JIKA ENGKAU BERKEHENDAKKAN KEMULIAAN YANG ABADI JANGANLAH ENGKAU MENCARI
KEMULIAAN YANG SEMENTARA.
Manusia mencari
kemuliaan melalui berbagai-bagai cara. Mereka mencarinya melalui harta,
pangkat dan kekuasaan. Ada yang mencarinya melalui ilmu dan amal. Ada yang
mencarinya melalui wajah yang cantik dan suara yang merdu. Ada pula mencarinya
melalui tindakan yang mencabar seperti terjun dari tempat yang tinggi.
Semua kemuliaan
yang diperolehi dengan cara demikian bersifat sementara. Bila orang yang
berkenaan berpisah daripada alat yang menjadikannya mulia maka hilang juga
kemuliaan yang dimilikinya. Semua
kemuliaan tersebut adalah fatamorgana. Orang yang berpangkat, berkuasa
dan berharta akan tidak berasa mulia lagi bila berhadapan dengan orang yang
tinggi pangkatnya, lebih besar kuasanya dan lebih banyak hartanya. Orang yang
dimuliakan kerana kecantikannya tidak dimuliakan lagi apabila wajahnya sudah
berkedut. Orang yang dimuliakan kerana kemerduan suaranya tidak dimuliakan lagi
bila ada orang lain yang lebih merdu suaranya. Orang yang dimuliakan kerana
berani terjun dari tempat yang tinggi tidak dimuliakan lagi bila ada orang lain
yang lebih berani terjun dari tempat yang lebih tinggi.
Orang yang memiliki
kemuliaan yang bersifat sementara itu tidak dapat merasakan kedamaian kerana
bimbangkan kemuliaannya akan dicabar oleh orang lain. Orang yang dimuliakan
kerana ilmu juga bimbang takut-takut ada orang lain yang lebih berilmu akan
mengambil alih kedudukannya. Orang yang dimuliakan kerana kekuatan amal
kebaikannya masih juga bimbang takut-takut orang ramai mendapat tahu akan
keburukannya yang lalu atau yang tersembunyi. Semua kemuliaan tersebut akan
berakhir apabila manusia mengalami kematian. Jasadnya disemadikan di dalam
tanah dan kemuliaannya ditinggalkan di atas kuburnya.
Jika diperhatikan benar-benar didapati bahawa apa yang dikatakan
kemuliaan bukanlah apa yang dimiliki dan bukan apa yang diletakkan oleh orang
lain kepada seseorang itu. Kemuliaan dan kemegahan adalah perasaan
yang timbul di dalam hati. Ada orang yang kuasanya tidak seberapa tetapi sudah
merasakan sangat mulia. Ada orang yang hanya menjadi pemandu raja tetapi sudah
berasa mulia seperti raja. Ada orang yang namanya disebutkan oleh pembesar
negeri di hadapan khalayak ramai, pun sudah merasakan dirinya mulia.
Kalam Hikmat yang
lalu telah memberi gambaran tentang aspek zahir serta aspek batin. Alam dalam
aspek zahirnya adalah tipu daya. Kemuliaan dan kemegahan yang dibina di atas
tapak zahir alam juga bersifat tipu daya, bukan asli dan sama sekali tidak
kekal. Kemuliaan dan kemegahan yang demikian hanyalah sangkaan.
Tidaklah
patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi
orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu ialah
milik Allah, (diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (Ayat
139 : Surah an-Nisaa’)
Hanya Allah s.w.t
yang memiliki kemuliaan. Tidak ada satu pun makhluk yang dapat mengwujudkan
kemuliaan. Apa yang dicipta oleh makhluk hanyalah gambaran yang menurut
sangkaan.
Kemuliaan sejati hanya boleh didapati dari Allah s.w.t. Jalannya
adalah dengan mengambil perhatian kepada aspek batin yang bersangkutan dengan
ketuhanan. Hamba Allah s.w.t yang
tidak tertipu oleh zahirnya alam akan terus berpegang pada aspek batinnya yang
memberi peringatan dan petunjuk. Mereka bersabar dalam menempuh gelombang
takdir Ilahi sehingga mereka terdampar di pantai keredaan Ilahi.
Di sana dipakaikan kepada mereka pakaian kemuliaan iaitu tauhid yang
benar. Tauhidlah kemuliaan yang sejati dan abadi. Tauhid
mengajarkan hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa, Maha Mulia, tidak yang lain.
Apabila hati seseorang sudah dipenuhi oleh tauhid maka ia dipenuhi oleh
kemuliaan. Kemuliaan yang dipancarkan
oleh tauhid tidak akan rosak binasa. Perpisahan daripada benda-benda alam,
pendapat orang lain dan apa sahaja tidak sedikit pun menjejaskan hati yang
bertauhid. Hati yang sudah penuh dengan kemuliaan Allah s.w.t tidak lagi
menghiraukan penghinaan makhluk.
Ia tidak berakhir
dengan kematian kerana Allah s.w.t tidak binasa dan kemuliaan-Nya juga tidak
binasa. Ia tetap mulia di dalam kuburnya, mulia ketika dibangkitkan dari
kuburnya dan lebih mulia lagi di akhirat yang kekal abadi.
.
No comments:
Post a Comment