107 & 108: NIKMAT PENCIPTAAN DAN NIKMAT SUSULAN.
DUA NIKMAT YANG TIDAK TERPISAH MAKHLUK DARI KEDUA-DUANYA DAN TIDAK DAPAT
TIDAK BAGI SETIAP MAKHLUK MAUJUD DARI KEDUA-DUANYA, ITULAH NIKMAT DICIPTAKAN
DAN NIKMAT YANG MENYUSUL (SETELAH DICIPTAKAN).
ALLAH S.W.T MEMBERI NIKMAT KEPADA KAMU KALI PERTAMANYA DENGAN
MENCIPTAKAN KAMU DAN KALI KE DUANYA DENGAN MELENGKAPI KEPERLUAN KAMU.
- Semua
makhluk asalnya tidak ada.
- ‘Adam
(yang tidak ada) adalah dzat makhluk.
- Apabila
Allah s.w.t berkehendak menciptakan makhluk maka disinari-Nya ‘adam dengan
cahaya nur Wujud-Nya lalu ‘adam menjadi maujud.
- Makhluk
dalam aspek dzatnya yang asli adalah ‘adam (tidak wujud) dan dalam aspek
kewujudan adalah ciptaan Allah s.w.t yang bergantung kepada Wujud Allah
s.w.t.
- Nikmat
pertama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada ‘adam (dzat makhluk) adalah
nikmat penciptaan iaitu ‘adam diterangi dengan cahaya nur Wujud Allah
s.w.t, lalu terciptalah makhluk.
- Bagi ‘adam apabila Allah s.w.t kurniakan kepadanya kewujudan itu merupakan nikmat yang sangat besar, tidak ada yang selain Allah s.w.t dapat berbuat demikian.
Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari sifat-sifat kekurangan), - Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); (Ayat 1 – 3 : Surah al-A’laa)
Dan Allah
menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di
antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan
dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah
menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ayat 45 : Surah
an-Nur)
Yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian
manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari
sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia
menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya; roh ciptaan-Nya. Dan Ia
mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran),
(supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur. (Ayat
7 – 9 : Surah as-Sajdah)
Setelah memberinya
nikmat kewujudan Allah s.w.t mengurniakan pula nikmat ke dua, iaitu
keberlangsungan kewujudan itu.
- Pada
nikmat pertama ‘adam memperolehi taraf al-khalaq (makhluk atau ciptaan)
dan
- Pada
nikmat ke dua makhluk mendapat taraf ‘abd (hamba yang mempunyai Tuan yang
menguruskan kehidupannya).
Makhluk memperolehi
kewujudan dan abdi meneruskan kewujudan serta ada Qadar untuknya. Setiap abdi
Allah s.w.t disediakan ketentuan untuknya dan tidak ada abdi yang lain dapat
menghalangnya dari menikmati apa yang telah Allah s.w.t peruntukkan kepadanya.
Telah diperuntukkan
sejumlah nafas yang akan dihirupnya, rezeki yang akan dinikmatinya, umur yang
akan dijalaninya dan berbagai-bagai lagi yang tidak mungkin disenaraikan.
Tidak ada kewujudan
abdi yang boleh berkata Tuhan menciptakannya kemudian membiarkannya begitu
sahaja. Abdi yang pada mulanya tidak ada, sebaik sahaja dia menjadi ada,
didapatinya segala keperluan kewujudan dan kesinambungan kewujudannya telah pun
disediakan oleh Allah s.w.t.
Begitulah besarnya
nikmat susulan yang mengiringi nikmat penciptaan yang dikurniakan Allah s.w.t
kepada hamba-hamba-Nya. Setiap hamba-Nya menerima layanan yang adil dari-Nya
tanpa mengira apakah mereka ahli taat atau ahli maksiat. Nikmat-Nya merata
kepada semua penciptaan-Nya.
Dia (Allah) yang
menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan
kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit
dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Ayat 29 :
Surah al-Baqarah)
Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi; dan menurunkan
hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman
dan kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat
dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya.
Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan
mereka (yang musyrik) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid).
Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan; dan telah menjadikan
sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya; dan telah menjadikan untuknya
gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut
(yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya?
Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan
kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui. Atau siapakah yang
memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang
menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah
lalu) mendiami dan menguasai bumi?
Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di
antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). Atau siapakah yang menunjukkan
jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan
angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya?
Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah
keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Atau siapakah yang
memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula
sesudah matinya), dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan
bumi?
Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai
Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu
orang-orang yang benar”. (Ayat 60 - 64 : Surah an-Naml)
.
.
No comments:
Post a Comment