103 & 104: PEMBERIAN DAN PENOLAKAN MEMPERKENALKAN ALLAH S.W.T.
APABILA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU
KEMURAHAN-NYA. APABILA DITAHAN PEMBERIAN BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU
KEKUASAAN-NYA. MAKA DIA PADA SEGALA PERKARA MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU
DAN MENGHADAPKAN KEPADA WUJUD (KELEMBUTAN)-NYA.
SESUNGGUHNYA TERASA PEDIH PENOLAKAN ALLAH S.W.T ADALAH KERANA KAMU TIDAK
MENGERTI TENTANG ALLAH S.W.T DALAM PENOLAKAN TERSEBUT.
Setiap kejadian
Allah s.w.t ada pasangan atau lawannya. Kanan berpasangan dengan kiri. Putih
berpasangan dengan hitam. Gagah berpasangan dengan lemah. Senang berpasangan
dengan susah. Pemberian berpasangan dengan penolakan. Semuanya ada penjodohan.
Tetapi,
- Allah
s.w.t tidak ada penjodohan.
- Dia
hanya Satu, Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.
- Tidak
ada sesuatu yang setara dengan-Nya.
Allah s.w.t
menciptakan makhluk-Nya berpasang-pasangan. Pada makhluk-Nya yang berpasangan
dan berlawanan itu ada kenyataan tentang kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya yang
tidak ada tandingan.
Dia Esa dalam segala segi.
Esa pada sifat-Nya dan esa pada Zat-Nya.
Esa pada nama-Nya dan perbuatan-Nya.
Dia memperkenalkan
keesaan Zat-Nya melalui sifat-Nya dan memperkenalkan sifat-Nya melalui
perbuatan-Nya.
Alam semesta dengan
segala isinya dan kejadian yang berlaku di dalamnya adalah manifestasi
perbuatan-Nya. Tuhan adalah Maha
Baik, sebab itu perbuatan-Nya juga adalah baik.
TIDAK ADA perbuatan-Nya yang tidak baik. TIDAK ADA kejahatan pada sisi Allah s.w.t. TIDAK ADA kejahatan yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t. Adanya
yang tidak baik dan kejahatan hanyalah apabila ada perkaitan sesuatu perkara
dengan manusia.
Baik dan buruk adalah
dua nilai yang diletakkan pada manusia. Segala
perkara datang kepada manusia melalui salah satu daripada dua pintu iaitu pintu
positif dan pintu negatif.
- Perkara
yang dinilaikan sebagai baik datangnya dari pintu positif dan
- Yang
dinilaikan sebagai tidak baik datangnya dari pintu negatif.
Jika seseorang
mengambil sikap menerima sahaja apa yang datang maka dia akan melihat
unsur-unsur positif dan negatif yang berlawanan.
Andainya dia
menjenguk ke dalam kedua-dua pintu tersebut nescaya dia akan melihat bahawa
pintu-pintu itu terbuka kepada satu ruang yang sama. Sebelum keluar melalui
pintu-pintu yang berasingan semuanya berkumpul dalam ruang yang sama secara
harmoni, tiada perlawanan.
Jika kita renungi
dengan mendalam kita akan dapati bahawa
- Perlawanan dan pertentangan diwujudkan oleh hati kita.
- Hati yang membuat tafsiran dan penilaian.
- Hati yang mengalami kemanisan dan kepahitan.
- Hatilah tempat jatuh tilikan Tuhan dan tempat dituangkan ilham.
- Hatilah yang mampu mengenal Tuhan.
- Hatilah yang berhubungan dengan Tuhan.
Pintu-pintu positif
dan negatif adalah jambatan yang menghubungkan hati dengan Tuhan. Melalui
kedua-dua pintu tersebut hati mengenali-Nya.
Sesuatu kualiti dikenali kerana ada kualiti lain yang
bertentangan dengannya.
Manis dikenali kerana
ada tawar, begitu juga sebaliknya.
Cantik dikenali
kerana ada hodoh, begitu juga sebaliknya.
Pemberian dikenali
kerana ada penolakan, begitu juga sebaliknya.
Dua perkara yang
bertentangan masing-masing memperkenalkan yang berlawanan dengannya. Kedua-duanya
pula memperkenalkan faktor yang mengwujudkan dua perkara tersebut. Pemberian
dan penolakan memperkenalkan yang menguasai kedua-duanya.
- Hamba yang mengenali pemberian Allah
s.w.t akan mengenali penolakan-Nya.
- Hamba yang mengenali penolakan-Nya akan
mengenali pemberian-Nya.
Kepedihan pada
penolakan membuat si hamba tahu bersyukur pada pemberian-Nya, mengenal kebaikan
dan kemurahan-Nya. Kesenangan pada pemberian-Nya membuat si hamba mengenali
kekuasaan-Nya pada penolakan-Nya. Pengenalan
kepada kedua-duanya membuat si hamba mengenal Tuhan yang menguasai kedua-duanya
itu. Si hamba tidak menjadi keliru tatkala menerima pemberian
atau penolakan dari Tuhan yang satu. Walau
dari pintu mana pun sesuatu itu datang kepadanya, dia tetap menerimanya dari Tuhannya,
dan yang datang itu menceritakan sesuatu tentang Tuhan.
Pertukaran di
antara pemberian dan penolakan melahirkan rasa kemesraan hubungannya dengan
Tuhan kerana dia melihat sifat-Nya yang Lemah-lembut dalam menguruskan
hamba-Nya.
Bila hamba-Nya lalai dengan pemberian-Nya disedarkan-Nya dengan
penolakan-Nya. Bila hamba-Nya hampir binasa kerana penolakan-Nya
diselamatkan-Nya dengan pemberian-Nya. Dia sangat tahu
menguruskan hal-ehwal hamba-Nya.
Tidakkah Allah yang
menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedangkan Ia Maha
Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya! (Ayat 14 :
Surah al-Mulk)
Dia Maha Halus (terperinci), tidak ada sesuatu yang tersembunyi
daripada-Nya. Dia Maha Mengerti, Maha Tahu apa yang patut bagi
hamba-Nya. Jika Dia memberi, itu adalah untuk memperkenalkan Diri-Nya yang
bersifat dengan semua sifat kebaikan dan kemurahan. Jika Dia tidak memberi, itu
adalah untuk memperkenalkan diri-Nya yang bersifat dengan semua sifat keagungan
dan keperkasaan..
- Pemberian
membuat hamba mengenali kemurahan dan kebaikan-Nya.
- Penolakan
membuat hamba mengenali kekerasan dan keperkasaan-Nya.
Bila Dia dikenali
secara positif dan negatif baharulah wujud pengenalan yang sejati.
Perkara yang positif tidak lagi menutup yang
negatif dan begitu juga sebaliknya. Jadi, bila hikmat penolakan-Nya difahami
maka penolakan itu tidak akan membuat
hati berasa gundah gulana sebaliknya akan wujudlah perasaan bahawa
Allah s.w.t melihatnya, menguruskan kehidupannya, memberi nasihat dan tunjuk
ajar agar dia selamat dalam perjalanannya..
No comments:
Post a Comment