86: TIPU DAYA TERHADAP ORANG YANG TIDAK TAAT.
KESEDIHAN LANTARAN TIDAK BERBUAT TAAT TETAPI TIDAK BERGERAK UNTUK
BERBUAT DEMIKIAN ADALAH TANDA DIPERDAYA (OLEH SYAITAN).
Dunia adalah satu
bola besar yang di dalamnya penuh dengan warna-warna syaitan yang menutup
pandangan mata hati manusia. Hati yang tertarik kepada warna syaitan akan
menghadap kepadanya sambil membelakangi kebenaran. Walaupun syaitan mencuba
sedaya upaya menutup hati manusia tetapi kadang-kadang ada juga cahaya
kebenaran yang berjaya menyelinap masuk ke dalam hati.
Pada masa itu orang
yang berkenaan dapat melihat keburukan dan kecacatan yang ada pada dirinya. Dia
akan berasa gundah-gulana melihat keadaan dirinya yang tidak berbuat taat
kepada Allah s.w.t. Dia melihat kepada umurnya yang berlalu dengan sia-sia.
Timbullah keinginannya
untuk mengubah cara hidup. Bila dia melihat orang lain rajin berulang-alik ke
masjid dia pun ingin berbuat demikian. Bila dia melihat orang lain rajin
beribadat, berzikir, memuji dan memuja Allah s.w.t, dia juga mahu berbuat
demikian. Bila dia melihat orang lain alim dalam bidang agama dia pun ingin
menjadi alim juga. Apa juga bidang ketaatan kepada Allah s.w.t yang orang lain
buat dia juga ingin membuatnya, bahkan dia ingin melakukan lebih dari orang
lain. Begitulah keinsafan yang timbul pada dirinya.
Orang yang
rohaninya masih terkurung di dalam bola dunia tidak terlepas dari gangguan
warna syaitan. Syaitan sentiasa sahaja
memancarkan cahayanya bagi mengelirukan pandangan hati. Syaitan mempunyai
berbagai-bagai cara dalam memesungkan manusia dari jalan Allah s.w.t. Kejayaan
syaitan yang paling besar adalah jika dapat mengheret manusia melakukan
kederhakaan kepada Allah s.w.t dengan berbuat syirik. Jika ia gagal berbuat demikian ia tidak akan membiarkan hamba-hamba
Allah s.w.t berjalan dengan senang lenang di atas jalan yang lurus.
Syaitan akan
mengenakan berbagai-bagai tipu muslihat terhadap manusia yang sudah timbul
keinsafan untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t. Syaitan tidak melawannya dengan kekerasan. Orang ini akan dihadapi
dengan lemah-lembut dan pujuk rayu. Perhatian orang tadi dialihkan daripada apa
yang dia ingin lakukan kepada apa yang dia sudah lakukan.
Syaitan
memperlihatkan kepadanya betapa besarnya kebaikan yang pernah dilakukannya Ditiupkan
ke dalam hati orang itu bahawa dia sebenarnya sudah berada di atas jalan yang
lurus. Syaitan membuktikannya dengan memperingatkannya tentang segala kebaikan
yang telah dilakukannya.
Telah ramai orang yang ditolongnya, semuanya dia masih ingat. Telah
banyak sedekah yang dikeluarkannya, semuanya dia masih ingat. Dia juga biasa
bersembahyang, walaupun dia juga biasa meninggalkannya. Dia tertinggal
sembahyang bukan kerana cuai, tetapi kerana kesibukan dan tidak disengajakan.
Banyak lagi perkara-perkara baik yang diulang tayang oleh
syaitan. Syaitan terus membuaikan hatinya sehingga dia
merasakan yang dirinya tidaklah seburuk yang disangkakannya ketika mula-mula
datang keinsafan tadi.
Hilanglah kesedihan yang mengacau jiwanya lantaran menyangka yang dia memang
sudah berada dalam golongan yang taat. Keinginan yang
membara tadi sudah mula malap dan akhirnya padam terus. Dia kembali kepada
kehidupannya sebagaimana sediakala.
Begitulah cara syaitan memperdayakan manusia.
Mula-mula ditiupkan waswas ke dalam hati, kemudian dibentuknya
sangkaan-sangkaan yang menutup kebenaran. Manusia pun menurut sangkaan
dengan meyakini bahawa apa yang dituruti itu adalah kebenaran.
Begitulah yang terjadi kepada orang yang melihat kepada amal secara
lahiriah sahaja. Penglihatannya tidak sampai kepada roh amal itu.
Mohon share.Alhamdulillaah.Moga kalian semua sentiasa dlm pandangan rahmat Allah hingga ke Jannah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete