119: PERHATIKAN KEWAJIPAN BUKAN PERMINTAAN.
JANGAN MENGADAKAN TUNTUTAN TERHADAP TUHAN KAMU LANTARAN KELEWATAN TERCAPAINYA
HAJAT KAMU, TETAPI TUNTUTLAH DIRI KAMU
AGAR TIDAK MELEWATKAN KEWAJIPAN (TERHADAP ALLAH S.W.T).
Sikap bertauhid
hendaklah sentiasa dipupuk supaya syirik dapat dikikis hingga kepada yang
paling halus. Salah satu pintu yang mudah dimasuki oleh anasir syirik adalah
hajat dan keinginan diri sendiri baik dari segi duniawi, ukhrawi ataupun
kedudukan kerohanian.
- Ahli dunia berhajatkan kesenangan duniawi.
- Ahli akhirat berhajatkan kesenangan dan
keselamatan syurgawi.
- Ahli kerohanian berhajatkan peningkatan makam.
Masing-masing itu
masih lagi mempunyai sesuatu hajat yang selain Allah s.w.t. Apa sahaja yang
selain Allah s.w.t mestilah dileburkan agar tidak ada yang bertempat di
dalam hati selain Allah s.w.t. Hati hanyalah untuk Allah s.w.t.
Amat tidak wajar
membenarkan sesuatu selain Allah s.w.t mendiami Istana Allah s.w.t. Jika
sesuatu dimasukkan ke dalam istana Allah s.w.t bermakna sesuatu itu didudukkan
pada taraf yang menyaingi Allah s.w.t. Ini adalah perbuatan yang sangat tidak
beradab kepada Allah s.w.t, menyalahi sifat ubudiyah (kehambaan) yang
diwajibkan kepada sekalian makhluk.
Setiap hamba Allah s.w.t diwajibkan memperhatikan ketuhanan Allah s.w.t
dan menjaga adab hamba kepada Tuhan, iaitu taat kepada perintah-Nya, hukum-Nya
dan ketentuan-Nya.
Allah s.w.t adalah
Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Mengerti. Dia sangat mengerti menguruskan hamba-Nya lebih daripada hamba itu
menguruskan dirinya sendiri. Dia yang menciptakan makhluk dan keperluan
makhluk dan Dia juga yang mengadakan pembahagian.
Hanya Dia yang
benar-benar memahami apa yang perlu bagi setiap makhluk tanpa perlu Dia
diperingatkan, apa lagi dikenakan tuntutan.
Tidak ada satu
makhluk pun yang berhak mempersoalkan apa yang Tuhan buat tetapi setiap makhluk
diwajibkan menjawab soalan Tuhan. Hamba
yang mengerti tarafnya sebagai hamba akan memelihara kewajipan kehambaan tanpa
membuat sebarang tuntutan, sebaliknya mengawasi dirinya agar sentiasa menjaga
adab dan peraturan kehambaan yang dikenakan kepadanya.
Keresahan yang
timbul dalam jiwa lantaran tidak mendapat apa yang dihajati adalah kerana hati
telah menggunakan daya nilai yang tidak benar. Allah s.w.t telah menetapkan
satu piawaian. Segala penilaian mestilah ditundukkan kepada piawaian Allah
s.w.t. Jika hati memilih piawaian akal
dan piawaian nafsu hati itu tidak dapat lari daripada keraguan yang
mendatangkan keresahan. Nafsu dan akal mesti ditundukkan agar menyesuaikan
diri dengan piawaian Allah s.w.t.
Segala hajat dan
keinginan mestilah menurut kehendak Allah s.w.t. Segala hujah dan pembuktian
mestilah menyokong peraturan Allah s.w.t. Apabila
nafsu dan akal sudah tunduk kepada kehendak dan peraturan Allah s.w.t baharulah
mata hati berupaya menyaksikan dengan pandangan hikmah.
Dan apa jua yang
menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah
disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan
berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa
kamu. (Ayat 30 : Surah asy-Syura)
Pandangan hikmah
memperlihatkan bahawa apa juga kerugian yang menimpa manusia adalah kerana
kesalahan yang dilakukannya sendiri. Jika doanya tidak dimakbulkan atau lambat
dimakbulkan, ia adalah kerana kesalahan yang telah dilakukannya menghalang doa
itu naik ke Hadrat Allah s.w.t.
Jika bala
menimpanya ia adalah kerana dosa yang telah dilakukannya. Jika hajat atau
keinginan yang sukar diperolehi mendatanginya, ia adalah kerana hatinya
dibungkus oleh kegelapan nafsu. Jika akalnya gagal merenungi keagungan dan
kebesaran Allah s.w.t ia adalah kerana perhatiannya hanya menjurus kepada soal
kebendaan dan perkara-perkara zahir.
.
Terima kasih atas perkongsian ilmunya, saya suka dengan isi blog ini ^_^
ReplyDelete