43 & 44: REDA ATAU TIDAK KEPADA NAFSU PUNCA MAKSIAT ATAU TAAT.
INDUK SEGALA MAKSIAT, SYAHWAT DAN KELALAIAN ADALAH REDA TERHADAP NAFSU DAN
SUMBER SEGALA TAAT, TERPELIHARA DIRI (DARI SYAHWAT) DAN BANGUN (PADA TAAT)
ADALAH TIDAK REDA KEPADA NAFSU.
BERSAHABAT DENGAN ORANG JAHIL YANG TIDAK MENURUT HAWA NAFSU LEBIH
BAIK DARIPADA BERSAHABAT DENGAN ORANG ALIM YANG TUNDUK KEPADA NAFSU.
ILMU APAKAH YANG DAPAT DIPANGGIL BAGI ORANG ALIM YANG DITAWAN OLEH
NAFSUNYA, SEBALIKNYA KEJAHILAN APAKAH YANG DAPAT DISEBUTKAN BAGI SESEORANG YANG
SUDAH DAPAT MENGEKANG NAFSUNYA.
Hikmat 42
memaparkan sifat iblis yang menyalahi ubudiyah. Hikmat 43 dan 44 ini pula akan
menghuraikan nafsu, yang biasa dipanggil hawa nafsu. Terdapat perbezaan antara
sifat iblis dengan hawa nafsu.
A]. Sifat iblis adalah pendatang haram ... sementara ;
B]. Hawa nafsu adalah tuan rumah yang mengizinkan pendatang haram
tinggal di rumahnya.
Tidak mungkin ada
sifat yang menyalahi ubudiyah jika tidak ada hawa nafsu. Malaikat tidak
mempunyai hawa nafsu, sebab itu mereka sentiasa taat dan menjalankan tugas
mereka dengan sempurna, malah mereka tidak tahu berbuat derhaka kepada Allah
s.w.t.
Matahari tidak ada
hawa nafsu, sebab itu ia tidak menyimpang dari orbitnya. Manusia mempunyai hawa
nafsu sebab itu manusia boleh berbuat tidak taat dan boleh lari dari jalan
lurus yang dibentangkan kepada mereka.
Iblis dan
kuncu-kuncunya iaitu syaitan bertindak memberi saranan dan cadangan tetapi
tidak berkuasa menggerakkan mana-mana anggota manusia supaya melakukan
sesuatu yang dia ingini. Tetapi, jika hawa nafsu menerima saranan dan cadangan
iblis itu maka hawa nafsu berkuasa memaksa anggota tubuh badannya supaya
berbuat sebagaimana yang disarankan oleh iblis itu.
Iblis menyalurkan
sifat-sifat, dan hawa nafsulah yang menerima serta memakai sifat-sifat
tersebut. Satu perkara yang ketara adalah saranan atau idea yang disampaikan
oleh iblis dan syaitan kepada hawa nafsu itu dirasai oleh hawa nafsu bahawa
saranan itu datang dari dirinya sendiri, bukan disalurkan kepadanya dari sumber
lain.
Hawa nafsu akan
mempertahankan pendapat iblis dan syaitan yang diterimanya itu seperti dia
mempertahankan pendapatnya sendiri bahkan dia mendabik dada mengakui bahawa
pendapat tersebut adalah pendapatnya sendiri. Karl Marx yang menyebarkan
fahaman tidak bertuhan tidak mengatakan fahaman itu sebagai rencana iblis
tetapi dia mengakui bahawa dialah yang menemui fahaman tersebut.
Peter yang
menyebarkan fahaman Tuhan tiga dalam satu tidak mengatakan iblis yang
mengajarnya tetapi mengatakan dia menerima wahyu dari Tuhan. Begitulah
kebodohan dan kesombongan hawa nafsu yang tidak sedar dirinya ditunggangi oleh
iblis dan syaitan. Apabila dia menerima cadangan dari iblis dan syaitan dia
derhaka kepada Tuhan dan melakukan syirik terhadap-Nya.
