37: PANDANGAN HATI DAN AKAL.
BERBEZA ANTARA ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T DENGAN
ORANG YANG MENGAMBIL DALIL ATAS-NYA. ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH
S.W.T ITULAH YANG MENGENAL HAQ DAN MELETAKKANNYA PADA TEMPATNYA DAN MENETAPKAN
TERJADINYA SESUATU DARI ASAL MULANYA. MENGAMBIL DALIL ATAS ALLAH S.W.T ADALAH
KERANA TIDAK SAMPAI KEPADA-NYA. MAKA BILAKAH ALLAH S.W.T ITU GHAIB SEHINGGA
MEMERLUKAN DALIL UNTUK MENYATAKAN-NYA DAN BILAKAN ALLAH S.W.T ITU JAUH SEHINGGA
MEMERLUKAN ALAM UNTUK SAMPAI KEPADA-NYA.
Nur Ilahi yang
menyinari hati memperlihatkan Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum yang
selain-Nya kelihatan. Akal pula melihat anasir alam dan kejadian-kejadian yang
berlaku terlebih dahulu sebelum sampai kepada Tuhan yang mengatur segala
urusan. Orang-orang hati melihat Wujud Allah s.w.t mengwujudkan alam dan apa
yang berlaku di dalamnya dan orang-orang akal pula melihat wujud alam menjadi
dalil kepada Wujud Allah s.w.t.
Orang yang sampai kepada Allah s.w.t melihat bahawa Wujud Allah s.w.t adalah Wujud Hakiki dan Wujud Allah s.w.t menerangi wujud makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada peringkat mencari pula melihat Allah s.w.t itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk mengenal Allah s.w.t adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk menjadi bukti kepadanya tentang Wujud Allah s.w.t, kerana makhluk tidak terjadi dengan sendirinya.
Perbincangan Hikmat
8 menyentuh golongan mencari dan
golongan yang dicari. Orang yang mencari menempuh jalan yang
sukar-sukar sebelum bertemu dengan yang dicarinya.
Contoh terbaik orang yang mencari ialah Salman
al-Farisi yang mendapat jolokan Pencari Kebenaran. Beliau r.a berasal
dari Isfahan. Bapanya seorang kenamaan yang kaya-raya dan kuat berpegang kuat
pada agama Majusi. Salman bertugas menjaga api dan bertanggungjawab mempastikan
api itu tidak padam.
Satu hari beliau
lalu berhampiran gereja Nasrani. Beliau tertarik melihat cara orang Nasrani
bersembahyang. Setelah bertukar-tukar fikiran dengan mereka dan mempelajari
tentang agama Nasrani beliau berpendapat agama Nasrani lebih benar daripada
agama Majusi, lalu beliau memeluk agama Nasrani Beliau kemudiannya pergi ke
Syria untuk mendalami pengajiannya tentang agama Nasrani.
Beliau tinggal
dengan seorang pendeta dan beliau menjadi pelayan kepada pendeta tersebut
sambil beliau belajar. Setelah pendeta
itu meninggal dunia Salman pergi ke Mosul, untuk memenuhi kehendak wasiat
pendeta tersebut. Di sana beliau tinggal dan berkhidmat kepada seorang pendeta
juga. Apabila hampir ajalnya pendeta kedua ini mewasiatkan kepada Salman supaya
pergi ke Nasibin dan berkhidmat kepada seorang salih yang tinggal di
sana.
Salman kemudiannya
berpindah ke Nasibin. Pendeta di Nasibin kemudiannya mewasiatkan kepada Salman
agar beliau pergi ke Amuria dan berkhidmat kepada seorang salih di sana. Salman
berpindah pula ke Amuria. Ketika pendeta di Amuria itu hampir menemui ajalnya
beliau memberi amanat kepada Salman bahawa sudah hampir masanya kebangkitan
seorang nabi yang mengikuti agama Nabi Ibrahim a.s secara murni.
Nabi yang baharu
muncul itu nanti akan berhijrah ke satu tempat yang banyak ditumbuhi pokok
kurma dan terletak di antara dua bidang tanah berbatu-batu hitam. Tanda-tanda
yang jelas tentang kenabiannya ialah dia tidak mahu makan sedekah tetapi
menerima hadiah. Di bahunya ada cap kenabian yang bila dilihatnya segera
dikenali akan kenabiannya.
Setelah pendeta
yang memberi amanat itu meninggal dunia berangkatlah Salman mengikuti rombongan
Arab dengan menyerahkan kepada mereka lembu-lembu dan kambing-kambingnya. Sampai
di Wadi Qura, Salman dianiayai dan dijual kepada orang Yahudi. Kemudian, Salman
dijual kepada orang Yahudi yang lain. Tuannya yang baharu itu membawanya ke
Yasrib.
Sebaik sahaja
Salman melihat negeri itu yakinlah dia bahawa itulah negeri yang diceritakan
oleh pendeta yang menjaganya dahulu. Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke
Yasrib, Salman datang menemui baginda s.a.w di Quba dan memberikan makanan
sebagai sedekah kepada baginda s.a.w dan sahabat baginda s.a.w. Rasulullah
s.a.w menyuruh mereka makan tetapi baginda s.a.w tidak menjamah makanan
tersebut.
