6: PENGERTIAN DOA.
JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL
KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB
ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG
DIPILIH-NYA UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU
YANG DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.
Apabila kita
berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan
berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu
memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai
kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita
maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan
ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan
hajat kepada-Nya.
Selagi hajat kita
belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada
kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia
mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka
pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya.
Andainya Allah
s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan
kekayaan dan kemuliaan-Nya.
Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak
sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah
mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.
Dan Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendaki-Nya. ( Ayat 27 : Surah Ibrahim )
Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. ( Ayat 116 : Surah al-Baqarah )
Ia tidak boleh
ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya
kelak. ( Ayat 23 : Surah al-Anbiyaa’ )
Sebahagian besar
daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah s.w.t dengan doa dan
amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya
sebagai mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita
berkata, “Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib
memenuhinya. Aku sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!”
Siapakah yang berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t?
Sekiranya kita tahu
bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah
sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah rela
dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya.
Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita
telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu
juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan
kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah
s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari
memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah
tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri
kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya
daripada sampai kepada kita?
Bukankah Dia Tuhan
Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.
Tidakkah Allah yang
menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha
Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. ( Ayat 14 :
Surah al-Mulk )
Dialah yang
mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 18 : Surah at-Taghaabun )
Apa sahaja ayat
keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau
tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang
sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )
Allah s.w.t Maha
Halus (Maha Terperinci/Detail), Maha Mengerti dan Maha Mengetahui yang ghaib
dan yang nyata. Allah s.w.t yang bersifat demikian menentukan buat diri-Nya
yang apa sahaja yang Dia mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik atau
yang sama baik. Dia boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan
sesiapa pun dan Dia Maha Berkuasa.
Seseorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain.
Manusia hanya
melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari
satu orang manusia itu. Manusia yang
dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak
menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia
yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik
atau kurang baik. Tuhan yang
menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya.
Dia telah
menetapkan buat Diri-Nya:
Bertanyalah (wahai
Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?”
Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah menetapkan atas
diri-Nya memberi rahmat.” (Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Orang yang beriman
selalu mendoakan:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. ( Ayat 201 : Surah al-Baqarah )
Hamba yang mendapat
rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk
kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis
doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan
kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak
menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang
kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang
menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya
sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.
Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha
Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri
kepada-Nya serta ucapkan,
“Wahai Tuhanku Yang
Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku
adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai
hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha
Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan
melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik
bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan
mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku
terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri
Dengan Sendiri”.
No comments:
Post a Comment