118: SIFAT KEWALIAN DITUTUP DARIPADA PANDANGAN UMUM.
MAHA SUCI ALLAH YANG MENUTUPI RAHSIA KEISTIMEWAAN (PARA WALI) DENGAN
DIPERLIHATKAN SIFAT KEMANUSIAAN BIASA KEPADA ORANG RAMAI
DAN
TERNYATA KEBESARAN KETUHANAN ALLAH S.W.T DALAM MEMPERLIHATKAN SIFAT KEHAMBAAN
(PADA PARA WALI-NYA).
Orang yang jahil dan
lemah imannya mudah terlintas sangkaan apabila berhadapan kejadian yang luar
biasa yang terzahir daripada seseorang manusia.
- Nabi Ia a.s dilahirkan secara luar biasa, dan padanya terzahir mukjizat yang luar biasa, menyebabkan segolongan manusia menganggap beliau a.s sebagai anak Tuhan.
- Uzair yang ditidurkan oleh Allah s.w.t selama seratus tahun dan dijagakan di kalangan generasi yang sudah melupai Kitab Taurat, lalu Uzair membacakan isi Kitab Taurat dengan lancar. Orang ramai pun menganggap Uzair sebagai luar biasa, lalu mengangkatnya sebagai anak Tuhan.
Orang ramai sering
mengagungkan manusia yang memiliki kebolehan yang luar biasa. Kadang-kadang
cara pengagungan itu sangat keterlaluan sehingga orang yang diagungkan itu
didudukkan pada taraf yang melebihi taraf manusia. Selain dianggap sebagai anak
Tuhan, ada juga yang dianggap sebagai penjelmaan Tuhan. Timbul juga penabalan
sebagai Imam Mahadi yang dijanjikan Tuhan.
Kesan pemujaan
sesama manusia banyak terdapat pada lembaran sejarah. Pemujaan yang demikian
disifatkan Allah s.w.t sebagai mempertuhankan
makhluk. Perkara ini berlaku kerana salah
mentafsirkan kejadian luar biasa yang terzahir pada orang berkenaan,
walaupun mereka tidak meminta diagungkan.
Perkara luar biasa
yang terjadi pada nabi-nabi dinamakan mukjizat
dan yang terjadi pada wali-wali dinamakan keramat.
- Mukjizat menjadi sebahagian daripada bukti atau hujah kepada orang ramai tentang kebenaran kenabian. Fungsi utama mukjizat adalah memperkuatkan keyakinan orang ramai kepada seseorang nabi itu. Sesuai dengan fungsinya mukjizat berlaku secara terbuka dan diketahui umum.
- Keramat pula merupakan kurniaan khusus kepada para wali. Tujuan utamanya adalah untuk menambahkan keyakinan wali itu sendiri. Ia bukan bertujuan untuk membuktikan kedudukan wali itu kepada orang ramai.
Kekeramatan banyak
berlaku pada zaman akhir ini, jarang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan
para sahabat, sedangkan para sahabat baginda s.a.w adalah aulia Allah yang
agung. Sebahagian daripada mereka telah pun diistiharkan sebagai ahli syurga
ketika mereka masih hidup lagi. Mereka sudah memiliki iman yang sangat teguh,
tidak perlu kepada kekeramatan untuk menguatkannya. Jaminan syurga yang
diberikan oleh Rasulullah s.a.w tidak membuat mereka mengurangkan khidmat bakti
mereka kepada Allah s.w.t.
Umat yang akhir ini
tidak memiliki hati sebagaimana umat pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat
zaman akhir ini memerlukan kekeramatan sebagai penawar yang menguatkan hati
mereka. Oleh sebab kekeramatan itu lebih berguna untuk diri sendiri, maka ia
lebih banyak berlaku secara tersembunyi, hanya sebilangan kecil yang
menyaksikannya atau kadang-kadang tidak ada yang melihatnya. Sifat kewalian
dizahirkan kepada wali Allah itu sendiri sedangkan kepada orang ramai
dizahirkan sifat manusia biasa, hinggakan orang ramai tidak mengetahui
kedudukannya yang sebenar.
Dengan demikian
seseorang wali Allah itu diberi layanan sebagai manusia biasa. Dia perlu hidup
dan menguruskan kehidupan seperti orang ramai. Perilakunya yang memakai sifat
kemanusiaan biasa menjadi contoh kepada orang ramai, bagaimana mahu menjalani
kehidupan di dunia dengan mentaati Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menjalani
kehidupan sebagai manusia biasa di mana baginda s.a.w terpaksa mengikat perut
dengan kain bagi menahan lapar, padahal dengan hanya berdoa kepada Allah s.w.t
baginda s.a.w boleh menjadi kenyang tanpa makan.
Para nabi dan para
wali adalah manusia yang menjadi model untuk diikuti oleh orang ramai. Jika
mereka hidup secara istimewa seperti bergerak secepat kilat dan kenyang tanpa
makan, sudah tentu tidak ada manusia yang dapat mengikut mereka. Oleh itu apabila Allah s.w.t memakaikan
sifat kehambaan seperti orang ramai kepada para nabi dan para wali-Nya itu
adalah bagi kebaikan manusia umum.
.
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete