36: BATINIAH MEMPENGARUHI LAHIRIAH.
APA YANG TERSIMPAN DALAM KEGHAIBAN RAHSIA HATI BERBEKAS NYATA PADA
ZAHIRNYA.
Allah s.w.t
mengurniakan kepada hati hamba-hamba-Nya yang bahagia dengan Nur Zikir, Nur
Kalbu, Nur Akal, Nur Iman dan Nur Makrifat. Kurniaan Allah s.w.t yang demikian
itu merupakan rahsia-rahsia yang tidak diketahui oleh makhluk. Setiap hamba
yang dibawa ke Hadrat-Nya mempunyai rahsia sendiri dan tidak diketahui oleh
hamba-hamba yang lain, walaupun mereka berada pada tingkatan yang sama. Seorang
guru pun tidak tahu rahsia muridnya dengan Tuhannya.
Apa yang Allah
s.w.t kurniakan kepada seorang hamba pilihan-Nya tidak serupa dengan yang
dikurniakan kepada hamba pilihan yang lain. Kurniaan Allah s.w.t kepada seorang
nabi berbeza daripada kurniaan terhadap nabi-nabi yang lain. Kurniaan Allah
s.w.t yang tersimpan dalam keghaiban rahsia hati itu menjadi penggerak kepada
pembentukan diri seseorang, hingga dia dapat dikenal dan dibezakan daripada
orang lain.
Kurniaan Rahsia Allah
s.w.t kepada Isa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Roh Allah.
Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Musa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali
sebagai Kalim Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Ibrahim a.s menyebabkan
beliau a.s dikenali sebagai Khalil Allah. Kurniaan Rahsia Allah kepada Muhammad
s.a.w menyebabkan baginda s.a.w dikenali sebagai Habiballah. Aulia Allah s.w.t
juga menerima kurniaan Rahsia Allah s.w.t dan masing-masing memiliki
keperibadian yang tersendiri
Nur Ilahi yang menyinari hati seseorang akan mengubah
suasana hati itu dan sekaligus perwatakan dan perawakan
orang itu. Perubahan pada perwatakan dapat dilihat pada tingkah-laku dan
perbuatan.
1].Sinaran Nur Zikir akan melahirkan seorang yang gemar berzikir,
mengingati Allah s.w.t semasa duduk, berdiri, ketika sendirian dan juga ketika
berada dalam perkumpulan. Lidahnya sentiasa basah dengan sebutan
nama-nama Allah s.w.t.
2].Sinaran Nur Kalbu akan membuat seseorang berlapang dada, tidak
cemas menghadapi ujian dan gemar mendekati Allah s.w.t.
3].Sinaran Nur Akal akan melahirkan sikap suka bertafakur
sehingga terbukalah kepadanya Rahsia-rahsia ketuhanan yang menjadi penggerak
kepada perjalanan alam maya ini. Muncullah dari lidahnya Kalam Hikmat yang
mempesonakan sesiapa sahaja yang mendengarnya.
4].Sinaran Nur Iman mengwujudkan keyakinan yang tidak berbelah
bahagi kepada perkara ghaib yang dialaminya sekalipun fikiran tidak dapat
menerimanya. Kepercayaan dan keyakinannya tidak bergoncang lantaran mendapat
bantahan dan sindiran.
5].Sinaran Nur Makrifat menerangi mata hati untuk mengenal Allah
s.w.t, melihat-Nya pada semua kejadian. Tidak kabur pandangan mata hatinya
lantaran kekeruhan-kekeruhan yang berlaku di dalam dunia ini. Tidak terbalik
pandangan mata hatinya lantaran mendapat kemuliaan dan kekeramatan.
Nur Ilahi bukan sahaja mengubah perwatakan tetapi juga
mengubah perawakan. Bukan rupa-bentuk muka yang berubah tetapi
cahaya pada wajahnya yang berubah, menyebabkan siapa sahaja
yang melihatnya akan berasa senang.
Misalnya, cahaya
Nur Ilahi yang gilang gemilang menyinari wajah Yusuf a.s telah mempesonakan
wanita-wanita Mesir sehingga mereka tidak sedar menghiris jari sendiri dan
tidak merasai sakitnya akibat terpukau memandang keindahan wajah Yusuf a.s.
