26: MENUNDA AMAL TANDA KEBODOHAN.
MENUNDA AMAL KEBAIKAN KERANA MENANTIKAN KESEMPATAN YANG LEBIH BAIK
ADALAH TANDA KEBODOHAN.
Hikmat yang lalu
memaparkan kebodohan yang timbul kerana kejahilan tentang kekuasaan Tuhan. Hikmat
26 ini pula memaparkan kebodohan yang timbul lantaran kelalaian.
Orang yang mabuk
dibuai oleh ombak kelalaian tidak dapat melihat bahawa pada setiap detik pintu
rahmat Allah s.w.t sentiasa terbuka dan Allah s.w.t sentiasa berhadap kepada
hamba-hamba-Nya. Setiap saat adalah
kesempatan dan tidak ada kesempatan yang lebih baik daripada kesempatan yang
memperlihatkan dirinya kepada kita. Kesempatan yang paling baik ialah
kesempatan yang kita sedang berada di dalamnya.
Kelalaian adalah buah kepada panjang angan-angan.
Panjang angan-angan pula datangnya dari pokok kurang ingatan kepada mati. Jadi,
ubat yang paling mujarab untuk mengubati penyakit kelalaian ialah
memperbanyakkan ingatan kepada mati. Apabila ingatan kepada mati sudah kuat
maka seseorang itu tidak akan mengabaikan kesempatan yang ada baginya untuk
melakukan amal salih.
Hikmat ke 26 jika
ditafsir secara umum menganjurkan agar segala amal kebaikan hendaklah dilakukan
dengan segera tanpa bertangguh-tangguh. Jika
diperhatikan Kalam-kalam Hikmat yang lalu dapat difahamkan bahawa Hikmat
yang dipaparkan berperanan membimbing seseorang pada jalan kerohanian. Amal
yang ditekankan adalah amal yang berhubung dengan pembentukan rohani.
Hikmat 27
nanti akan memperkatakan tentang makam iaitu suasana kerohanian. Jadi, jika
ditafsir secara khusus Hikmat 26 ini menganjurkan bersegera melakukan amal-amal
yang perlu bagi menyediakan hati untuk menerima kedatangan hal-hal dan
seterusnya mencapai makam-makam. Amal yang berkenaan ialah latihan kerohanian
menurut tarekat tasauf. Latihan yang demikian harus disegerakan sebaik sahaja
mendapat kesempatan, tanpa menanti kedatangan kesempatan yang lain yang
diharapkan lebih baik dan lebih sesuai.
Ketika menjalani
latihan kerohanian secara tarekat tasauf kehidupan hanya dipenuhi dengan
amal ibadat seperti sembahyang, puasa, berzikir dan lain-lain Semua amalan
tersebut dilakukan bukan bertujuan untuk mengejar syurga tetapi semata-mata
untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Amalan seperti
inilah yang membuka pintu hati untuk berpeluang mengalami hal-hal yang membawa
kepada hasil yang diharapkan iaitu makrifatullah. Sesiapa yang benar-benar ingin mencari keredaan Allah s.w.t dan
berhasrat untuk menghampiri-Nya serta mengenali-Nya hendaklah jangan
bertangguh-tangguh lagi. Usah
dicari kesempatan yang lebih baik.
Jangan menjadikan
masalah keduniaan sebagai alasan untuk menunda tindakan bergiat mencari
keredaan Allah s.w.t. Bulatkan tekad, kuatkan azam, masuklah ke dalam golongan
ahli Allah s.w.t yang beramal dan bekerja semata-mata kerana Allah s.w.t. .
Benamkan diri sepenuhnya ke dalam suasana ‘Allah’
semata-mata dan tinggalkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t buat seketika.
Anggapkan latihan yang demikian seperti keadaan ketika menunaikan fardu haji di
Tanah Suci. Selama di Tanah Suci, segala-galanya ditinggalkan di tanah air sendiri.
Di hadapan Baitullah seorang hamba menghadap dengan sepenuh jiwa raga kepada
Tuhannya. Dia tidak
khuatirkan keluarga, harta dan pekerjaan yang ditinggalkan kerana semuanya
sudah diserahkannya kepada penjagaan Allah s.w.t. Allah s.w.t adalah
Pemegang amanah yang paling baik. Dia menjaga dengan sebaik-baiknya apa yang
diserahkan kepada-Nya. Syarat penyerahan itu adalah keyakinan.
Perlu juga
dinyatakan bahawa latihan kerohanian secara tarekat tasauf
bukanlah satu-satunya jalan kepada Allah s.w.t. Tujuan utama latihan secara
tasauf adalah untuk mendapatkan ikhlas dan penyerahan yang menyeluruh
kepada Allah s.w.t. Ikhlas dan
penyerahan boleh juga diperolehi walaupun tidak menjalani tarekat
tasauf tetapi tanpa latihan khusus pembentukan hati kepada suasana
yang demikian adalah sukar dilakukan.
Jalan yang tidak
ada latihan khusus adalah jalan kehidupan harian. Pada jalan ini orang yang beriman perlu bekerja kuat untuk menjalankan
peraturan Islam dan mempertahankan iman. Pancaroba dalam kehidupan harian
sangat banyak dan orang yang beriman perlu berjalan dicelah-celahnya, menjaga
diri agar tidak tertawan dengan penggoda.
Kewaspadaan dalam
kehidupan harian itu adalah sifat takwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang
mulia pada sisi Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment