115 & 116: TAKDIR ADALAH UJIAN ALLAH S.W.T.
SEHARUSNYA TIDAK MENEKAN (JIWA KAMU) OLEH BALA YANG MENIMPA KAMU KERANA
KAMU MENGETAHUI BAHAWA TUHAN MENGUJI KAMU DAN DIA YANG MENIMPAKAN KAMU DENGAN
TAKDIR-NYA ADALAH TUHAN YANG BIASA MEMBERIKAN KEPADA KAMU YANG BAIK-BAIK YANG
DIPILIH UNTUK KAMU.
SESIAPA YANG MENYANGKA TIADA KEHALUSAN HIKMAT PADA TAKDIR YANG
MENIMPANYA, ITU ADALAH KERANA SINGKAT PANDANGAN (MATA HATINYA).
Seseorang itu
memiliki dua aspek kewujudan. Pertama ialah yang diciptakan dari ‘adam,
dinamakan kewujudan zahir. Ia menjadi sarang, sarung atau bekas yang tidak
mempunyai sebarang daya dan upaya, tidak boleh mendengar, melihat,
berkata-kata, merasa, bergerak dan lain-lain. Ia boleh dianggap sebagai alat
yang hanya menurut si pengguna alat itu. Kewujudan zahir pada hakikatnya tidak
wujud. Kewujudan aspek kedua adalah kewujudan rohani yang dinisbahkan kepada
Allah s.w.t, tidak kepada ‘adam. Wujud rohani inilah wujud yang sebenar, iaitu
yang dibahasakan sebagai diri, hati, nafsu dan ungkapan “AKU”. Gabungan dua
jenis kewujudan tersebut dinamakan manusia. Jika manusia itu tidak mempunyai
jasad, iaitu jika ia hanya berada dalam aspek rohani sahaja, maka ia adalah
malaikat. Jika ia hanya mempunyai jasad sahaja, maka ia adalah mayat.
Wujud yang datang
dari ‘adam kembali kepada ‘adam, akan rosak binasa dan hilang terus. Ia bermula
dari tiada dan kesudahannya pun tiada juga. Tidak ada apa-apa yang dapat
dipertahankan dari kewujudan jenis ini. Ia juga tidak dapat
dipertanggungjawabkan kerana apabila ia binasa tanggungjawabnya juga binasa.
Fungsi kewujudan yang dari ‘adam ini adalah menjadi alat kepada wujud rohani.
Wujud rohani memerintah dan menggunakan wujud ‘adam (benda). ‘Adam dalam
keadaan aslinya sebagai ‘adam tidak memiliki sebarang pengaruh atau kesan.
Tetapi, bila ia menerima nikmat penciptaan, diberi suasana kebendaan, memakai
berbagai-bagai rupa, maka ia juga diberi keupayaan untuk merangsang,
mempengaruh dan menarik. Semua keupayaan tersebut tertuju kepada rohani. Alam
benda yang diciptakan dari ‘adam bertindak sebagai besi berani menarik rohani
agar menghadap kepadanya. Tindakan dan kesan dari alam benda kepada rohani itu
dinamakan ujian.
Semua yang diciptakan oleh Allah s.w.t menjadi alat yang
menguji rohani. Benda-benda alam, kejadian dan pengalaman merupakan alat-alat
yang menyampaikan ujian, tetapi bukanlah ujian itu sendiri. Ujian yang sebenar
adalah cetusan yang lahir dalam hati ketika menerima kedatangan benda-benda
alam, kejadian dan peristiwa. Misalnya, kematian orang yang dikasihi dialami
oleh semua orang tetapi reaksi hati masing-masing tidak sama. Ada orang yang
menangis, meraung, menghempaskan badannya ketika menghadapi kematian orang yang
dikasihi itu. Ada pula orang yang menerimanya dengan tenang.
Kejadian yang
dihadapi adalah sama tetapi kesannya pada hati tidak sama. Orang yang
menangis dan meraung merasakan dia menghadapi ujian yang sangat hebat.
Orang yang bertenang tidak merasakan sebarang ujian, malah dia menganggap apa
yang berlaku sebagai takdir Allah s.w.t. Apa yang mesti berlaku apabila berlaku
tidak dianggapnya sebagai ujian. Semuanya adalah takdir.
Misal yang lain pula,
ada orang yang tidak dapat tidur lena kerana ada orang yang telah menyindirnya.
Dirasakannya peristiwa itu sebagai bala yang sangat besar. Orang lain pula
menganggap sindiran sebagai gurauan yang remeh-temeh, tidak perlu disimpan di
dalam hati. Sebenarnya apa yang berlaku dan apa yang orang lain kata tidak
memberi sebarang kesan. Perkara yang memberi kesan adalah apa yang diri sendiri
tekankan kepada dirinya.
Benda-benda alam, kejadian dan peristiwa tidak mampu
menekan jiwa seseorang. Orang itulah yang menekan jiwanya sendiri.
Segala yang
dihadapi oleh seseorang itu dinamakan takdir. Takdir tidak menekan jiwa
seseorang. Takdir adalah pembahagian yang Allah s.w.t telah tetapkan bagi
setiap hamba-Nya. Tuhan yang membahagikan takdir itu adalah Tuhan Yang Maha
Pengasih dan Maha Penyayang. Takdir yang dipilih untuk hamba-Nya berada dalam
sempadan kasihan belas dan kehalusan budi-Nya. Dia tidak berlaku kejam dan
zalim kerana kejam dan zalim bukanlah sifat-Nya. Jika kita salah mentafsirkan
kehalusan pembahagian takdir-Nya yang penuh dengan hikmat kebijaksanaan, itu
adalah kerana kejahilan diri kita sendiri, ditambah lagi dengan lemahnya iman
di hati.
Ilmu dan iman
adalah pertahanan hati. Jika pertahanan ini lemah mudahlah bagi musuh-musuhnya
mengenakan tipu daya yang menyebabkan apa sahaja yang mengenainya akan menjadi
bala. Kekayaan akan membuatnya tamak. Kekuasan akan membuatnya hilang pedoman.
Ilmu membuatnya ego. Apa juga yang dimilikinya tidak membuatnya berasa
tenteram. Jiwanya sentiasa keresahan. Inilah orang yang tidak lepas dari ujian
dan bala.
Hikmat yang
menyentuh tentang ujian ini dikemukakan selepas disentuh tentang Sir dan Nur
sifat Allah s.w.t yang membawa kita mengingati hamba-hamba pilihan iaitu para
anbia. Mereka merupakan golongan yang paling banyak menerima ujian. Ujian merupakan
perjalanan hidup nabi-nabi. Mereka telah memberi petunjuk bagaimana cara
menghadapi ujian. Alat menghadapi ujian adalah berserah diri kepada Allah
s.w.t. Di dalamnya ada sabar dan syukur. Ujian bala dihadapi dengan sabar dan
ujian nikmat dihadapi dengan syukur.
Hati yang disinari oleh Sirr yang menerima
sinaran Nur sifat Allah s.w.t berpandangan jauh, mampu menyaksikan hikmah pada
setiap perbuatan Allah s.w.t, baik dalam bala mahupun dalam nikmat. Bala dan
nikmat tidak menghijab hati untuk melihat keadilan-Nya, kemurahan-Nya, kasih
sayang-Nya, kasihan belas-Nya dan kebijaksanaan-Nya.
.
.
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete