28: PEMBIMBING JALAN HAKIKI
TIDAK BERCITA-CITA SEORANG SALIK UNTUK BERHENTI KETIKA TERJADI KASYAF
(TERBUKA PERKARA GHAIB) MELAINKAN SUARA HAKIKI BERSERU KEPADANYA: “ APA YANG
KAMU CARI MASIH JAUH DI HADAPAN (OLEH ITU JANGAN KAMU BERHENTI)!” DAN
TIDAK TERBUKA BAGINYA ALAM MAYA MELAINKAN DIPERINGATKAN OLEH HAKIKAT ALAM ITU:
“SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH UJIAN, KERANA ITU JANGANLAH KAMU KUFUR!"
Latihan penyucian
hati membawa rohani si salik meningkat dari satu peringkat kepada peringkat
yang lebih tinggi. Kekuatan rohaninya bertambah dan pada masa yang sama juga
pengaruh serta kesedaran inderawinya berkurangan.
Dalam keadaan
seperti ini rohaninya mampu menjadi penasihat kepada dirinya sendiri. Bila terlintas dalam hatinya untuk
melakukan kesalahan akan tercetuslah perasaan membantah perbuatan tersebut,
seolah-olah ada orang yang menasihatinya. Apabila sampai kepada satu
peringkat kesucian hati akan terbuanglah dari hatinya lintasan-lintasan yang
bersifat duniawi, syaitani dan nafsi.
1).Lintasan
duniawi mengheret kepada kelalaian, keseronokan dan kesenangan
harta benda.
2).Lintasan
syaitani mengheret kepada melakukan syirik dan bidaah yang
bertentangan dengan Sunah Rasulullah s.a.w.
3).Lintasan
nafsi pula mendorong kepada maksiat dan kemunkaran. Bila hati sudah terdinding daripada
lintasan-lintasan jahat maka hati akan didatangi oleh lintasan malaki
(malaikat) dan Rahmani (Tuhan).
4).Lintasan
malaki mengajak kepada berbuat taat kepada Allah s.w.t dan meninggalkan
tegahan-Nya.
5).Lintasan
Rahmani pula adalah tarikan langsung daripada Tuhan.
Dalam
lintasan-lintasan duniawi, syaitani, nafsi dan malaki, manusia mempunyai
pilihan untuk menerima ataupun menolak cetusan atau rangsangan yang diterimanya
itu. Akal dan imannya boleh memikir dan menimbang akan sebab dan akibat jika
dia mengikuti sesuatu rangsangan itu.
Tetapi, dalam lintasan Rahmani hamba tidak ada pilihan,
tidak ada hukum sebab musabab yang boleh mencegahnya dan tidak ada hukum logik
yang boleh menghuraikannya. Misalnya, seorang yang tidak pernah
turun ke laut, tiba-tiba pada satu hari tanpa boleh ditahan-tahan dia pergi ke
laut dan mandi, lalu mati lemas. Soalnya, tidak dapat diterangkan mengapa
dengan tiba-tiba dia mahu mandi di laut dan dia tidak dapat melawan keinginan
yang timbul dalam hatinya itu. Kuasa yang menariknya ke laut dan mandi lalu
mati di situ dinamakan lintasan Rahmani atau tarikan ketuhanan.
Dalam perjalanan
kerohanian mungkin seorang salik itu menerima lintasan Rahmani yang
mengheretnya melakukan sesuatu yang kelihatan aneh, tidak masuk akal dan dia
sendiri tidak dapat memberi penjelasan tentang tindak tanduknya walaupun dia
masih dapat melihat perbuatan yang dilakukan oleh dirinya sendiri itu.
Semasa
pengembaraannya ke dalam alam kerohanian si salik mungkin memperolehi kasyaf
iaitu terbuka keghaiban kepadanya. Dia dapat melihat apa yang tersembunyi. Dia
mungkin dapat melihat kepada peristiwa yang akan berlaku, dan yang telah
berlaku. Mungkin juga dia dikurniakan kekeramatan seperti ‘mulut masin’,
berjalan di atas air, menyembuhkan penyakit dan lain-lain.
Dia juga mungkin
dapat melihat dengan mata hatinya keadaan Alam Barzakh, syurga dan neraka. Penemuan perkara-perkara yang ganjil, ajaib
dan indah-indah boleh mempesonakan si salik dan boleh menyebabkan dia menjadi
keliru dengan merasakan dia sudah sampai ke puncak, lalu dia berhenti di
situ.
Lebih membahayakan
lagi jika si salik tidak mendapat bimbingan guru atau guru yang membimbingnya
tidak memahami tentang selok-belok alam kerohanian. Si guru tidak dapat
menjelaskan pengalaman aneh yang dialami oleh murid lalu si murid tidak ada
pilihan kecuali membuat tafsirannya sendiri. Oleh sebab pengalaman tersebut
adalah berkenaan perkara ghaib maka murid tadi mudah menyangkakan segala yang
ghaib itu adalah aspek ketuhanan.
Di sini timbullah
berbagai-bagai anggapan tentang Tuhan, kerana dia menyangkakan yang dia telah
melihat zat Tuhan. Timbullah sangkaan yang Tuhan adalah nur dengan warna yang
tertentu. Ada pula yang beranggapan Tuhan itu rupanya tegak seperti huruf alif.
Ada pula yang mengatakan Tuhan adalah cahaya yang sangat halus. Bermacam-macam
lagi anggapan tentang Tuhan muncul akibat kejahilan mengenai alam ghaib.
Prasangka yang meletakkan Dzat Allah s.w.t di dalam ruang
dan berbentuk adalah kekufuran. Bahaya penyelewengan akidah kepada orang
yang belajar ilmu hakikat kepada yang bukan mursyid adalah besar. Orang
yang belajar ilmu hakikat cara demikian membahaskan Dzat Ilahiat dengan
menggunakan akalnya sedangkan akal tidak ada pengetahuan tentang Dzat.
Murid atau salik
yang mendapat bimbingan daripada guru yang mursyid dan beroleh rahmat, taufik
dan hidayat daripada Allah s.w.t akan dapat melalui fitnah yang tersebut di
atas dengan selamat. Salik yang masuk ke dalam Tarikan ketuhanan akan berjalan
terus walau apa pun yang ditemuinya di tengah jalan, sekalipun dia ditawarkan
dengan syurga.
Tarikan ketuhanan yang memimpin salik itu dinamakan Petunjuk Ilmu,
Perintah Batin, Petunjuk Laduni atau Suara Hakiki atau Pembimbing Hakiki. Ia
adalah tarikan langsung daripada Allah s.w.t agar hamba yang Allah s.w.t mahu
temui itu selamat sampai kepada-Nya.
Salik menafikan
semua yang ditemuinya. Selagi boleh disaksikan ia adalah sifat bukan dzat.
Sepanjang perjalanannya salik melihat bekas gubahan Tuhan, pengungkapan hikmat
kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia.
Dzat Ilahiat tetap
tinggal tertutup rapat oleh nur di balik nur dan tidak dapat ditembusi oleh
sesiapa pun dan penglihatan yang bagaimana pun. Jika nur yang disaksikan, maka
nur adalah salah satu daripada tanda-tanda-Nya dan juga salah satu daripada
Nama-nama-Nya. Setelah habis yang
dinafikan salik sampai kepada puncak kedunguannya iaitu pengakuan tentang
kelemahannya mengenai zat Ilahiat. Inilah puncak pencapaian dan orang yang
sampai kepada hakikat ini dinamakan orang yang bermakrifat atau orang yang
mengenal Allah s.w.t. Dia mencapai hakikat maksud:
Tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya.
Tidak ada yang menyerupai-Nya dan menyamai-Nya, mana mungkin ada
gambaran tentang-Nya yang boleh ditangkap oleh penglihatan?
Kebodohan dan kedunguan adalah hijab yang asli dan tidak mungkin tersingkap
ditentang zat Ilahiat kecuali pada hari akhirat apabila seseorang hamba
diizinkan memandang dengan pandangan mata.
Sebelum itu tidak
mungkin melihat Allah s.w.t dengan terang-terang. Apa yang diistilahkan sebagai melihat Allah s.w.t ialah menyaksikan
Allah s.w.t pada sesuatu yang didalamnya terdapat bekas penciptaan-Nya,
tanda-tanda-Nya, hikmat-Nya dan tadbir-Nya. Ia merupakan penglihatan akal
serta mata hati atau melihat Nur-Nya iaitu melihat Rahsia Allah s.w.t yang
tersembunyi pada sekalian kejadian-Nya. Dzat Ilahiat tetap tinggal tertutup
oleh keghaiban yang mutlak (Ghaibul
Ghuyub).
No comments:
Post a Comment