orang asbab perlulah menyedari bahawa keinginannya untuk berpindah
kepada makam tajrid itu mungkin secara halus digerakkan oleh ego diri yang
tertanam jauh dalam jiwanya. Orang tajrid pula perlu sedar keinginannya
untuk kembali kepada asbab itu mungkin didorong oleh nafsu rendah yang masih
belum berpisah dari hatinya.
.
barakallah
ReplyDeletealhamdulillah
ReplyDeleteMATUR TAMPIASIH
ReplyDeleteGhhh
ReplyDeleteGghh
ReplyDeleteMashaaAllah. Mantapnya huraian 🥲 jazakallahu khair atas postnya
ReplyDelete