11: TIADA KESEMPURNAAN TANPA IKHLAS.
TANAMKAN WUJUD KAMU DALAM BUMI YANG TERSEMBUNYI KERANA YANG TUMBUH
DARI SESUATU YANG TIDAK DITANAM ITU TIDAK SEMPURNA HASILNYA.
Hikmat yang lalu
mengarahkan pandangan kita kepada ikhlas. Ikhlas menjadi kekuatan yang
menghalau syirik . Jalan syirik
adalah kepentingan diri sendiri. Oleh itu diri sendiri mesti
diperhatikan bagi mengelakkan berlakunya syirik. Bila kepentingan diri
sendiri boleh ditundukkan baharulah muncul keikhlasan.
Dan juga pada diri
kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan
(dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )
Hikmat 11
mengajak kita menyelami persoalan
yang lebih halus iaitu hakikat diri kita sendiri atau kewujudan kita.
Kita dijadikan daripada tanah, maka kembalikan ia (jasad) kepada tanah, iaitu
ia (jasad) harus dilayani sebagai tanah supaya ia tidak mengenakan tipu
dayanya.
Apabila kita sudah
dapat menyekat pengaruh jasad maka kita hadapi pula roh kita. Roh datangnya
daripada Allah s.w.t, kerana roh adalah urusan Allah s.w.t, maka kembalikan ia
kepada Allah s.w.t. Apabila seseorang hamba itu sudah tidak terikat lagi dengan
jasad dan roh maka jadilah dia bekas yang sesuai untuk diisi dengan Allah
s.w.t.
Pada awal perjalanan, seseorang pengembara kerohanian membawa bersama-samanya sifat-sifat basyariah serta kesedaran terhadap dirinya dan alam nyata. Dia dikawal oleh kehendak, pemikiran, cita-cita, angan-angan dan lain-lain. Anasir-anasir alam seperti galian, tumbuh-tumbuhan dan haiwan turut mempengaruhinya. Latihan kerohanian menghancurkan sifat-sifat yang keji dan memutuskan rantaian pengaruh anasir-anasir alam.
Jika diperhatikan
Kalam-kalam Hikmat yang lalu dapat dilihat bahawa hijab nafsu dan akal yang membungkus hati sehingga kebenaran tidak
kelihatan. Akal yang ditutupi oleh kegelapan nafsu, iaitu akal yang
tidak menerima pancaran nur, tunduk kepada perintah nafsu. Nafsu tidak
pernah kenyang dan akal sentiasa ada jawapan dan alasan. Hujah akal menjadi
benteng yang kukuh buat nafsu bersembunyi.
Jangan memandang
enteng kepada kekuatan nafsu dalam menguasai akal dan pancaindera. Al-Quran
telah memberi peringatan mengenainya:
Nampakkah (wahai
Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang
dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya
jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar
atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah
seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi. (Ayat 43
& 44 : Surah al-Furqaan)
Dan kalau Kami
kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan)
ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa
nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia
menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia
juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah.
Demikianlah bandingan
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlan kisah-kisah itu
supaya mereka mahu berfikir. (Ayat 176 : Surah al-A’raaf)
Manusia yang
menerima ayat-ayat Allah s.w.t yang seharusnya menjadi mulia telah bertukar
menjadi hina kerana mereka memperturutkan hawa nafsu.
Ayat-ayat Allah
s.w.t yang diketahuinya memancarkan cahaya pada hati dan akalnya tetapi
kegelapan nafsu membungkus cahaya itu. Di dalam kegelapan nafsu, akal
mengadakan hujah bagi mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t yang dia sendiri
mengetahuinya. Allah s.w.t mengadakan perbandingan yang hina bagi orang yang
seperti ini.
Mereka adalah
umpama anjing yang tidak boleh berfikir dan tidak bermaruah. Buruk sekali
pandangan Allah s.w.t terhadap orang yang mempertuhankan nafsunya. Nafsu yang
tidak mahu kenyang adalah umpama anjing yang sentiasa menjulurkan lidahnya,
tidak memperdulikan walaupun dihalau berkali-kali.
Allah s.w.t mewahyukan ayat-ayat yang menceritakan tentang kehinaan
manusia yang menerima ayat-ayat-Nya tetapi masih juga memperturutkan hawa
nafsu, supaya cerita yang demikian boleh memberi kesedaran kepada mereka. Jika
mereka kembali sedar, mereka akan keluar daripada kegelapan nafsu. Berpandukan
ayat-ayat Allah s.w.t yang sudah mereka ketahui mereka akan temui jalan yang benar.
Ayat-ayat yang
diturunkan Allah s.w.t memberi pengertian kepada Rasulullah s.a.w bahawa
cendikiawan Arab yang menentang baginda s.a.w berbuat demikian bukan kerana
tidak dapat melihat kebenaran yang baginda s.a.w bawa, tetapi mereka dikuasai
oleh hawa nafsu. Cahaya kebenaran yang
menyala dilubuk hati ditutupi oleh kegelapan nafsu. Orang yang telah
menerima cahaya kebenaran tetapi mendustakannya itulah yang diberi perumpamaan
yang hina oleh Allah s.w.t.
Menurut cerita
daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am
bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat
nama-nama Allah Yang Maha Besar.
Nabi Musa a.s dan
kaum Bani Israil, setelah selamat daripada Firaun, sampai hampir dengan negeri
tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau
negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah
bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk
meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya untuk mengalahkan
Nabi Musa a.s.
Bal’am yang pada
mulanya enggan berbuat demikian tetapi akhirnya bersetuju juga setelah isteri
kecintaannya menerima sogokan daripada Raja. Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan
kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa a.s. Menurut
cerita, doa dan perbuatan Bal’am dimakbulkan Allah s.w.t dan ia menjadi sebab
kaum Nabi Musa terperangkap di Padang Teh beberapa tahun lamanya. Apabila Nabi
Musa a.s mendoakan agar kaumnya dilepaskan daripada sekatan tersebut, Allah
s.w.t memakbulkan doa tersebut dan pada masa yang sama laknat turun kepada
Bal’am.
Sebahagian orang
menganggap cerita di atas sebagai cerita Israiliat. Rasulullah s.a.w menentukan
dasar bahawa cerita ahlul kitab tidak dibenarkan dan tidak didustakan. Cerita
tersebut dibawa sekadar menunjukkan sejauh mana kekuatan nafsu menutup
pandangan hati sehingga Bal’am sanggup menentang Nabi Musa a.s walaupun dia
mengetahui kebenarannya, sebagaimana cendikiawan Arab menentang Rasulullah
s.a.w sekalipun hati kecil mereka menerima kebenaran baginda s.a.w.
Menundukkan nafsu bukanlah pekerjaan yang mudah. Seseorang itu perlu kembali kepada hatinya, bukan akalnya. Hati tidak akan berbohong dengan diri sendiri sekalipun akal menutupi kebenaran atas perintah nafsu. Kekuatan hati adalah ikhlas. Maksud ikhlas yang sebenarnya adalah:
Katakanlah:
“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk
Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (Ayat
162 : Surah al-An’aam)
SubhanaLLoh. WalhamduliLLah
ReplyDelete