Hawa nafsu bukan
setakat mampu menerima rangsangan dari iblis dan syaitan malah dia sendiri
berupaya merangsang dirinya sendiri tanpa dirangsang oleh iblis dan syaitan.
Rangsangan yang muncul dari hawa nafsu sendiri mengarah kepada melakukan
maksiat, memenuhi tuntutan syahwat dan asyik dengan perkara yang melalaikan.
Apabila iblis dan
syaitan memberi rangsangan yang sesuai dengan sifat nafsu itu sendiri mudahlah
dia melakukan maksiat dan kemungkaran. Dia
tidak berasa sedih bila berbuat kejahatan dan tidak berasa rugi bila hanyut di
dalam lautan kelalaian. Apa yang penting baginya ialah memenuhi apa yang dia
ingini tanpa menghiraukan akibatnya.
Seseorang yang
diistilahkan sebagai jahil tetapi tidak
menurut hawa nafsu, tidak ada padanya sifat megah, sombong, takbur dan bodoh.
Dia boleh tunduk kepada kebenaran jika kebenaran dibentangkan kepadanya. Dia
boleh juga menyampaikan kebenaran yang diketahuinya kepada orang lain. Jadi,
kebodohan apakah yang boleh dikatakan kepada orang seperti ini yang bersedia
menerima dan menyampaikan kebenaran.
Orang yang
diistilahkan sebagai alim pula, bagaimana
boleh dikatakan alim jika dia menurut hawa nafsunya, memakai sifat bodoh
dan sombong, menolak kebenaran jika datang dari orang lain atau tidak secucuk
dengan kehendak nafsunya. Orang alim yang menurut hawa nafsu tidak mengajak
manusia menyembah Allah s.w.t sebaliknya mengajak mereka menyembah ilmunya.
Manusia lain menjadi alat baginya untuk menaikkan ego dirinya sendiri.
Oleh yang demikian adalah lebih baik jika bersahabat dengan orang jahil
yang tidak tunduk kepada hawa nafsunya. Kejahilan tidak menghalangnya untuk
mengenali kebenaran dan dia juga mampu memberi sokongan ke arah kebenaran.
1).Sifat iblis
adalah hijab di luar hati dan
2).Hawa nafsu
adalah hijab di dalam hati.
Jika hijab diluar
disingkapkan dengan tenaga kebenaran,
maka hijab di dalam ini juga perlu disingkapkan dengan tenaga kebenaran. Nafsu
mesti ditundukkan kepada kebenaran.
Pekerjaan ini
bukanlah mudah kerana nafsu kita adalah diri kita sendiri. Tidak ada beza pada
hakikatnya diantara nafsu, hati dengan diri. Memerangi hawa nafsu bererti memerangi diri sendiri. Di dalam diri
sendiri itu berkumpul kemahuan, cita-cita, ilmu pengetahuan dan lain-lain.
Apabila mahu
berperang dengan diri sendiri tidak boleh meminta pertolongan kepada diri
sendiri. Ilmu tidak berdaya menentang
hawa nafsu kerana ilmu adalah alatnya dan alat akan patuh kepada tuannya.
Perbahasan ilmu
yang berlarutan akan menambahkan kekeliruan dan akan meneguhkan nafsu. Makrifat juga tidak boleh digunakan untuk
melawan hawa nafsu kerana jika makrifat digunakan ia akan menarik ke dalam
ilmu, maka terjadilah yang serupa.
Oleh itu jangan
meminta tolong kepada ilmu dan jangan meminta bantuan makrifat untuk melawan nafsu tetapi larilah kepada
Allah s.w.t.
Menjeritlah
sekuat-kuat hati, pintalah pertolongan-Nya. Istiqamah atau
tetap di dalam ubudiyah, menunaikan kewajipan sambil terus berserah diri
kepada-Nya, itulah kekuatan yang dapat menumpaskan hawa nafsu.
No comments:
Post a Comment