109 & 110: HAMBA BERHAJAT KEPADA TUHAN.
BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T ADALAH SIFAT SEBENAR ZAT DIRI KAMU,
SEMENTARA SEBAB MUSABAB (YANG MENGENAI KAMU) ADALAH PERINGATAN KEPADA SESUATU
YANG TERSEMBUNYI DARIPADA DIRI KAMU TENTANGNYA
(SIFAT KEASLIAN KAMU) DAN KEADAAN KAMU YANG
BERHAJAT (KEPADA ALLAH S.W.T) ITU TIDAK DAPAT DIANGKAT OLEH SESUATU
YANG SIFATNYA MENDATANG.
SEBAIK-BAIK WAKTU KAMU ADALAH DI MANA KAMU MELIHAT DALAMNYA ADA HAJAT
(KEPADA ALLAH S.W.T) DAN KAMU KEMBALI KEPADA KEHINAAN
KAMU (MEMPERAKUI PERGANTUNGAN KAMU KEPADA ALLAH S.W.T).
Allah s.w.t
menyempurnakan nikmat-nikmat penciptaan dan keberlangsungan kewujudan
hamba-hamba-Nya. Wujud makhluk bergantung kepada Wujud Allah s.w.t dan
kesinambungan kewujudan makhluk bergantung kepada kurniaan Allah s.w.t.
Apa sahaja yang
diciptakan oleh Allah s.w.t tidak boleh melepaskan diri dari pergantungan
kepada Allah s.w.t. Keadaan berhajat
kepada Allah s.w.t ini menjadi sifat asli bagi makhluk. Tidak ada satu
pun makhluk yang mampu meneruskan kewujudan dan kehidupannya tanpa sokongan
dari Allah s.w.t.
Dalam menjalani
kehidupannya seseorang hamba Allah s.w.t didatangi oleh berbagai-bagai sebab
musabab. Secara zahirnya kehidupan hamba Allah s.w.t dipengaruhi oleh hukum
sebab musabab. Ada anak sebab ada hubungan ibu dengan bapa. Berlaku kematian
disebabkan oleh penyakit. Adanya proses pembesaran sebab ada makanan yang
berkhasiat. Sesuatu perkara berlaku sesuai dengan sebab yang menghasilkan
akibat.
Sistem sebab dan
akibat ini sangat rapi sehingga manusia dapat menyusun peraturan sebab musabab
yang boleh menghasilkan akibat.
Kerapian susunan
sistem sebab musabab menambahkan lagi pengaruhnya kepada hati manusia. Apabila
perhatian hanya tertumpu kepada sistem sebab musabab mereka pun melupai asal
kejadian dan sifat asli mereka. Mereka lupa kepada zat mereka iaitu ‘adam yang
menerima nikmat kewujudan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Mereka tidak
dapat melihat bahawa sebab musabab adalah sebahagian daripada nikmat kurniaan
Allah s.w.t yang menyambung kehidupan mereka.
Orang yang telah
lupa kepada keaslian diri mereka perlu diberi peringatan. Peringatan yang
datang kepada mereka juga dalam bentuk sebab musabab. Mereka dibiarkan
mengadakan sebab tetapi akibat yang sesuai dengan sebab tersebut ditahan,
sebaliknya akibat yang tidak diduga dilepaskan.
Mereka dihadapkan
dengan keadaan di mana sebab tidak mampu mempengaruhi akibat. Ikhtiar mereka
tidak menghasilkan pulangan yang sepatutnya diperolehi. Ini membuat mereka
berasa kecewa dengan sebab-sebab. Kekecewaan tersebut mengalihkan pandangan
mereka kepada sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t yang menguasai
semua sebab dan akibat.
Mereka dapat
melihat dengan jelas bahawa berpegang kepada hukum sebab musabab tidak
melepaskan pergantungan mereka kepada Allah s.w.t. Sebab musabab adalah perkara
yang datang kemudian sedangkan susunan tadbir Allah s.w.t datang lebih dahulu,
menemaninya sejak mula hinggalah sampai bila-bila.
Tidak ada kekuatan
sebab musabab yang dapat mengubah apa yang telah diatur oleh Allah s.w.t.
Peraturan Allah s.w.t sahaja yang menyambung penghidupan mereka, bukan sebab
musabab yang datang kemudian.
Orang yang melihat
kepada hakikat ini hanya mengambil sebab musabab sebagaimana layaknya sebagai
manusia tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanannya kepada sebab
musabab. Kekuasaan Allah s.w.t sahaja
yang menentukan keberkesanan sesuatu sebab. Oleh sebab itu sifat asli hamba
yang berhajat kepada Allah s.w.t tidak dapat diangkat oleh sebab musabab yang
datang kemudian daripadanya.
Seseorang yang
kembali kepada keasliannya mengakui akan keadaan dirinya yang lemah dan
berhajat kepada Allah s.w.t. Mereka akan mengisi setiap ruang dan waktu
kehidupannya dengan memperteguhkan pergantungannya kepada Allah s.w.t.
Zahirnya mengadakan sebab musabab tetapi batinnya berserah
kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan menentukan akibat.
Dia menghayati
nikmat kesinambungan kewujudan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia menjalani
kehidupan yang penuh dengan sebab musabab tanpa mengalih
pandangan daripada as-Samad, Tuhan yang dihajati oleh semua makhluk.
.
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk atas perkongsian ilmu moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete