77: JANGAN MEREMEHKAN WIRID YANG LAMBAT KEDATANGAN WARID.
JIKA ENGKAU MELIHAT SEORANG HAMBA YANG DITETAPKAN ALLAH S.W.T DALAM
MENJAGA WIRIDNYA DI SAMPING BERTERUSAN BANTUAN ALLAH S.W.T,
MAKA JANGAN ENGKAU MEREMEHKAN PEMBERIAN ALLAH S.W.T KEPADANYA SEKALIPUN
BELUM TERLIHAT PADANYA TANDA ORANG ARIF (AHLI MAKRIFAT) DAN SERI CAHAYA ORANG
YANG CINTA KEPADA ALLAH S.W.T (MUHIBBIN), KERANA SEKIRANYA TIDAK ADA WARID
TIDAK MUNGKIN ADANYA WIRID.
Wirid dan warid
yang telah disentuh pada Hikmat 64 disinggung lagi dalam Hikmat 77 ini. Orang
yang berpegang teguh dengan wiridnya menempuh salah satu dari dua jalan.
1).Jalan pertama adalah jalan ahli akhirat dan2).Jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t.
1a).Ahli akhirat berpegang teguh pada wiridnya
sesuai dengan tuntutan syariat kerana dia mengharapkan balasan syurga dan
dijauhkan dari azab neraka. Mereka berpeluang memperolehi kurniaan Allah
s.w.t untuk mencapai makam Mukmin.
Orang Mukmin adalah
orang yang terjamin syurga baginya. Mereka bukan sahaja terjamin mendapat
syurga di akhirat, bahkan semasa hidup di dunia lagi mereka mendapat
berbagai-bagai kurniaan Allah s.w.t seperti keberkatan pada usaha dan
ketenangan pada jiwa. Orang Mukmin berada dalam makam asbab.
Keberkatan yang
dikurniakan kepada mereka menyebabkan mereka dapat menjalankan kehidupan mereka
mengikut kedudukan asbab tanpa bercanggah dengan syariat.
Kejayaan mengharmonikan berbagai-bagai anasir dalam dirinya di bawah payung
syariat menyebabkan jiwanya menjadi tenang.
2a).Jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t.
Orang yang menjalani jalan ini dinamakan salikin, salik, muridin atau murid.
Orang salik mengamalkan wirid bukan kerana berkehendakkan balasan syurga dan
bukan kerana mahu mengelakkan seksaan neraka. Tujuannya adalah untuk
membersihkan hati dan berharap agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya
makrifat.
Makrifatullah yang
dicari bukan syurga yang dituntut. Apabila memperolehi makrifat dia dipanggil
orang arif, iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Seterusnya, kehalusan
adab sopannya dan kehalusan kurniaan Allah s.w.t kepadanya menjadikannya orang
yang mencintai Allah s.w.t (muhibbin).
Walau jalan mana
yang ditempuh, di sana terdapat mereka yang telah berpegang teguh dengan
berwirid tetapi tanda-tanda orang yang berjaya sampai ke puncak tidak kelihatan
pada mereka. Mereka tidak mendapat kurniaan Allah s.w.t dalam bentuk pengalaman
kerohanian yang halus-halus. Tidak ada
tanda ahli makrifat dan tidak ada cahaya ahli muhibbin pada mereka.
Kemungkinannya mereka dipandang rendah oleh orang lain.
Orang ramai menilai
pencapaian berdasarkan kepada apa yang nyata, seperti pembuktian dengan
kekeramatan, mulut masin atau kefasihan menyampaikan ilmu makrifat. Pandangan
yang demikian merupakan satu kekeliruan. Sebenarnya
kesanggupan untuk mengekalkan wirid sudah merupakan kurniaan yang besar
daripada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t tidak mengurniakan kepadanya
keteguhan hati tentu mereka tidak sanggup mengekalkan wirid. Keteguhan hati
dalam menjaga wirid adalah warid yang datang dari Allah s.w.t dan tidak semua
orang memperolehinya.
No comments:
Post a Comment