52: SUCIKAN MAKSUD DAN TUJUAN.
PERHATIKAN SABDA RASULULLAH SAW :
“BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA ALLAH DAN RASUL MAKA HIJRAHNYA ADALAH KEPADA ALLAH DAN RASUL.
“BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA ALLAH DAN RASUL MAKA HIJRAHNYA ADALAH KEPADA ALLAH DAN RASUL.
BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA DUNIA UNTUK MENDAPATKANNYA ATAU WANITA
UNTUK MENGAHWININYA, MAKA HIJRAHNYA TERHENTI PADA TUJUAN HIJRAHNYA ITU”.
FAHAMILAH SABDA RASULULLAH SAW TERSEBUT DAN PERHATIKAN PERSOALANNYA JIKA KAMU BOLEH MEMAHAMINYA. DAN, SELAMATLAH ATAS KAMU.
Hikmat ini adalah
lanjutan kepada Kalam Hikmat yang lalu. Keluar
dari satu hal kepada hal yang lain adalah hijrah juga namanya. Apa yang
didapati dari hijrah ialah apa yang dituju atau dimaksudkan dengan hijrah itu.
Orang yang keluar
dari penjara hawa nafsu dan dunia kerana inginkan syurga, maka pencariannya
akan terhenti pada syurga. Orang yang keluar dari penjara akhirat kerana
menginginkan kekeramatan akan berhenti bila berjaya memperolehi kekeramatan.
Orang yang keluar dari semua penjara alam kerana bermaksud mencapai Ilmu Allah
akan berhenti pada ilmu. Orang yang keluar dari kurungan ilmu kerana mahu
mendapatkan makrifat akan berhenti pada makrifat.
Semua maksud dan
tujuan yang telah dinyatakan tadi menghalang seseorang dari masuk ke Hadrat
Allah s.w.t. Hanya satu sahaja tujuan
yang benar-benar suci lagi murni, iaitu berhijrah kepada Allah s.w.t dan
Rasul-Nya.
Rasulullah s.a.w
menyebutkan berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya, bukan berhijrah kepada
Allah s.w.t semata-mata.
1].Hijrah zahir adalah berpindah dari Makkah pergi ke Madinah.
2].Hijrah hati adalah meninggalkan sifat-sifat yang keji dan pergi
kepada sifat-sifat yang terpuji.
3].Hijrah rohani adalah meninggalkan segala yang maujud dan pergi kepada
Rasul Allah kerana hanya Rasul Allah yang boleh membimbing kepada Allah s.w.t,
sesuai dengan penyaksian:
TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH DAN MUHAMMAD RASUL ALLAH.
Ketuhanan Allah
s.w.t dan kerasulan Muhammad s.a.w tidak dipisahkan. Rasul Allah adalah umpama
jambatan yang menghubungkan segala sesuatu dengan Allah s.w.t. Bagaimana mahu
sampai kepada Allah s.w.t jika tidak melalui jambatan-Nya. Apa juga usaha dan
jalan yang diambil untuk pergi kepada Allah s.w.t, tidak akan berhasil jika tidak
diikuti jalan Rasul Allah.
Bahkan bolehlah dikatakan Allah s.w.t tidak mungkin ditemui
jika Rasul-Nya tidak ditemui. Muhammad s.a.w adalah Rasul Allah.
Semua nabi-nabi sejak Nabi Adam a.s menyaksikan bahawa Muhammad s.a.w adalah
Rasul Allah.
Tidak ada kenabian tanpa nur Kenabian Muhammad s.a.w. Tiada
syuhud (penyaksian) tanpa syuhud terhadap nur Kebenaran Muhammad s.a.w. Tidak akan sampai kepada Hakikat Allah
s.w.t tanpa fana di dalam Hakikat Muhammad s.a.w. Tiada makrifatullah
tanpa makrifat Muhammad s.a.w.
Begitulah hukum
hakikat dan makrifat. Penyaksian ketuhanan Allah s.w.t dan penyaksian kerasulan
Muhammad s.a.w tidak boleh bercerai tanggal.
Allah berfirman
dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:
WAHAI MUHAMMAD!
KAMU MELIHAT MEREKA MELIHAT KAMU, DAN MESKIPUN MEREKA MELIHAT KAMU NAMUN,
MEREKA TIDAK MENGENAL KEPADA KAMU.
Orang yang paling
hampir dengan Rasulullah s.a.w adalah Saiyidina Abu Bakar as-Siddik r.a. Beliau
berkata: "Wahai Rasulullah. Engkau tidak terpisah daripadaku meskipun aku
berada di dalam bilik kakus (tempat membuang air) "
Kelebihan Abu Bakar
r.a dari sekalian manusia adalah lantaran Sirr
yang ada pada dirinya. Sirr (Rahsia)
adalah perkaitan atau jambatan antara roh dengan Allah s.w.t. Sirr yang tersembunyi dalam rahsia hati
berkekuatan melebihi kekuatan langit dan bumi.
Sirr dapat memandang tanpa biji mata dan mendengar tanpa
telinga. Sirr tidak menetap di satu
tempat dan tidak pula mengembara. Sirr
tidak makan dan tidak minum.
Akal tidak ada
pengetahuan tentang Sirr. Sirr tidak ada hubungan dengan hukum
sebab musabab. Sirr hidup dalam abad
demi abad, sedangkan jasad hidup dalam waktu tertentu. Bila seseorang yakin
tentang Sirr nya maka dia bukan lagi
dirinya. Dia adalah daripada Allah s.w.t, sedangkan sekalian yang maujud datang
kemudian daripadanya. Tidak ada satu pun yang datang kemudian daripadanya dapat
mengalahkannya, asalkan dia mengenal kedudukannya dan membiasakan duduk di
dalam makamnya, maka dengan demikian dia lebih kuat dari bumi dan langit,
lebih kuat dari syurga dan neraka, lebih kuat dari huruf dan asma’, lebih kuat
dari apa yang nyata di dalam dunia dan akhirat.
Bagaimana hubungan
hati seseorang dengan Rasulullah s.a.w menentukan kedudukan Sirr nya. Hati yang menerima pancaran
cahaya nur Rasulullah s.a.w dikatakan hati yang ada perkaitan dengan Sirr.
Hijrah rohani
melalui berbagai-bagai peringkat sebelum sampai kepada Allah s.w.t. Seseorang salik atau murid yang melakukan
hijrah rohani kepada Allah s.w.t tidak akan berhasil mencapai maksudnya jika
dia tidak ‘bersama’ Muhammad s.a.w kerana semua pintu langit, semua pintu
syurga, semua pintu hijab dan pintu masuk ke Hadrat Allah s.w.t hanya dibuka
kepada Muhammad s.a.w dan yang menyertai Muhammad s.a.w. Berhijrah kepada
Allah s.w.t tetapi lari dari Muhammad s.a.w adalah kejahilan.
Salik yang benar
pada hijrahnya, mula-mula dikurniakan cahaya yang menerangi hatinya, membuatnya
merasakan hampir dengan Allah s.w.t, dan hatinya merasakan Allah s.w.t
berbicara dengannya. Apa sahaja yang
sampai kepada hatinya adalah juru bicara Allah s.w.t. Kemudian dia
dibawa kepada makam makrifat iaitu saling kenal mengenal. Jadilah dia seorang
yang mengenal Allah s.w.t. Makam ini adalah permulaan makam kesudahan. Ahli
tasauf sering mengucapkan:
PERMULAAN AGAMA IALAH MENGENAL ALLAH S.W.T.
Hijrah bersama-sama Rasulullah s.a.w meletakkan makrifat sebagai
permulaan, sedangkan hijrah tanpa Rasulullah s.a.w menjadikan makrifat sebagai
kesudahan jalan. Sebab itu orang yang berhijrah tanpa Rasulullah s.a.w,
setelah memperolehi makrifat mereka beragama dengan cara lain dari cara
Rasulullah s.a.w beragama.
Mereka tidak lagi berpegang kepada Sunah Rasulullah s.a.w.
Sebenarnya mereka baharu berada di ambang pintu agama, belum lagi masuk ke
dalam gerbang agama yang benar, yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w.
Setelah mencapai
makrifat, orang arif menanggalkan segala-galanya. Dia tidak lagi bersandar
kepada amal, ilmu, makrifat, aulia yang agung, malaikat dan semua yang selain
Allah s.w.t. Dia
mengikhlaskan hati pada semua perbuatannya dan niatnya hanya tertuju kepada
Allah s.w.t. Dia membenamkan dirinya
ke dalam sabar menghadapi apa juga ujian dan fitnah. Kuatlah dia berserah
diri dan tawakal kepada Allah s.w.t.
Kemudian dia naik kepada reda dengan segala hukum dan takdir Allah s.w.t.
Seterusnya dia masuk ke dalam makam syuhud, iaitu menyaksikan-Nya dengan mata
hati. Masuklah dia ke dalam makam
keteguhan.
Pada peringkat ini
dia sudah melepasi makam kalbu, kerana kalbu adalah keadaan yang
berbalik-balik, berubah-ubah, tidak tetap dan tidak teguh. Bila dia sudah
berada dalam keteguhan maka dihulurkan kepadanya perjanjian kewalian. Kewalian bukanlah kekeramatan. Sikap
menghubungkan kewalian dengan kekeramatan adalah kesilapan yang besar. Sikap
beginilah yang membuat orang tertipu dengan keramat khadam dan jin. Ada pula
yang tertipu dengan sihir yang dilakukan oleh syaitan.
Kewalian sebenarnya menggambarkan tentang nama Allah s.w.t,
al-Waliyyu, yang bermaksud Yang Menjaga, Yang Melindungi dan Yang Memelihara. Orang
yang dijadikan-Nya wali adalah orang yang dibawa masuk ke dalam wilayah-Nya
atau penjagaan, perlindungan dan pemeliharaan-Nya, dari berbalik mata hatinya
kepada selain Allah s.w.t. Seorang wali ialah orang yang tetap penglihatan mata
hatinya kepada Allah s.w.t walau dia di dalam kesibukan sekalipun.
Semua sahabat
Rasulullah s.a.w adalah wali-wali tetapi jarang kedengaran mereka mempamerkan
kekeramatan. Rasulullah s.a.w sendiri bersama-sama sahabat termulia, Abu Bakar
as-Siddiq r.a, berhijrah dari Makkah ke Madinah dengan berjalan kaki dan menaiki
unta, bukan terbang di udara dan sampai di Madinah dalam sekelip mata.
Aulia Allah yang
agung mengatakan kekeramatan adalah permainan kanak-kanak yang diperlukan
seseorang untuk meneguhkan iman, sedangkan
orang yang sudah teguh imannya tidak memerlukan kepada keramat. Seorang
wali Allah s.w.t mengatakan orang yang keramat bukanlah orang yang dapat
mengeluarkan wang dari poketnya yang kosong atau menukar daun kayu menjadi wang
kertas. Seorang yang
keramat ialah orang yang poketnya penuh dengan wang, tetapi bila dia cuba
mengambil wang di dalam poketnya itu didapatinya semua wang itu tidak ada,
walaupun begitu hatinya tidak berkocak sedikit pun oleh hal tersebut, dia tidak
berasa apa-apa.
Jadi, kewalian adalah istiqamah iaitu
keteguhan bersama-sama Allah s.w.t, bukan kekeramatan. Andainya Allah
s.w.t melahirkan kekeramatan melalui wali-Nya itu adalah kerana hikmah yang Dia
sendiri mengaturnya kerana tujuan yang hanya Dia mengetahuinya.
Orang yang berada
di dalam wilayah-Nya akan dibawa pula kepada makam pilihan. Setelah dipilih-Nya diserahkan amanat dan
disingkapkan kepadanya khazanah Rahsia-rahsia-Nya. Orang yang berada pada
peringkat ini sudah dapat menyimpan
Rahsia-rahsia Allah s.w.t, tidak membebelkannya sebagai barang murahan yang
boleh menyebabkan berlaku fitnah kepada orang ramai.
Setelah itu semua
dilalui, jadilah dia seorang khalil
atau sahabat setia.
Seorang khalil
dapat mencapai makam al-mahabbah (makam cinta).
Makam cinta ini dinamakan makam as-Sirr iaitu makam Hakikat
Muhammad s.a.w. Kefanaan di dalam makam Mahabbah ini
membakar segala tutupan dan hijab lalu tersingkaplah kemutlakan.
Lalu si hamba masuk
ke Hadrat Allah s.w.t dengan didorong oleh tarikan yang kuat oleh cahaya nur
yang pada sisi-Nya. Selamatlah si hamba itu sampai ke Hadrat Tuhannya. Allah
s.w.t yang memulakan ciptaan-Nya dan mengulanginya. Permulaan segala sesuatu
ialah Allah s.w.t dan akhirnya juga adalah Allah s.w.t. Dia Yang Awal dan Yang
Akhir.
Kami datang dari Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.
No comments:
Post a Comment