27: BERPEGANG KEPADA MAKAM.
JANGAN MEMINTA KEPADA ALLAH S.W.T SUPAYA DIPINDAHKAN DARI SATU HAL
KEPADA HAL YANG LAIN, SEBAB JIKA ALLAH S.W.T MENGKEHENDAKI DIPINDAHKAN KAMU
TANPA MERUBAH KEADAAN KAMU YANG LAMA.
Hal adalah
pengalaman hati tentang hakikat. Hal
tidak boleh didapati melalui amal dan juga ilmu. Tidak boleh dikatakan
bahawa amalan menurut tarekat tasauf menjamin seseorang murid memperolehi
hal. Latihan secara tarekat tasauf hanya menyucikan hati agar hati itu
menjadi bekas yang sesuai bagi menerima kedatangan hal-hal (ahwal).
Hal hanya
diperolehi kerana anugerah Allah s.w.t. Mungkin timbul pertanyaan mengapa
ditekankan soal amal seperti yang dinyatakan dalam Hikmat yang lalu sedangkan amal itu sendiri tidak
menyampaikan kepada Tuhan?
Perlu difahami
bahawa seseorang hamba
tidak mungkin berjumpa dengan Tuhan jika Tuhan tidak mahu bertemu dengannya. Tetapi, jika Tuhan mahu menemui
seseorang hamba maka dia akan dipersiapkan agar layak berhadapan dengan Tuhan
pada pertemuan yang sangat suci dan mulia.
Jika seorang hamba
didatangi kecenderungan untuk menyucikan dirinya, itu adalah tanda bahawa dia
diberi kesempatan untuk dipersiapkan agar layak dibawa berjumpa dengan Tuhan.
Hamba yang
bijaksana adalah yang tidak melepaskan kesempatan tersebut, tidak menunda-nunda
kepada waktu yang lain.
Dia tahu bahawa dia menerima undangan dari Tuhan Yang Maha Mulia, lalu
dia menyerahkan dirinya untuk dipersiapkan sehingga kepada tahap dia layak
menghadap Tuhan sekalian alam.
Makam di mana hamba dipersiapkan ini dinamakan aslim atau
menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan. Tuhan yang tahu bagaimana mahu mempersiapkan hamba yang Dia
mahu temui.
Tujuan amalan tarekat
tasauf ialah mempersiapkan para hamba agar berkeadaan bersiap sedia dan
layak untuk dibawa berjumpa dengan Tuhan (memperolehi makrifat Allah s.w.t). Walaupun hal merupakan anugerah Allah s.w.t
semata-mata, tetapi hal hanya mendatangi hati para hamba yang bersedia
menerimanya.
Murid atau salik
yang memperolehi hal akan meningkatkan ibadatnya sehingga suasana yang
dicetuskan oleh hal itu sebati dengannya dan membentuk keperibadian yang sesuai
dengan cetusan hal tersebut. Hal yang menetap itu dinamakan makam. Hal yang diperolehi dengan anugerah bila
diusahakan akan menjadi makam.
Misalnya, Allah
s.w.t mengizinkan seorang salik mendapat hal di mana dia merasai bahawa dia
sentiasa berhadapan dengan Allah s.w.t, Allah s.w.t melihatnya zahir dan batin,
mendengar ucapan lidahnya dan bisikan hatinya. Salik memperteguhkan daya rasa
tersebut dengan cara memperkuatkan amal ibadat yang sedang dilakukannya sewaktu
hal tersebut datang kepadanya, sama ada ianya sembahyang, puasa atau zikir,
sehingga daya rasa tadi menjadi sebati dengannya. Dengan demikian dia mencapai makam ihsan.
Satu sifat
semula-jadi manusia adalah tergesa-gesa, bukan sahaja dalam perkara duniawi
malah dalam perkara ukhrawi juga. Salik yang rohaninya belum mantap masih
dibaluti oleh sifat-sifat kemanusiaan. Apabila dia mengalami satu hal dia akan
merasai nikmatnya. Rindulah dia untuk menikmati hal yang lain pula. Lalu dia
memohon kepada Allah s.w.t supaya ditukarkan halnya.
Sekiranya hal yang datang tidak diperteguhkan ia tidak menjadi makam. Bila
hal berlalu ia menjadi kenangan, tidak menjadi keperibadian. Meminta perubahan
kepada hal yang lain adalah tanda kekeliruan dan boleh membantut perkembangan
kerohanian.
Kekuatan yang paling utama adalah berserah kepada Allah s.w.t, reda
dengan segala lakuan-Nya. Biarkan Allah Yang Maha Mengerti menguruskan
kehidupan kita.
Sebaik-baik
perbuatan adalah menjaga makam yang kita sedang berada di dalamnya. Jangan
meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Semakin hampir dengan Allah
s.w.t semakin hampir dengan bahaya yang besar, iaitu dicampak keluar dari
majlis-Nya sesiapa yang tidak tahu menjaga kesopanan bermajlis dengan Tuhan
Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi.
Oleh yang demikian, tunduklah kepada kemuliaan-Nya dan berserahlah
kepada kebijaksanaan-Nya, nescaya Dia akan menguruskan keselamatan dan
kesejahteraan para hamba-Nya.
.
Alhamdulillaah jzkk mohon share
ReplyDelete