Begitulah kuatnya kesan sinaran Nur Ilahi yang tersembunyi secara ghaib di
dalam hati rohani hamba-hamba Allah s.w.t yang dipilih untuk memperolehinya.
Anugerah Allah
s.w.t, iaitu nur-nur, kepada hati hamba-hamba-Nya yang beriman menjadi daya dan
upaya bagi hati untuk berpegang kuat kepada tauhid, mencintai segala yang
bersesuaian dengan Islam dan membencii segala bentuk kekufuran. Daya dan upaya
nur yang pada hati ternyata melalui perbuatan dan juga wajah orang berkenaan.
Nabi Muhammad
(s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap
keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan
sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat
Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan
mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan
keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang salih)
terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang
ikhlas). (Ayat 29 : Surah al-Fat-h)
Tanda nyata pada
sifat pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w adalah mereka tidak bertolak-ansur
pada perkara yang merosakkan akidah. Iman tidak boleh ditukar-ganti dengan
harta, pangkat atau kemuliaan. Iman adalah cahaya dan kekufuran pula adalah
kegelapan. Cahaya dan gelap tidak boleh bersepakat.
Mereka yang sangat
keras menentang kekufuran itu sangat berlemah-lembut apabila bersama-sama
dengan orang yang beriman. Hubungan hati-hati yang beriman adalah kasih sayang
dan kerinduan. Orang yang beriman inginkan kebaikan kepada saudaranya yang
beriman. Mereka tidak merosakkan atau menjatuhkan sesama mereka.
Kebaikan yang Allah
s.w.t kurniakan digunakan untuk meringankan beban saudara-saudaranya yang
beriman. Mereka mengutamakan orang yang beriman daripada orang yang tidak nyata
imannya atau yang nyata kekufuran dan kemunafikannya. Keselamatan iman adalah
apabila ia dipertahankan daripada dicerobohi oleh kekufuran dan kemunafikan.
Akal mengenali
kekufuran melalui tanda-tanda yang diceritakan oleh ayat-ayat al-Quran. Hati
mengenali kekufuran melalui Nur Ilahi yang membuka kekufuran dan kemunafikan
itu kepadanya.
Nur kurniaan Allah
s.w.t yang menjadi daya dan upaya hati seterusnya mempunyai kekuatan untuk
mengawal pancaindera orang yang beriman itu. Setiap anggota digunakan untuk
berbakti kepada Allah s.w.t, enggan ia berbuat maksiat. Orang yang beriman
tekun berbuat ibadat, mencari kurniaan dan keredaan-Nya.
Nur yang dalam Rahsia hati itu juga memancarkan
sinarnya sehingga kelihatan pada wajah orang yang berkenaan. Jika
perasaan yang bersembunyi dalam hati, seperti marah dan riak, boleh ketara pada
wajah, sinaran cahaya nur lebih kuat lagi berbekas pada wajah.
BARANGSIAPA YANG
JERNIH DALAM BATINNYA, AKAN DIPERBAIKI ALLAH APA YANG NYATA PADA
WAJAHNYA. (UCAPAN UMAR AL-KHATTAB)
Kesucian hati seseorang memancarkan cahaya yang dapat ditangkap oleh
cermin hati orang lain yang bersih. Apabila cahaya
iman berjumpa dengan cermin hati orang yang beriman akan lahirlah rasa
persaudaraan muslim yang sejati. Persaudaraan yang begini tidak ada kepentingan diri dan tidak ada
perlumbaan untuk menduduki tempat yang lebih tinggi. Mereka saling bantu
membantu dalam melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t menentukan bahawa yang tersembunyi dalam hati
mengeluarkan tanda pada zahir. Dalam banyak perkara Allah s.w.t
menjelaskan tanda-tanda tersebut melalui wahyu-Nya. Tuhan Yang Maha Pemurah
berbuat demikian agar orang yang beriman tidak tertipu oleh kemanisan bahasa
kemunafikan dan kekufuran. Mempertahankan iman daripada kemunafikan dan
kekufuran adalah satu jihad yang besar. Manusia
tidak berdaya berbuat demikian tanpa pertolongan Allah s.w.t. Apabila Allah
s.w.t memberi pertolongan dengan menunjukkan tanda-tanda sesuatu, ambillah
manfaat daripadanya.
No comments:
Post a Comment