68 & 69: KETAATAN ADALAH KURNIAAN ALLAH S.W.T.
JANGANLAH KETAATAN KAMU KEPADA ALLAH S.W.T MENGGEMBIRAKAN KAMU KERANA
KAMU MELIHAT TELAH MELAKSANAKANNYA, TETAPI GEMBIRALAH KERANA MELIHAT KETAATAN
ITU DATANG DARI ALLAH S.W.T KEPADA KAMU. UCAPKANLAH:
“DENGAN SEBAB KURNIA ALLAH S.W.T KEPADA HAMBA-NYA, MAKA DENGAN DEMIKIAN ITULAH MEREKA PATUT BERGEMBIRA, ITU LEBIH BAIK DARI APA YANG MEREKA KUMPULKAN”.
DILARANG KEPADA ORANG YANG MASIH BERJALAN MENUJU ALLAH S.W.T DAN ORANG
YANG TELAH SAMPAI KEPADA-NYA DARI MELIHAT KEPADA AMAL PERBUATAN MEREKA DAN
AHWAL YANG MEREKA BERADA DI DALAMNYA.
ORANG YANG MASIH DALAM PERJALANAN BELUM MENCAPAI KETEGUHAN BENAR
BERSAMA-SAMA ALLAH S.W.T DALAM AMAL DAN AHWAL. A
DA PUN ORANG YANG TELAH SAMPAI, TELAH DILENYAPKAN ALLAH S.W.T
KESEDARANNYA KE DALAM PENYAKSIAN (MELIHAT-NYA), TIDAK LAGI MELIHAT KEPADA
AMAL DAN AHWAL.
Hikmat 67
menghuraikan, hatilah yang menghadap atau membelakang, berdasarkan
kedudukan kerohanian seseorang.
Hati yang baharu
keluar dari selimut kegelapan dan masuk kepadanya cahaya Nur Ilahi akan
melahirkan sikap gemar melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Kalau dahulu dia
memaksa dirinya untuk beribadat, kini dia berasa mudah untuk beribadat dan
tidak berasa berat walaupun banyak ibadat yang dilakukannya. Perubahan yang
berlaku ini disedarinya dan dia sangat bergembira dengan perubahan tersebut.
Kadang-kadang dia membandingkan amal kebaikannya dengan amal kebaikan orang
lain yang masih hanyut dalam kelalaian. Bertambah ketara kepadanya akan
kekuatan dia melakukan ibadat. Bertambah pula kegembiraannya.
Lahirnya perasaan
demikian adalah kerana kuat azamnya untuk berjuang membuang sifat-sifat tercela
dan menghidupkan sifat-sifat terpuji. Apabila dia melihat sifat-sifat terpuji
sudah menghiasi dirinya timbullah kegembiraannya kerana usahanya telah
mengeluarkan hasil yang baik. Beginilah
kesan yang muncul pada orang yang bersandar kepada usaha dan amalnya. Inilah
yang selalu berlaku kepada orang yang masih diperingkat permulaan, sebelum
hatinya mencapai kematangan.
Orang yang bersandar kepada usaha dan amalnya tidak dapat maju dalam
bidang kerohanian. Jika dia mahu maju dalam perjalanannya
dia hendaklah mengubah haluan pandangannya. Dia tidak boleh lagi memandang dari
amal kepada Allah s.w.t, sebaliknya dia hendaklah memandang dari Allah s.w.t
kepada amal.
Dia tidak
seharusnya melihat amal sebagai kenderaan yang membawanya menuju Allah s.w.t,
sebaliknya dia seharusnya melihat
amal itu adalah tarikan dari Allah s.w.t agar dia dapat menuju kepada-Nya. Dia
tidak seharusnya berasa gembira melihat amalnya membawanya hampir dengan Allah
s.w.t, kerana penglihatan begini mengandungi tipu daya.
Dia hendaklah melihat Allah s.w.t sahaja yang bertindak membawanya
hampir dengan-Nya. Amal yang lahir daripadanya adalah kurniaan Allah s.w.t
sebagai tanda bahawa dia dipersiapkan untuk bertemu dengan Tuhannya. Inilah
seharusnya membuat dia bergembira. Allah s.w.t memberi peringatan tentang
perkara ini dengan firman-Nya:
Katakanlah (wahai
Muhammad): “Dengan kurnia Allah dan dengan rahmat-Nya,maka dengan demikian
seyogialah mereka bersukacita. Itulah yang lebih baik daripada apa yang mereka
kumpulkan”. (Ayat 58 : Surah Yunus)
Dan jika tidaklah
kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu
(terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh
imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (Ayat 83 : Surah an-Nisaa’)
Ayat di atas
mengajak kita melihat bahawa diri kita
tidak mempunyai sebarang daya dan upaya. Tidak bergerak sebesar zarah pun
melainkan dengan izin Allah s.w.t. Segala-galanya
datang dari Allah s.w.t. Allah s.w.t sahaja yang menciptakan segala sesuatu
termasuklah amal kebaikan yang kita lakukan. Kita sendiri tidak mampu melakukan
perbuatan baik itu. Apa juga kebaikan yang muncul dari kita adalah
kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Amal kebaikan itu adalah rahmat dari
Allah s.w.t, bukan hasil usaha kita. Jadi, kita sepatutnya bergembira menerima
rahmat-Nya tidak bergembira melihat diri kita berbuat kebaikan.
Satu lagi tipu daya yang halus yang sering mengganggu perjalanan
seorang murid adalah keinginan untuk mengetahui makam yang telah dicapainya. Dia
suka mengintai-intai dirinya. Dia
bertanya pada dirinya apakah hatinya sudah suci bersih, apakah dia sudah
mencapai martabat wali Allah, apakah dia sudah menjadi Insan Kamil, apakah dia
sudah mencapai makam bersatu dengan Allah s.w.t, apakah sudah ada kekeramatan
pada dirinya dan lain-lain darjat kerohanian.
Perkara yang seperti ini boleh mengganggu perjalanan kerohanian kerana
ia menjuruskan perhatian kepada diri sendiri dan menambahkan kekebalan hijab
diri dan semakin menutup mata hati dari melihat kepada Allah s.w.t. Selagi dia
‘menghidupkan’ dirinya dalam kesedarannya selagi itulah dia tidak dapat masuk
ke Hadrat Allah s.w.t.
Orang yang mahu
mencapai Allah s.w.t hendaklah terlebih dahulu mencapai makam benar
bersama-sama Allah s.w.t dalam amal dan ahwalnya. Hatinya sentiasa teguh bersama-sama
Allah s.w.t, bukan bersama-sama dirinya, amalnya dan kedudukan kerohaniannya. Maksud dan tujuan hanyalah Allah s.w.t.
Amal dan ahwal bukanlah tujuan tetapi hanya alat untuk menuju kepada tujuan.
Orang yang telah
sampai kepada matlamat memperolehi kedudukan benar bersama Allah s.w.t. Akal,
nafsu dan hati berada dalam suasana harmoni.
Apabila akal dan nafsu tidak lagi menghijab, maka mata hatinya menjadi
celik dan dia masuk kepada penyaksian.
Hatinya menyaksikan
amal kebaikan yang keluar daripadanya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka dia
lenyap dalam perbuatan, takdir atau lakuan Allah s.w.t.
Dia tidak lagi melihat kepada amal tersebut. Ahwal adalah tajalli Allah
s.w.t kepada hamba-Nya. Apabila Allah s.w.t bertajalli, segala
sesuatu binasa kecuali Wajah-Nya. Kesedaran si hamba hilang dalam
penyaksian hakiki mata hati. Pandangan yang hakiki tidak
memperlihatkan amal dan ahwalnya. Dia hanya menyaksikan Allah s.w.t Yang
Maha Esa.
Bismillahirrohmaanirrohiim
ReplyDeleteMohon share jzkk