51: KELUAR DARIPADA ALAM KEPADA PENCIPTA ALAM.
JANGAN KAMU BERPINDAH DARI SATU HAL ALAM KEPADA HAL ALAM YANG LAIN. JIKA
DEMIKIAN KAMU ADALAH UMPAMA KELDAI YANG BERPUSING MENGELILINGI PENGGILINGAN, DI
MANA IA MENUJU KE SATU TUJUAN, TIBA-TIBA IA KEMBALI KEPADA TEMPAT MULANYA.
HENDAKLAH ENGKAU MELINTASI SEMPADAN ALAM DAN MENUJU KEPADA PENCIPTA
ALAM. SESUNGGUHNYA KEPADA TUHANMU PUNCAK SEGALA TUJUAN.
Keadaan orang yang
tidak dapat melepaskan dirinya dari syirik adalah umpama seekor keldai yang terikat dan berpusing menggerakkan batu penggiling.
Walaupun jauh jarak
yang dijalaninya namun, dia sentiasa kembali ke tempat yang sama. Jika ia mahu bebas perlulah ia melepaskan
ikatannya dan keluar dari bulatan yang sempit. Orang yang mahu membebaskan
dirinya dari syirik secara keseluruhannya hendaklah membebaskan perhatian
hatinya dari semua perkara kecuali Allah s.w.t. Keluar dari bulatan alam dan masuk kepada Wujud Mutlak.
Ada beberapa
peringkat yang perlu dilalui sebelum mencapai Wujud Mutlak.
1).Peringkat
pertama ialah membebaskan diri dari kongkongan penjara alam jasad. Penjara alam jasad ialah hawa nafsu. Di
dalam penjara hawa nafsu ini tersedia berbagai-bagai hidangan yang lazat-lazat
seperti kekuasaan, kemegahan, kemuliaan, kasihkan puji-pujian, ujub, riak,
tamak, dengki dan lain-lain.
Jika mahu
melepaskan diri dari penjara ini hendaklah berpuasa dari semua makanan yang
dihidangkan. Jangan diajak bercakap tentang makanan tersebut kerana jika dibawa
kepada perbincangan akan mendatangkan selera.
Sembunyikan selera
dan lapar walaupun perut bergelora. Sambutlah setiap hidangannya dengan
menggelengkan kepala dan palingkan muka ke arah lain. Apabila makanannya tidak
dijamah, hawa nafsu tidak ada kuasa lagi memenjarakan seseorang itu. Bebaslah
dia keluar dari penjara tersebut.
2).Setelah keluar
dari penjara nafsu seseorang itu berhadapan pula dengan penjara dunia. Penjara
dunia mempamerkan berbagai-bagai jenis keindahan dan keseronokan dan
menjanjikan keabadian. Dunia menghidangkan apa sahaja yang menyenangkan dan
memecahkan liur. Di dalam penjaranya seseorang dibenarkan melakukan apa sahaja,
menikmati apa jua hidangannya tanpa pantang dan larang.
Di dalam penjara dunia ini seseorang dikurung di dalam bilik yang
bernama syahwat. Kaki dan tangannya dirantai dengan rantai yang bernama kelalaian.
Matanya ditutup dengan penutup yang bernama panjang angan-angan. Di dalam penjara ini makanan hawa nafsu
masih lagi dihidangkan kerana dunia dan hawa nafsu sentiasa bekerjasama. Oleh
itu setelah berpuasa daripada hidangan hawa nafsu seseorang itu perlu pula
mendapatkan alat memutuskan rantai yang mengikatnya dan merobohkan dinding
penjara tersebut. Alatnya ialah ingat
kepada mati dan huru hara selepas kematian. Inilah alat yang boleh membebaskan
seseorang dari penjara dunia.
3).Setelah keluar
dari penjara dunia seseorang itu akan masuk ke dalam penjara akhirat. Hidangan di dalam penjara ini ialah pahala,
syurga dan bidadari. Rantai yang mengikat seseorang di dalam penjara ini
ialah kehendak atau keinginan atau lebih tepat jika dipanggil kesedaran
terhadap diri sendiri. Perhatian kepada diri sendiri yang melakukan amal
kebaikan menjadikan seseorang lebih terkongkong di dalam penjara akhirat.
Kenderaan yang
boleh membawanya keluar ialah ilmu, iaitu ilmu yang boleh melepaskan seseorang
dari bersandar kepada amalnya dan melihat bahawa amal kebaikan yang keluar dari
dirinya adalah kurniaan Allah s.w.t semata-mata. Tanpa kurniaan rahmat dan
petunjuk dari Allah s.w.t nescaya tidak akan ada kebaikan pada dirinya. Apabila
seseorang telah kuat berpegang kepada kurniaan Allah s.w.t dia akan bebas dari
penjara akhirat.
Setelah selamat
dari penjara akhirat seseorang itu akan masuk pula ke dalam ...
4). Penjara alam
malaikat, iaitu penjara alam maujud yang terakhir. Hidangan di dalam penjara
ini ialah kehampiran dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Rantai pengikat ialah
sisa-sisa kehendak diri sendiri dan kesedaran terhadap diri sendiri yang
menerima kurniaan Allah s.w.t. Pada
peringkat ini perlulah dihapuskan semua sekali kehendak, cita-cita,
angan-angan, harapan, hajat, fikiran dan segala yang maujud. Apabila
kefanaan dari semua yang maujud dicapai, dapatlah dia keluar dari penjara
malaikat.
5). Setelah berjaya
keluar dari semua jenis penjara alam, seseorang itu masuk ke dalam penjara Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah
s.w.t bukanlah alam, tetapi adalah hal ketuhanan sendiri. Hidangan di dalam
penjara ini ialah rahsia yang ghaib-ghaib tentang hukum Allah s.w.t di dalam
alam. Dalam suasana Ilmu Allah s.w.t inilah dapat dilihat pentadbiran Ilahi
yang menggerakkan alam maya dan semua kejadian yang berlaku di dalamnya.
Oleh sebab Ilmu Allah
s.w.t sangat luas dan tiada batas sempadan maka penjaranya juga tidak ada
sempadan. Sesiapa yang asyik dengan berbagai-bagai ilmu yang terdapat di
dalamnya akan terpenjara selama-lamanya di sini, kerana jika mahu dikaji Ilmu
Allah s.w.t nescaya seseorang itu akan mati dahulu sebelum sempat mengkaji
sebesar zarah dari Ilmu-Nya. Seseorang yang mahu lepas dari penjara ini
hendaklah menjadikan ilmu sebagai kenderaan bukan tujuan. Ilmu bukanlah mahkota
untuk dijunjung tetapi ia adalah alat untuk berjalan. Apabila ilmu dilayan dengan adil iaitu meletakkannya pada tempat yang
patut baginya, dapatlah seseorang itu bebas dari tawanannya.
6).Bila keluar dari
penjara ilmu, diri akan masuk ke dalam penjara
makrifat. Ia adalah penjara yang paling kukuh. Ilmu Allah dan makrifatullah bukan lagi alam maujud. Apa yang
didapati pada kedua-duanya adalah hakikat-hakikat atau hal-hal ketuhanan.
Paling tinggi pencapaian ilmu tentang Allah s.w.t ialah: Tidak tahu dan tidak boleh dikatakan apa-apa, kerana tiada sesuatu
menyamai-Nya, menyerupai-Nya atau boleh diibaratkan bagi-Nya. Pada
martabat makrifat pula setinggi-tinggi
pencapaian ialah: Zat diri-Nya tidak boleh dikenal oleh sesiapa pun.
Dia kini adalah sebagaimana Dia dahulu, bahkan tidak ada kini dan dahulu
pada-Nya.
Percubaan untuk mengenal diri Allah s.w.t lebih dari itu
adalah sia-sia. Jika dicuba juga maka hasilnya adalah
tidak ada apa yang didapati. Sesiapa yang sampai kepada makam makrifat
janganlah tinggal terpenjara di dalamnya. Keluarlah dari makrifat baharulah
boleh sampai ke Hadrat Allah s.w.t.
Tajrid atau
penanggalan secara keseluruhannya dari segala-galanya adalah syarat untuk
bertemu dengan Allah s.w.t. Seseorang hendaklah melepaskan ilmu pengetahuannya, amal
perbuatannya, makrifatnya, sifatnya, namanya dan semua maklumat, dengan
demikian dia bertemu dengan Allah s.w.t seorang diri tanpa sebarang bekal.
Dia hendaklah melihat tibanya hidayat dan kemurahan Allah s.w.t, bukan hasil
dari amal dan ilmunya.
Tinggalkan
segala-galanya dan masuklah kepada Hadrat Allah s.w.t. Bagaimana mungkin
berbuat demikian?
Dan mereka bertanya
kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu
tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. (Ayat 85 :
Surah al-Israa’)
Apa yang kita tidak
mengerti dan tidak mempunyai ilmu tentangnya kecuali terlalu sedikit ialah roh.
Serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku. (Ayat 72 : Surah Saad)
No comments:
Post a Comment