122: PELIHARA WIRID SELAMA ADA HAYAT.
WARID (KURNIAAN ALLAH S.W.T) BERTERUSAN HINGGA KE AKHIRAT DAN WIRID BERAKHIR DENGAN BERAKHIRNYA DUNIA.
DAN YANG PALING BAIK DIPERHATIKAN IALAH YANG TIDAK LENYAP. WIRID ITU SEBAGAI TUNTUTAN ALLAH S.W.T KEPADA KAMU
SEMENTARA WARID ITU ADALAH HAJAT KAMU KEPADA ALLAH S.W.T. MAKA DI MANAKAH BANDINGAN
ANTARA TUNTUTAN ALLAH KEPADA KAMU
DENGAN PENGHARAPAN KAMU KEPADA TUHAN KAMU.
Wirid atau aurad adalah amal ibadat yang dilakukan secara tetap terus menerus dari hari ke hari.
Ibadat yang wajib
menjadi wirid yang dipertanggungjawabkan kepada semua orang Islam. Sembahyang lima waktu sehari semalam adalah
wirid yang paling ringkas dan wajib diamalkan.
Bila iman seseorang
bertambah maka bertambah juga wiridnya. Sembahyang sunat, puasa sunat, membaca
al-Quran dan berzikir ditambahkan kepada wirid yang wajib.
Apabila seseorang mencapai peringkat iman yang sempurna keseluruhan
kehidupannya selama dua puluh empat jam sehari semalam merupakan wirid. Wirid
dalam aspek ini adalah Sunah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah
menunjukkan cara menjalani tempuh dua puluh empat jam itu, bermula dari membuka
mata bila jaga dari tidur, baginda s.a.w telah membentuk satu format kehidupan
yang merangkumi segala jenis aktiviti.
Format itulah yang
diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dari hari ke hari sehinggalah Rasulullah s.a.w
wafat. Diketahui dengan jelas oleh umat baginda s.a.w apakah doa yang baginda
s.a.w baca pada sesuatu aktiviti, apakah sembahyang sunat yang baginda s.a.w
kerjakan setiap hari, apakah zikir yang baginda s.a.w sering ucapkan dan
amalan-amalan lain yang dipelopori oleh baginda s.a.w. Amalan tersebut adalah
wirid yang paling sempurna.
Jarang sekali orang
dapat mendekati wirid yang paling sempurna. Sebahagian besarnya mengambil wirid
yang khusus untuk diamalkan bagi satu jangka masa yang tertentu. Bila mereka
merasakan telah mencapai tahap yang boleh dibawa oleh wirid berkenaan, mereka
pun tidak berwirid lagi.
Biasanya perkara
ini terjadi kepada orang yang mengadakan sukatan atau had bagi sesuatu amal
itu. Ditentukan puasa sunat selama empat puluh hari berturut-turut dan membaca
sesuatu jenis zikir sekian ribu kali. Bila had telah dicapai mereka merasakan
kedudukan yang menjadi tujuan juga tercapai. Oleh itu mereka tidak perlu menyambung wirid yang telah diamalkan. Beginilah cara
orang jahil beramal. Mereka tidak memahami bahawa wirid bukanlah
jaminan untuk mendapatkan kedudukan. Tujuan wirid adalah untuk memperteguhkan ubudiyah
(kehambaan).
‘Adam yang telah
menerima nikmat penciptaan dan diperakukan sebagai satu kewujudan individu
sebagai hamba Tuhan, berkewajipan memperhambakan diri kepada Pencipta, Tuhan
sekalian alam. Wirid
adalah kenyataan kepada kehambaan tersebut. Selama seseorang itu
masih berada di dunia ini dia diwajibkan melakukan kewajipan sebagai hamba.
Semakin hampir seseorang dengan Allah s.w.t semakin berat
tanggungjawab, amanat dan sopan santun yang harus ditunaikan.
Peningkatan makam mestilah sejalan dengan peningkatan ubudiyah, bukan
sebaliknya. Apabila seseorang hamba itu meningkat darjatnya, bertambah teguhlah
dia berpegang kepada wirid. Orang yang melepaskan wirid adalah orang yang semakin jauh
daripada Allah s.w.t namun, disangkanya semakin dekat.
Allah s.w.t tidak
putus-putus memberikan kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Ada kurniaan lahiriah
dan ada yang batiniah.
Ada sejenis
kurniaan batiniah yang dikurniakan kepada segolongan daripada hamba-hamba-Nya. Ia adalah kurniaan yang menghubungkan
hamba dengan Tuhan, kurniaan pengalaman hakikat yang menyampaikan
kepada makrifatullah. Kurniaan seperti ini dinamakan warid.
Nur Ilahi menerangi
hati para hamba-Nya dan membakar penjara ‘adam yang memerangkap keaslian
rohani. Ikatan dan kongkongan alam benda terhapus maka bebaslah diri yang asli
kembali kepada asalnya dan masuk ke Hadrat-Nya, kemudian memperolehi baqa
bersama-Nya. Dalam kebaqaan wiridnya ialah Sunah Rasulullah s.a.w.
Pergantungan hati
kepada Allah s.w.t menjadi tarekatnya. Menyaksikan ketuhanan yang menguasai
sekalian yang maujud menjadi suasana hatinya dan suasana begini dinamakan hati berhakikat.
Hasil yang diperolehinya dinamakan makrifat. Apabila dia mengalami kematian
putuslah syariat darinya, tiada lagi wirid yang perlu diamalkannya.
Tetapi, kurniaan Allah
s.w.t (warid) tidak putus:
- Nur Ilahi menerangi alam kuburnya. Nur Ilahi
memimpinnya menuju panji Rasulullah s.a.w di Padang Mahsyar.
- Nur Ilahi menyelamatkannya ketika hisab.
- Nur Ilahi menetapkan kakinya ketika melintasi
Siratalmustaqim.
- Nur Ilahi menunjukkan jalan ke syurga.
- Nur Ilahi memasukkannya ke dalam syurga.
- Nur Ilahi menemaninya di dalam syurga. Badan
ahli syurga yang diselimuti oleh Nur Ilahi sangat bercahaya, sehingga jin
tidak dapat melihat mereka di akhirat sebagaimana manusia tidak dapat
melihat jin di dunia.
- Kekuatan
cahaya Nur
Ilahi yang beserta ahli syurga boleh memadamkan api neraka.
Kekuatan Nur Ilahi
yang tidak terbatas itulah yang memberi kemampuan kepada mereka untuk melihat
Wajah Allah s.w.t tanpa hijab. Inilah kemuncak segala warid!
.
Mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete