KATA PENGANTAR
|
Dengan nama Allah yang
Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi
Muhammad s.a.w, keluarga baginda dan seluruh penolong-penolong agama-Nya.
Sebahagian
besar generasi terdahulu mendengar kehebatan kitab al-Hikam, mereka
mendalaminya, meneliti dan mengutip mutiara yang ada di dalamnya. Perjalanan
masa telah merubah manusia, pemergian generasi yang alim dalam bidang tasawuf
amat dirasai, sehingga kitab al-Hikam tidak lagi menjadi teks penting dalam
pengajian seharian, samada dalam sistem pendidikan formal maupun yang tidak
formal; kecuali sedikit. Sebahagiannya memberi alasan istilah dan penggunaan
bahasa yang digunakan sukar untuk difahami dengan sebaiknya. Pandangan ini
ditambah dengan sikap untuk menjauhi bidang tariqat dan tasawuf, menyebabkan
kitab yang bernilai ini diabaikan oleh generasi kini.
Oleh
itu, terdapat beberapa usaha untuk mentafsirkan kitab al-Hikam yang dilakukan
oleh sebahagian ulama, dan ternyata khazanah al-Hikam ibarat air lautan, yang
tidak akan kering bahkan lagi jauh penerokaan dilakukan, maka lagi banyak
khazanah yang dapat dikeluarkan. Umpama lautan, di permukaan manusia belayar,
di dalamnya ribuan jenis makhluk hidup, ikan, udang, ketam dan lainnya,
manakala di dasarnya menyimpan jutaan khazanah yang bernilai.
Buku
Syarah al-Hikam ini merupakan secebis usaha berterusan untuk menggali mutiara
yang masih tersembunyi di dalam kitab yang berharga ini. Usaha ini diharapkan
dapat menjelaskan kepada umum beberapa persoalan hidup dan kehidupan yang
dilalui oleh manusia, kerana putaran kehidupan manusia yang berkisar kepada
keperluan zahir dan batin, tidak akan terlepas dari merasai betapa agungnya
penciptaan manusia. Akibat fitnah dunia yang dilalui oleh manusia, maka
segala khazanah yang berharga telah hilang penilaiannya yang sebenar,
menyebabkan manusia bertungkus lumus mencari sesuatu yang akan ditinggalkan;
manakala yang akan dibawa diabaikan.
Kitab
ini juga diharapkan dapat memberi rangsangan kepada kita semua untuk
mendekati kembali jalan-jalan kebenaran yang sebenar melalui usaha
mendekatkan diri terhadap Allah s.w.t. Usaha ini tentulah lebih mudah kerana
penulis menjelaskan penunjuk-penunjuk bagi melaluinya. Dengan gaya bahasa
yang mudah dan ulasan yang baik, maka diharapkan buku Syarah al-Hikam ini
menjadi panduan bagi umat Islam umumnya dan pencinta kebenaran hakiki
memahami jalan-jalan yang sebenar bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Semoga
dengan petunjuk Ilahi yang memandu kita kepada jalan kebenaran saya
mengharapkan buku Syarah al-Hikam ini dapat membantu pembaca memahami
khazanah yang amat bernilai yang ada di dalam al-Hikam. Di samping ianya
menambah koleksi tafsiran dan syarah terhadap kitab ini yang dilakukan oleh
para ulama-ulama yang lain.
Saya
mengakui penelitian saya yang singkat mungkin terdapat berbagai kelemahan,
dan saya mengharapkan agar kita menjadi peneliti yang baik bagi
memperindahkan lagi khazanah ilmu ini. Lantaran itu, sebarang pandangan baik
dan nasihat yang berguna diharapkan dapat kita kutip samada dari teks asalnya
ataupun syarah yang dilakukan oleh penulis.
Semoga kitab ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca sekalian dan sekaligus memantapkan aqidah dan ibadah kita selaras dengan tugas kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa.
Sekian,
wassalamualaikum wrh wbt.
Akhukum fil Islam
Dato’ Hj. Tuan Ibrahim
bin Tuan Man
Pensyarah Kanan ITM Cawangan Pahang, Bandar Pusat Jengka, Pahang.
.
|
No comments:
Post a Comment