95: ALAM PADA ZAHIRNYA DAN BATINNYA.
ALAM INI PADA ZAHIRNYA ADALAH TIPUAN DAN BATINNYA ADALAH PERINGATAN.
NAFSU MEMANDANG KEPADA ZAHIRNYA YANG MENIPU DAYA, SEMENTARA HATI PULA MEMANDANG
KEPADA BATINNYA YANG MEMBERI PERINGATAN.
Alam maya ini boleh
dilihat melalui dua aspek, iaitu aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir
memperlihatkan satu keadaan sementara aspek batin pula memperlihatkan keadaan
yang lain. Bagi memudahkan pemahaman alam boleh dibahagikan kepada dua bahagian
iaitu”
1]. alam rendah yang dikenali sebagai dunia dan
2]. alam tinggi yang dikenali sebagai alam malaikat (alam malakut).
Alam dunia adalah
tempat kediaman manusia dan juga musuh manusia iaitu syaitan. Manusia menjadi
permata bagi dunia. Dunia ini diciptakan khas untuk ditempatkan manusia buat
melaksanakan hukum ketentuan Allah s.w.t pada azali. Manusia dijadikan khalifah
atau penguasa yang bertanggungjawab menjalankan perundangan Tuhan yang telah
siap digubal dan dibentangkan.
Dalam melaksanakan
tugasnya manusia tidak dibiarkan dalam kebingungan. Tuhan sentiasa
menghantarkan ayat-ayat-Nya, tanda-tanda dan petunjuk sebagai penyuluh jalan
bagi manusia selaku pelaksana hukum Tuhan. Ayat-ayat, tanda-tanda dan petunjuk
yang disampaikan kepada manusia adalah bersesuaian dengan sifat manusia dan
alam dunia yang mereka diami. Utusan Allah s.w.t yang menyampaikan ayat-ayat, tanda-tanda
dan petunjuk kepada manusia dipilih dari kalangan manusia sendiri dan bertutur
dalam bahasa manusia.
Manusia mendengar
para Rasul membacakan ayat-ayat Allah s.w.t dalam bahasa yang mereka fahami.
Rasul-rasul pada zahirnya bersifat sebagai manusia tetapi pada batinnya adalah
juru-bicara Allah s.w.t, menyampaikan apa yang Allah s.w.t mahu sampaikan.
Bahasa yang digunakan pada zahirnya adalah bahasa manusia tetapi pada batinnya
adalah Kalam Allah s.w.t.
Dalam melaksanakan
tugas membawa risalat, Rasul-rasul diperkuatkan dengan mukjizat. Mukjizat
tersebut pada zahirnya merupakan perubahan yang luar biasa terjadi pada anasir
alam, tetapi pada batinnya adalah pertunjukan kekuasaan Tuhan. Dalam kehidupan
harian manusia melihat berbagai-bagai kejadian seperti curahan air hujan,
tiupan angin, alunan ombak dan lain-lain. Mereka melihat kejadian alam pada
zahirnya tetapi pada batinnya adalah perjalanan peraturan Allah s.w.t. Manusia
juga pada zahirnya mengalami berbagai-bagai peristiwa tetapi pada batinnya adalah
takdir Ilahi. Jadi, seluruh aspek kehidupan dalam alam dunia ini merangkumi
aspek zahir dan aspek batin.
Aspek zahir
memperlihatkan benda-benda alam dan aspek batin menyatakan hubung-kait segala
sesuatu dengan Tuhan. Jika pandangan
hanya tertuju kepada aspek zahir maka hanya benda-benda alam dan peristiwa yang
kelihatan, tidak ada kenyataan tentang Tuhan.
Pandangan yang hanya memperlihatkan alam akan
mengwujudkan sikap bebas merdeka, tidak berasa bergantung kepada Tuhan, tidak
berasa malu melakukan maksiat jika tidak dilihat oleh sesama manusia walaupun
Tuhan melihatnya.
Orang yang memiliki
pandangan begini adalah orang yang memperturutkan hawa nafsunya yang sentiasa
gelojoh dan berselera dengan benda-benda alam. Pandangan yang seperti ini menjemput syaitan supaya ikut sama
memperindahkan benda-benda yang digemari oleh hawa nafsu itu.
Pandangan nafsu
yang membelakangi Tuhan akan dibungkus oleh pandangan syaitan. Allah s.w.t
berfirman:
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf? (Ayat 23 : Surah Jaatsiyah)
Orang yang
pandangan nafsunya dibungkus oleh pandangan syaitan akan mengalami keadaan yang
lebih berat.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada pentutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. (Ayat 7 : Surah al-Baqarah)
Kesudahannya mereka
sampai kepada keadaan:
(Orang-orang yang melakukan perkara-perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? (Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad)
- Pendengarannya
tidak dapat lagi mendengar kebenaran dan penglihatannya tidak dapat lagi
melihat kebenaran.
- Inilah
keadaan orang yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah
melaknatkan seorang hamba-Nya, maka berubah sifat hamba itu dari orang
salih menjadi iblis
- Dan
gugurlah segala amalan yang pernah dikerjakannya.
- Jika
Allah s.w.t melaknatkan seseorang bani Adam maka dia akan menjadi syaitan
berbangsa manusia.
- Manusia
syaitan akan mendorong manusia lain supaya mengikutnya pergi ke neraka.
Supaya terselamat
dari keadaan tersebut Rasulullah s.a.w menasihatkan dengan peringatan:
SESUNGGUHNYA DI DALAM JASAD ANAK ADAM ITU ADA SEKETUL DAGING. JIKA BAIK IA NESCAYA BAIKLAH SEMUA ANGGOTANYA. BILA JAHAT IA NESCAYA JAHATLAH SELURUH ANGGOTANYA. KETAHUILAH, ITULAH KALBU (HATI). (MAKSUD HADIS)
Allah s.w.t berfirman:Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Ayat 9 – 10 : Surah asy-Syams)
Penyucian hati
adalah penyelamat manusia dari tertipu oleh benda-benda alam dan kejadian yang
zahir. Hati yang suci bersih dapat melihat terus ke dalam batin bagi setiap
yang zahir.
- Bila
dia mendengar bacaan ayat-ayat Quran hatinya mendengar ucapan Kalam Allah
s.w.t.
- Bila
dia melihat sesuatu peristiwa terjadi, hatinya melihat perjalanan takdir
Allah s.w.t.
- Bila
dia melihat sesuatu kegemparan hatinya melihat kekuasaan Allah s.w.t.
- Apa
juga yang zahir yang dilihatnya akan membuat hatinya melihat manifestasi
ketuhanan padanya. Tiada sesuatu yang terlepas daripada ikatan ketuhanan
(Ilahi).
No comments:
Post a Comment