98: PENOLAKAN ALLAH S.W.T LEBIH BAIK DARIPADA PEMBERIAN MAKHLUK.
Hikmat di atas
merupakan ucapan ahli tauhid yang sebenarnya. Orang yang benar-benar bertauhid
menghukumkan bahawa sekiranya beliau menerima sebarang pemberian makhluk
sedangkan hatinya tidak melihat bahawa
pemberian itu sebenarnya dari Allah s.w.t, maka dia menerima pemberian itu tanpa
hak
Firman Allah s.w.t:
Allah jualah yang
mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan
kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk
yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun
dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaan-Nya dari apa
yang mereka sekutukan (dengan-Nya). (Ayat 40 : Surah ar-Ruum)
Firman-Nya lagi:
Bertanyalah kepada
mereka (yang musyrik itu) : “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari
langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan
siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan
mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula
yang mentadbirkan urusan sekalian alam?”
(Dengan
pertanyaaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab
(mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya!” Oleh
itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak
mahu bertakwa?” (Ayat 31 : Surah Yunus)
Pegangan tauhid adalah jelas bahawa hanya Allah s.w.t yang berkuasa
memberi sementara makhluk hanyalah ejen dalam menyampaikan pemberian itu. Menyambut
pemberian dari tangan ejen dengan melupakan Pemberi yang sebenar adalah satu
kesalahan yang layak jika dia dikatakan mengambil pemberian itu tidak secara
hak. Al-Quran dengan jelas mengajarkan agar tidak berlaku syirik ketika
menerima sesuatu, agar pemberian yang diterima itu menambahkan ketakwaan.
Tauhid juga mengajarkan:
Tauhid juga mengajarkan:
Segala puji
tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang
Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (Ayat 1 – 2 : Surah al-Faatihah)
Allah s.w.t sahaja
Tuhan sekalian alam. Dia menguruskan sekalian makhluk-Nya dengan kemurahan dan
kasih sayang. Jika seorang ibu sangat kasih dan mengambil berat tentang
anaknya, maka lebih lagi kasih sayang dan perhatian Allah s.w.t kepada
makhluk-Nya.
Tanda Allah s.w.t
mengasihi dan memberi perhatian kepada makhluk-Nya adalah Dia telah mengadakan
ketentuan dan pembahagian sejak azali, lama sebelum makhluk diciptakan. Allah
s.w.t telah pun mengadakan persediaan yang lebih dari cukup untuk menyambut
makhluk yang akan diciptakan-Nya. Setiap makhluk yang Dia ciptakan, sekali pun
sebesar zarah, telah pun ditentukan haknya sebelum ia diciptakan. Apabila
makhluk sekaliannya diciptakan, masing-masing sudah dinanti oleh hak
masing-masing, sudah ada habuan untuk mereka, hanya menunggu masa untuk
menerimanya.
Tidak ada makhluk
yang diciptakan tanpa perkiraan dan habuan untuknya. Apa juga yang
diterima oleh makhluk merupakan apa yang Allah s.w.t telah sediakan untuknya.
Oleh itu, sangatlah tidak mengenang budi, sesiapa yang menerima sesuatu
pemberian tetapi tidak melihat Allah s.w.t sebagai Pemberi yang sebenar.
Allah s.w.t telah
memberi jaminan:
Jika ada di antara
hamba-Nya yang tidak memperolehi apa yang dia inginkan, sebenarnya penolakan
itu adalah rahmat juga dari Allah s.w.t.
Dan boleh jadi kamu
suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah
Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya. (Ayat
216 : Surah al-Baqarah)
Allah s.w.t menolak
permintaan kamu kerana Allah s.w.t mahu menyelamatkan kamu dari kemudaratannya.
Kamu tidak mengetahui tetapi Allah s.w.t
mengetahui bahaya tersebut. Tanda kasihnya kepada kamu dielakkan bahaya itu
daripada kamu walaupun kamu menyangkal.
Orang yang
mengenali sifat Pemurah dan Penyayang Allah s.w.t akan berasa tenang dan
bersyukur tatkala menerima penolakan dari Allah s.w.t kerana dia yakin bahawa
Allah s.w.t telah menyelamatkannya dari sesuatu bahaya dengan penolakan itu.
Jadi, penolakan itu adalah ihsan Allah
s.w.t kepada hamba-Nya yang lemah, jahil,
tidak mengetahui apa yang tersembunyi dan tidak kuat menyelamatkan diri
sendiri.
.
No comments:
Post a Comment