83: KEDUDUKAN HAMBA DI SISI ALLAH S.W.T.
JIKA KAMU MAHU MENGETAHUI KEDUDUKAN KAMU DI SISI ALLAH S.W.T, LIHATLAH
DI MANA KAMU DIDUDUKKAN.
Perkara biasa
sekiranya seseorang itu diganggu oleh keinginan mahu mengetahui kedudukannya.
Keinginan yang baik tidak lahir dari perasaan mahu menunjuk-nunjuk atau mahu
bermegah-megah dengan pencapaiannya. Sebenarnya
dia memerlukan pendorong bagi mendapat keyakinan yang teguh. Keinginan yang
bertujuan meneguhkan keyakinan tidak dianggap tercela.
Nabi Ibrahim a.s
pernah memohon kepada Allah s.w.t agar diperlihatkan kepadanya bagaimanakah
mereka yang telah hancur menjadi tanah dibangkitkan semula, bagi menambah dan
memperteguhkan keyakinan beliau a.s.
Wali-wali Allah
dikurniakan kekeramatan sebagai menyokong dan memperkuatkan keyakinan mereka.
Orang yang masih di dalam perjalanan juga memerlukan penyokong bagi
memperbaharui semangat juang dan memperkukuhkan keyakinannya. Salah satu
caranya adalah melihat kepada kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t
telah menetapkan beberapa darjat dan memperlihatkan tanda-tanda bagi darjat
masing-masing. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“JIKA ALLAH S.W.T
KASIH KEPADA SESEORANG HAMBA MAKA DIUJI-NYA DENGAN BALA, JIKA DIA SABAR
DIPILIH-NYA DAN JIKA DIA REDA DIISTIMEWAKAN-NYA”. (MAKSUD HADIS)
Lihatlah kepada diri kita. Jika kita dikenakan bala itu
tandanya kita berada di dalam golongan hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Hamba
yang dikasihi adalah hamba yang sabar dan reda. Jika tidak ada sabar dan
reda itu tandanya kita terkeluar daripada kedudukan hamba yang dikasihi, bala
yang dikenakan kepada kita merupakan hukuman terhadap dosa yang kita lakukan.
Hamba yang sabar
ketika menerima bala adalah hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t, kerana hanya
yang dipilih oleh-Nya sahaja yang diperteguhkan dengan kesabaran, manakala
hamba yang dijauhkan dibiarkan hanyut di dalam keperitan bala.
Jika hamba itu naik pula dari sabar kepada reda, itu
menunjukkan dia diistimewakan kerana hanya hamba yang istimewa sahaja yang
dikurniakan reda, sebab reda mencairkan kesakitan dan keperitan bala lalu
menukarkannya menjadi nikmat.
Allah s.w.t
berfirman:
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila
disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; (Ayat 2
: Surah al-Anfaal)
Sesungguhnya yang
sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang
yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka
segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan
lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak
bersikap sombong takbur.
Mereka
merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan
sembahyang tahajud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan
dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin
memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian
dari apa yang Kami beri kepada mereka. (Ayat 15 – 16 : Surah as-Sajdah)
Allah s.w.t
menerangkan dengan jelas tentang keadaan hamba-hamba-Nya yang berada dalam
makam Mukmin.
Lihatlah kepada diri kita dan jawablah sendiri adakah tanda-tanda Mukmin
itu ada pada kita atau tidak ada. Jika tidak ada, perbanyakkan sembahyang malam
dan bersedekah.
Rasulullah s.a.w
bersabda:
BARANGSIAPA INGIN
MENGETAHUI KEDUDUKANNYA DI SISI ALLAH S.W.T HENDAKLAH IA MELIHAT (DALAM
HATINYA) BAGAIMANA KEADAAN ALLAH S.W.T PADA SISINYA, KERANA ALLAH S.W.T
MENDUDUKKAN HAMBA-NYA MENURUT UKURAN SI HAMBA ITU MENDUDUKKAN ALLAH S.W.T PADA
DIRINYA. (MAKSUD HADIS)
Allah s.w.t
berfirman dalam Hadis Qudsi:
AKU ADALAH
SEBAGAIMANA SANGKAAN HAMBA-KU, MAKA HENDAKLAH DIA MENYANGKA DENGAN APA YANG DIA
KEHENDAKI.
Perkara pokok dalam
memahami kedudukan kita di sisi Allah s.w.t adalah dengan melihat bagaimana keadaan hati kita terhadap Allah s.w.t.
(i)
Jika hati kita
lalai dari mengingati Allah s.w.t maka kedudukan kita adalah hamba yang lalai.
(ii)
Jika hati kita
kuat bergantung kepada amal maka kedudukan kita adalah ragu-ragu dengan jaminan
Allah s.w.t.
(iii) Jika hati kita
kuat bertajrid itu tandanya kita didudukkan hampir dengan-Nya.
(iv) Jika kita
sabar menghadapi ujian bala itu tandanya kita didudukkan dalam golongan
pilihan.
(v) Jika kita reda
dengan apa juga takdir Allah s.w.t itu tandanya kita didudukkan dalam kumpulan
yang diistimewakan.
(vi) Jika kita
merasakan diri kita kosong dari segala sesuatu, yang ada hanya Allah s.w.t, itu
tandanya kita berada di dalam makam makrifat.
(vii) Jika kita berasa senang dengan syariat yang dibawa
oleh Nabi Muhammad s.a.w itu tandanya kita orang Islam.
(viii) Jika gementar
hati kita bila mendengar peringatan kepada Allah s.w.t dan mendengar
ayat-ayat-Nya dibacakan itu tandanya kita seorang Mukmin.
(ix) Jika sifat
benar sebati dengan kita dalam segala keadaan itu tandanya kita seorang
muhsinin.
(x) Jika kita
menjalankan perintah Allah s.w.t dengan tepat, bersungguh-sungguh meninggalkan
larangan-Nya itu tandanya kita seorang muttaqin.
(xi)
Jika kita
berasa akan kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika itu tandanya kita seorang
muqarrabin.
(xii) Jika kita merasakan wujud diri kita lebur di dalam
Wujud Mutlak itu tandanya kita seorang ariffin.
(xiii) Jika kita
gemar menangis dalam mengingati Allah s.w.t di samping melihat bala dan nikmat,
senang dan susah, sihat dan sakit, penolakan dan penerimaan dan segala perkara
yang bertentangan tidak lagi berbeza pada penglihatan mata hati kita itu
tandanya kita dikuasai oleh Cinta Allah s.w.t.
(xiv) Jika apa
sahaja yang kita hadapi memperlihatkan Wujud Allah s.w.t itu tandanya kita baqa
atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Lihatlah di mana kita didudukkan, di
situlah kedudukan kita di sisi Allah s.w.t.
.
No comments:
Post a Comment