32: SIFAT KEHIDUPAN DUNIAWI.
JANGAN MENGHAIRANKAN KAMU LANTARAN TERJADI KEKERUHAN KETIKA KAMU BERADA
DI DALAM DUNIA KERANA SESUNGGUHNYA KEKERUHAN ITU TIDAK TERJADI MELAINKAN KERANA
BEGITULAH YANG PATUT TERJADI DAN ITULAH SIFATNYA (DUNIA) YANG ASLI.
Hikmat yang lalu
menyingkap halangan secara umum dan Hikmat 32 ini pula mengkhususkan
kepada dunia sebagai hijab yang menutupi pandangan hati terhadap Allah s.w.t.
Halangan inilah
yang banyak dihadapi oleh manusia. Manusia menghadapi peristiwa yang berlaku di
dalam dunia dengan salah satu dari dua sikap iaitu sama ada mereka melihat apa
yang terjadi adalah akibat perbuatan makhluk ataupun mereka memandangnya
sebagai perbuatan Tuhan.
Hikmat 32 ini
menjuruskan kepada golongan yang melihat peristiwa yang berlaku dalam dunia
sebagai perbuatan Tuhan tetapi mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan
Tuhan dalam perbuatan-Nya.
Manusia yang telah
memperolehi keinsafan dan hatinya sudah beransur bersih, dia akan cenderung
untuk mencari kesempurnaan. Dia sangat ingin untuk melihat syariat Allah s.w.t
menjadi yang termulia di atas muka bumi ini. Dia sangat ingin melihat umat Nabi
Muhammad s.a.w menjadi pemimpin kepada sekalian umat manusia. Dia ingin melihat
semua umat manusia hidup rukun damai. Dia inginkan segala yang baik-baik dan
sanggup berkorban untuk mendatangkan kebaikan kepada dunia.
Begitulah
sebahagian daripada keinginan yang lahir di dalam hati orang yang hatinya sudah
beransur bersih. Tetapi, apa yang terjadi adalah kebalikan daripada apa yang
menjadi hasrat murni si hamba Allah s.w.t yang insaf itu.
Huru hara berlaku
dimana-mana. Pembunuhan berlaku di sana sini. Umat Islam ditindas di merata
tempat. Kezaliman dan ketidak-adilan berlaku dengan berleluasa. Seruan kepada
kebaikan tidak diendahkan. Ajakan kepada perdamaian tidak dipedulikan.
Perbuatan maksiat terus juga dilakukan tanpa segan-silu.
Si hamba tadi
melihat kekeruhan yang terjadi di dalam dunia dan merasakan seperti mata tombak
menikam ke dalam hatinya. Hatinya merintih, “Agama-Mu dipermainkan, di manakah
pembelaan dari-Mu wahai Tuhan! Umat Islam ditindas, di manakah pertolongan-Mu Wahai Tuhan! Seruan kepada
jalanMu tidak disambut, apakah Engkau hanya berdiam diri wahai Tuhan! Manusia
melakukan kezaliman, kemaksiatan dan kemunkaran, apakah Engkau hanya membiarkan
wahai Tuhan?” Beginilah keadaan hati orang yang
berasa hairan melihat kekeruhan kehidupan dunia ini dan dia tidak berkuasa
menjernihkannya. Allah s.w.t menjawab keluhan hamba-Nya dengan firmanNya:
Dan (ingatlah)
ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan
berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang
yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal
kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”
Tuhan berfirman:
“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Ayat 30
: Surah al-Baqarah)
Para malaikat sudah
dapat membayangkan tentang kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk
berbangsa manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat dunia yang
dinyatakan oleh malaikat ialah huru-hara dan pertumpahan darah.
Dunia adalah ibu
sementara huru-hara dan pertumpahan darah adalah anaknya. Ibu tidak melahirkan
kecuali anak dari jenisnya juga. Kelahiran
huru-hara, peperangan, pembunuhan dan sebagainya di dalam dunia adalah sesuatu
yang seharusnya terjadi di dalam dunia, maka tidak perlu dihairankan.
Jika terdapat kedamaian dan keharmonian di sana sini di
dalam dunia, itu adalah sagu-hati atau kelahiran yang tidak mengikut sifat ibunya. Seterusnya Allah
s.w.t menceritakan tentang dunia:
Allah berfirman,
“Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi
setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan
juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)”. (Ayat 24 : Surah
al-A’raaf)
Allah berfirman
lagi : “Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula
kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”. (Ayat
25 : Surah al-A’raaf)
Tiap-tiap yang
bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan
dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.
Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat
kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya. (Ayat 185 : Surah a-li ‘Imraan)
Allah s.w.t menerangkan dengan jelas tentang sifat-sifat dunia yang
dihuni oleh manusia. Manusia bermusuhan sesama sendiri, saling rosak merosakkan
dan kesenangannya adalah tipu daya. Segala perkiraan dan pembalasan yang
berlaku di dalam dunia ini tidak sempurna.
Manusia dibahagikan
kepada dua golongan iaitu yang beriman dan yang tidak beriman.
Golongan yang tidak
beriman menerima upah terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia ini
lagi dan di akhirat kelak mereka tidak boleh menuntut apa-apa lagi dari
Tuhan. Janganlah menghairankan dan mendukacitakan sekiranya Tuhan membalas
kebaikan mereka ketika mereka masih hidup di dalam dunia dengan memberikan
kepada mereka berbagai-bagai kelebihan dan kemewahan. Mereka tidak berhak lagi
menuntut nikmat akhirat dan tempat kembali mereka di sana kelak ialah neraka
jahanam.
Begitu juga janganlah menghairankan dan mendukacitakan
sekiranya orang-orang yang beriman dan beramal salih terpaksa menghadapi
penderitaan dan penghinaan semasa hidup di dunia.
Dunia ini tidak layak menjadi tempat buat Allah
s.w.t membalas kebaikan mereka. Balasan kebaikan dari Allah s.w.t sangat tinggi
nilainya, sangat mulia dan sangat agung, tidak layak dimuatkan di dalam dunia
yang hina dan rendah ini. Dunia hanyalah tempat hidup, beramal dan mati. Bila
berlaku kiamat kita akan dibangkitkan dan menunggu kita adalah negeri yang
abadi.
No comments:
Post a Comment