65 – 67: NUR, MATA HATI DAN HATI.
NUR-NUR ILAHI ADALAH KENDERAAN HATI DAN RAHSIA HATI.
NUR ITU IALAH TENTERA HATI, SEBAGAIMANA KEGELAPAN ADALAH TENTERA NAFSU.
JIKA ALLAH S.W.T MAHU MENOLONG HAMBA-NYA MAKA DIBANTU DENGAN TENTERA ANWAR
(NUR-NUR) DAN DIHENTIKAN BEKALAN KEGELAPAN.
NUR ITU BAGINYA MENERANGI (MEMBUKA TUTUPAN), MATA HATI ITU BAGINYA
MENGHAKIMKAN DAN HATI ITU BAGINYA MENGHADAP ATAU MEMBELAKANG.
Allah s.w.t hanya
boleh dikenal jika Dia sendiri mahu Dia dikenali. Jika Dia mahu memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka hati hamba
itu akan dipersiapkan dengan mengurniakannya warid.
Hati hamba
diterangi dengan Nur-Nya. Tidak mungkin mencapai Allah s.w.t tanpa dorongan
yang kuat dari Nur-Nya. Nur-Nya adalah kenderaan bagi hati untuk sampai ke
Hadrat-Nya. Hati adalah umpama badan dan roh adalah nyawanya. Roh pula berkait
dengan Allah s.w.t dan perkaitan itu dinamakan as-Sirr (Rahsia).
Roh menjadi nyawa
kepada hati dan Sirr menjadi nyawa
kepada roh. Boleh juga dikatakan bahawa hakikat kepada hati adalah roh dan
hakikat kepada roh adalah Sirr. Sirr atau Rahsia yang sampai kepada
Allah s.w.t dan Sirr yang masuk ke
Hadrat-Nya. Sirr yang mengenal Allah
s.w.t. Sir adalah hakikat kepada sekalian yang maujud.
Nur Ilahi menerangi
hati, roh dan Sirr. Nur Ilahi
membuka bidang hakikat-hakikat. Amal dan ilmu tidak mampu menyingkap rahsia
hakikat-hakikat. Nur Ilahi yang berperanan menyingkap tabir hakikat. Orang yang mengambil hakikat dari buku-buku
atau dari ucapan orang lain, bukanlah hakikat sebenar yang ditemuinya, tetapi
hanyalah sangkaan dan khayalan semata-mata.
Jika mahu mencapai
hakikat perlulah mengamalkan wirid sebagai pembersih hati. Kemudian bersabar
menanti sambil terus juga berwirid. Sekiranya Allah s.w.t kehendaki warid akan
didatangkan-Nya kepada hati yang asyik dengan wirid itu. Itulah kejayaan yang
besar boleh dicapai oleh seseorang hamba semasa hidupnya di dunia ini.
Alam ini pada
hakikatnya adalah gelap. Alam menjadi terang kerana ada kenyataan Allah s.w.t
padanya. Misalkan kita berdiri di atas puncak sebuah bukit pada waktu malam
yang gelap gelita. Apa yang dapat dilihat hanyalah kegelapan. Apabila hari
siang, matahari menyinarkan sinarnya, kelihatanlah tumbuh-tumbuhan dan haiwan
yang menghuni bukit itu. Kewujudan di atas bukit itu menjadi nyata kerana
diterangi oleh cahaya matahari. Cahaya
menzahirkan kewujudan dan gelap pula membungkusnya.
Jika kegelapan
hanya sedikit maka kewujudan kelihatan samar. Sekiranya kegelapan itu
tebal maka kewujudan tidak kelihatan lagi. Hanya cahaya yang dapat menzahirkan
kewujudan, kerana cahaya dapat menghalau kegelapan. Jika cahaya matahari dapat
menghalau kegelapan yang menutupi benda-benda alam yang nyata, maka
cahaya Nur Ilahi pula dapat menghalau kegelapan yang menutup hakikat-hakikat
yang ghaib.
Mata di kepala melihat benda-benda alam dan
mata hati melihat kepada hakikat-hakikat. Banyaknya benda alam yang dilihat
oleh mata kerana banyaknya cermin yang membalikkan cahaya matahari, sedangkan
cahaya hanya satu jenis sahaja dan datangnya dari matahari yang satu jua.
Begitu juga halnya pandangan mata hati. Mata hati melihat banyaknya hakikat
kerana banyaknya cermin hakikat yang membalikkan cahaya Nur Ilahi, sedangkan
Nur Ilahi datangnya dari nur yang satu yang bersumberkan Zat Yang Maha Esa.
Kegelapan yang menutupi mata hati menyebabkan hati terpisah daripada
kebenaran. Hatilah yang tertutup sedangkan kebenaran tidak tertutup. Dalil atau bukti yang dicari bukanlah untuk
menyatakan kebenaran tetapi adalah untuk mengeluarkan hati dari lembah
kegelapan kepada cahaya yang terang benderang bagi melihat kebenaran yang
sememangnya tersedia ada, bukan mencari kebenaran baharu.
Cahayalah yang
menerangi atau membuka tutupan hati. Nur Ilahi adalah cahaya yang menerangi
hati dan mengeluarkannya dari kegelapan serta membawanya menyaksikan sesuatu
dalam keadaannya yang asli. Apabila Nur Ilahi sudah membuka tutupan dan cahaya
terang telah bersinar maka mata hati dapat memandang kebenaran dan keaslian
yang selama ini disembunyikan oleh alam nyata.
Bertambah terang
cahaya Nur Ilahi yang diterima oleh hati bertambah jelas kebenaran yang dapat
dilihatnya. Pengetahuan yang diperolehi melalui pandangan mata hati yang bersuluhkan
Nur Ilahi dinamakan ilmu laduni atau ilmu yang diterima dari Allah s.w.t secara
langsung. Kekuatan ilmu yang diperolehi bergantung kepada kekuatan hati
menerima cahaya Nur Ilahi.
Murid yang masih
pada peringkat permulaan hatinya belum cukup bersih, maka cahaya Nur Ilahi yang
diperolehinya tidak begitu terang. Oleh itu ilmu laduni yang diperolehinya
masih belum mencapai peringkat yang halus-halus. Pada tahap ini hati boleh
mengalami kekeliruan. Kadang-kadang hati menghadap kepada yang kurang benar dengan
membelakangkan yang lebih benar. Orang yang pada peringkat ini perlu
mendapatkan penjelasan daripada ahli makrifat yang lebih arif.
Apabila hatinya
semakin bersih cahaya Nur Ilahi semakin bersinar meneranginya dan dia mendapat
ilmu yang lebih jelas. Lalu hatinya menghadap kepada yang lebih benar,
sehinggalah dia menemui kebenaran hakiki.
No comments:
Post a Comment