Keesokan harinya
Salman datang lagi membawa makanan sebagai hadiah. Rasulullah s.a.w makan
bersama-sama sahabat baginda s.a.w. Semasa Rasulullah s.a.w berada di Baqi’,
Salman pergi lagi menemui baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w ketika itu memakai
dua helai kain lebar, satu sebagai sarung dan satu lagi sebagai baju.
Salman menjenguk
dan mengintai untuk melihat belakang baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w mengerti
akan maksud Salman lalu baginda s.a.w menyingkap kain burdah dari leher baginda
s.a.w hingga kelihatanlah cap kenabian yang dicari oleh Salman. Melihatnya
Salman terus menangis dan menciumnya. Akhirnya beliau temui kebenaran yang
beliau telah cari di merata-rata tempat.
Kisah Salman memberi gambaran betapa sukarnya jalan yang
ditempuhi oleh orang yang mencari Allah s.w.t. Di samping
mengharungi kehidupan yang sukar mereka juga menuntut ilmu, berguru ke sana ke
mari, mencari dalil-dalil dan pembuktian bagi menambahkan pengetahuan tentang
Tuhan. Mereka melihat alam dan kejadian di dalam alam sebagai bukti yang
menunjukkan Wujud Allah s.w.t, dan mereka mengkaji alam untuk memahami tentang
keesaan Allah s.w.t. Setelah mereka
sampai kepada Allah s.w.t mereka melepaskan dalil-dalil lalu berpegang kepada
makrifat yang diperolehi.
Golongan yang
dicari menempuh jalan yang berbeza. Contoh
orang yang dicari ialah Saidina Umar al-Khattab r.a. Pada awal
perkembangan Islam di Makkah umat Islam menghadapi tentangan yang hebat dari
puak Quraisy.
Rasulullah s.a.w
telah berdoa agar Islam diperkuatkan dengan salah satu Umar, iaitu Umar bin
Hisyam (Abu Jahal) atau Umar al-Khattab. Umar al-Khattab ketika itu sangat
keras menentang dan menyeksa golongan Islam, terutamanya yang lemah.
Rasa bencinya
terhadap agama baharu yang merombak adat dan kepercayaan datuk neneknya itu
meluap-luap di hatinya. Apabila rasa kebencian itu memuncak beliau mengambil
keputusan mahu membunuh Rasulullah s.a.w. Umar mencabut pedangnya sambil menuju
ke tempat di mana Rasulullah s.a.w berada.
Di tengah jalan
Umar diberitahu bahawa adiknya sendiri telah pun memeluk Islam. Dia memikirkan
bahawa lebih baik jika dia menguruskan masalah dalamannya dahulu sebelum
membunuh Rasulullah s.a.w. Mendengar berita itu dia pun membelok ke rumah
adiknya. Keadaannya seperti singa bengis. Ditendangnya pintu rumah adiknya.
Pada ketika itu
adiknya sedang memegang lembaran yang ditulis dengan ayat al-Quran. Umar
memukul adiknya dan merampas lembaran tersebut. Umar adalah seorang cendekiawan
yang tahu membaca, dan arif tentang sastera puisi. Sebaik sahaja Umar membaca
wahyu Allah s.w.t, tubuhnya menggeletar dan keluarlah ucapan dari mulutnya,”
Ini bukan syair yang ditulis oleh penyair yang handal. Ini bukan karya manusia.
Tidak ada yang dapat menciptakannya kecuali
Tuhan sendiri”. Lalu Umar al-Khattab pergi menghadap Rasulullah s.a.w dan
menyatakan keIslamannya.
Umar al-Khattab
membaca ayat al-Quran, Kalam Allah s.w.t dan serta-merta dia melihat
kebenarannya. Umar tidak memerlukan
kepada alam dan makhluk sekaliannya sebagai dalil dan bukti. Kebenaran
itu sendiri menjadi dalil baginya. Kalam Allah s.w.t sendiri yang menyampaikan
Umar kepada-Nya. Allah s.w.t yang menerangi hati Umar dengan makrifat-Nya.
Makrifatullah yang menerangi makrifat alam sehingga alam itu dikenali melalui
sumber iaitu Allah s.w.t sendiri.
1].Orang yang mencari menyusur dari ranting ke dahan, turun ke batang
lalu pergi kepada umbi sebelum menemui benih yang melahirkan pokoknya.
2].Orang yang telah dibawa kepada Tuhan melihat dari asal mulanya,
melihat benih yang darinya muncul pokok yang cukup lengkap.
Perbezaan arah
memandang menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa. Orang akal
lebih cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan
sejagat iaitu fitrah manusia.
Keberkesanan hukum
sebab-akibat membentuk formula-formula yang seterusnya melahirkan hukum logik
yang dipegang oleh akal. Sukar bagi akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang
meletakkan dan menetapkan keberkesanan hukum sebab-akibat itu.
A). Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang sehingga
mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum yang mereka
pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah mereka
beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.
B). Orang hati pula terus menyaksikan ketuhanan pada apa yang
disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab dan akibat sebagai tadbir Allah
s.w.t. Mereka juga mengambil sebab dalam melakukan sesuatu tetapi ketika
mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah s.w.t, meletakkan pergantungan
kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu, bukan bersandar kepada sebab
semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat menurut hukum logik, orang
hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala sebab.
Orang akal yang
berhadapan dengan keadaan yang demikian sering diganggu oleh kekeliruan dan
mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan logik.
Walaupun terdapat
perbezaan cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara
dua golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa
golongan yang satu lagi.
No comments:
Post a Comment