70 – 72: TAMAK MELAHIRKAN KEHINAAN.
TIDAKLAH PANJANG DAHAN KEHINAAN MELAINKAN YANG TUMBUH DARI BENIH TAMAK.
TIADA SESUATU YANG DAPAT MENGHERET KAMU SEBAGAIMANA WAHAM (SYAK WASANGKA
ATAU ANGAN-ANGAN).
KAMU MERDEKA DARI SESUATU YANG KAMU TIDAK MEMPUNYAI HAJAT KEPADANYA DAN
KAMU ADALAH HAMBA BAGI SESUATU YANG KAMU TAMAK KEPADANYA.
Bidang latihan
kerohanian menekankan soal menyerah diri kepada Allah s.w.t. Orang yang maju
dalam bidang tersebut adalah orang yang memisahkan dirinya dari pengaruh
duniawi dan makhluk sekaliannya, hatinya hanya terikat dengan Allah s.w.t.
Latihan kerohanian mendidik hati agar berpisah daripada diri sendiri
iaitu berpisah dengan kehendak diri sendiri, cita-cita, angan-angan dan fikiran
lalu masuk ke dalam penguasaan Iradat Allah s.w.t. Orang yang
dikuasai oleh Iradat Allah s.w.t tidak mempunyai kehendak melainkan keinginan
mahu menghampirkan diri kepada Allah s.w.t, maksud dan tujuan hanyalah Allah
s.w.t, fikiran dan renungan hanya kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi kekuatan
yang tertuju kepada selain Allah s.w.t.
Jika seseorang murid menghadapi kesukaran untuk berserah diri dan bergantung kepada Allah s.w.t, susah pula melepaskan keinginannya serta menghilangkan gambar-gambar benda alam dari hatinya, maka periksalah hati itu pasti akan ditemui bahawa hati itu menghidapi penyakit tamak atau loba. Tamak diibaratkan sebagai benih yang menumbuhkan pokok kehinaan. Dahan-dahan kehinaan akan menjalar dan terhulur ke sana ke mari.
Penyakit tamak akan mengikis perasaan malu dan menghapuskan maruah diri
dan memakaikan pakaian kehinaan kepada orang yang berkenaan. Dia
menjadi hina pada pandangan makhluk dan lebih buruk lagi kedudukannya di sisi
Allah s.w.t. Dia umpama anjing yang lidahnya sentiasa terjulur melihat apa yang
ada di dalam tangan orang lain. Si
anjing tidak memperdulikan apakah dia dimaki, dihalau atau dipukul asalkan dia
boleh dapat apa yang dia mahu. Si tamak melihat seolah-olah rezeki yang
diperuntukkan kepadanya tidak ada sempadan, sementara rezeki yang diperuntukkan
kepada orang lain masuk ke dalam sempadan rezekinya, sebab itu menjadi haknya
untuk mengambil apa yang masuk ke dalam sempadannya. Si tamak tidak
memperdulikan bagaimana dia mendapatkan apa yang dia hajati, apakah dengan
menadah tangan, memujuk rayu, menipu atau memaksa.
Tamak timbul dari waham iaitu syak wasangka atau ragu-ragu
dengan rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t
menjaminkan rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan sebagai timbal balasnya
hamba pula diberi tanggungjawab (Hikmat 5). Orang yang ragu-ragu terhadap jaminan Allah s.w.t mencuaikan kewajipan
yang diamanatkan kepadanya dan rajin mencari apa yang dijamin untuknya sehingga
menceroboh sempadan yang menjadi jaminan untuk orang lain. Inilah yang
terjadi pada orang tamak.
Bagaimana boleh dia menghampiri Allah s.w.t jika amanat yang diserahkan
kepadanya diabaikannya dan tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya
dicampakkannya. Dia berasa ragu-ragu untuk menggunakan masa
bersama-sama Allah s.w.t, bimbang rezeki yang dijamin tidak akan sampai
kepadanya. Lantaran itu dia meninggalkan
peluang bersama-sama Allah s.w.t kerana mengejar apa yang dia tamakkan.
Orang ini memilih harta Allah s.w.t daripada Allah s.w.t
yang menguasai harta itu. Tamak dan sangkaan tidak berpisah.
Orang tamak dihela ke sana ke mari oleh sangkaannya untuk mengejar kebendaan. Dia
tidak sedar yang dia sudah menjadi hamba kepada benda, dan orang yang boleh
mendatangkan benda itu kepadanya dapat menguasi dirinya itu. Tetapi, dia
menyangka dialah yang menguasai benda dan orang tadi, padahal dia tunduk kepada
benda dan orang yang menguasai pemilikan benda itu.
Sekiranya seorang
raja dikuasai oleh perasaan tamak, akan wujudlah kerajaan di belakang tabir
yang menguasai takhta dan pemerintahan secara tidak langsung. Jika menteri
kabinet dikuasai oleh perasaan tamak, akan wujudlah kabinet bayangan yang
mempengaruhi keputusan menteri tadi. Kekuasaan, pangkat dan harta tidak
memerdekakan seseorang yang tamak Dia hanya boleh merdeka jika dia membuang
sifat ini. Apabila tidak ada lagi
keinginannya untuk memiliki apa yang berada di dalam tangan orang lain, baharulah
dia bebas berjalan menuju Allah s.w.t. Dia sudah terlepas daripada sauh
yang menariknya ke bawah.
Allah s.w.t memberi
ancaman yang keras kepada mereka yang tamak.
Sesungguhnya
manusia tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya; Dan sesungguhnya ia (dengan
bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian; Dan sesungguhnya ia
melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (Patutkah ia bersikap
demikian?) Tidakkah ia mahu mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan
segala yang ada dalam kubur? Dan dikumpulkan serta didedahkan segala yang
terpendam dalam dada?
Sesungguhnya Tuhan
mereka, Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikan-Nya
kepada) mereka - pada hari itu. (Ayat 6 – 11 : Surah al- ‘Aadiyaat)
Dan sebaliknya
apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan di sempitkan rezekinya, (ia tidak
bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah
menghinakan daku!” Janganlah demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan
(perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana)
kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak
menerimanya); dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak
diterima oleh) orang miskin; -
Bismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk
ReplyDelete