3: KETEGUHAN BENTENG TAKDIR.
KEKUATAN SEMANGAT (AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN
BENTENG TAKDIR.
Kalam Hikmat
yang pertama menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian
tentang amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin
(suasana hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia
biasa hati kita cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan
kepada keberkesanan amal zahir.
Hikmat kedua
memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab
dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada keberkesanan
sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham sebab musabab
baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.
Dua Hikmat yang
lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang itu mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal
bukanlah jalannya. Pengertian yang demikian melahirkan kecenderungan
untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan
kerohanian boleh menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang meninggi
semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian mengenai
kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman
tentang makam asbab dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah
kepada Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan
cara yang melulu.
Hikmat ketiga ini
pula mengajak kita merenung kepada kekuatan
benteng takdir yang memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang
ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang
meletakkan keberkesanan kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan
akibat Ini bermakna semua kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara
berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan
mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan
mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai,
diatur dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak
termasuk di dalam takdir.
Manusia terhijab
daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang
menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati
daripada melihat kepada takdir. Keinginan,
cita-cita, angan-angan, semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada
melihat kepada kekuasaan, aturan dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab
nafsu dan hijab akal.
Nafsu yang
melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera
nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang
dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak
kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang
bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan
nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh
sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.
Dalam proses
memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada
kekuatan takdir. Akal mesti mengakui kelemahannya di dalam membuka simpulan
takdir. Nafsu mesti menerima hakikat kelemahan akal dalam perkara tersebut dan
ikut tunduk bersama-samanya. Bila
nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya
kepada takdir.
Beriman kepada
takdir seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan menyerah
kepada kejahilan. Orang yang jahil
tentang hukum dan perjalanan takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya
kepada Allah s.w.t kerana disebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan
akal untuk menimbulkan keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang
jahil dengan hakikat takdir itu masih terikat dengan sifat-sifat
kemanusiaan biasa.
Dia masih melihat bahawa makhluk boleh mendatangkan kesan kepada
kehidupannya. Tindakan
orang lain dan kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan
yang demikian menyebabkan dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri
kepada Tuhan. Sekiranya dia memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan
dalam perkara takdir tentu dia dapat bertahan dengan iman. Hadis menceritakan
tentang takdir:
Seorang lelaki
bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah iman?” Jawab
Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya,
Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan
Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t”. {
Maksud Hadis }
Pandangan kita
sering keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh
istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk merasakan
seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang
halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia Melihat dan
Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan.
Kita merasakan
apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah perkara dasar yang telah Allah s.w.t
tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia
pun membuat ketentuan baharu supaya terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan
perjuangan kita. Kita merasakan kehendak dan tadbir kita berada di hadapan
sementara Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t mengikut di belakang.
Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa kepada kesesatan
dan kederhakaan yang besar kerana
kita meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada
taraf hamba yang menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada
kesesatan dan kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal
sunnatullah atau ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut
ketentuan dan pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan.
Ilmu Allah s.w.t
meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang
dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.
Tidak ada sesuatu
kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga
yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan
Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya yang demikian itu
adalah mudah bagi Allah. (Ayat 22 : Surah al-Hadiid)
Maha Berkat (serta
Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan
akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; - ( Ayat 1 :
Surah al-Mulk )
Dan Yang telah
mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk
(ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 3 : Surah al-A’laa)
Dan Kami jadikan
bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit
dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah
ditetapkan. ( Ayat 12 : Surah al-Qamar )
Segala perkara,
tidak kira apa istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan
Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan
sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya
adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar takdir mengelilingi segala-galanya
dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu menembusi benteng takdir yang maha
teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar melainkan perjuangan dan
ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir.
Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir
untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang
didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak
berlaku kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah
takdir yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau berdenyut
satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah s.w.t
pada azali.
Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali.
Segala perkara
datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang
mengadakan ketentuan tanpa campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali
kepada-Nya kerana Dialah yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa
sesiapa pun mampu menyekat urusan-Nya.
Apabila sudah
difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir
yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka
seseorang itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah
diri. Ikhtiar dan berserah
diri sama-sama berada di dalam pagar takdir.
Jika seseorang
menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak
sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan
hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan
senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh
Allah s.w.t. Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa
kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya
nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai
kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu
adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya.
Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya datang kepadanya tetapi
usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t
sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya
itu.
Ahli tajrid
pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan
Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya
atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai
dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga
ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga
masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga
jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu
sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.
Persoalan takdir
berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang
banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam
benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak
buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan
pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula
dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada
bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja
berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan
semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang,
tidak benda lain.
Kajian akal boleh
memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat
kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah
ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’
pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi
benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan
kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia
tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah
dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat
kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang
mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga
kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran
Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja
yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.
Suasana
pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia
pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah
menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada
pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan
untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan
tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat
Manusia.
Pada Hakikat
Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya
dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan
“Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat
Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu
menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat
yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan
Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.
Dan katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : Surah Al-Israa’ )
Pentadbiran Allah
s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang
berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali
lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t.
trimakasih
ReplyDeletealhamdulillah
ReplyDeleteBagus,terima kasih
ReplyDeletealhamdulillah....IJIN MEMBACA
ReplyDeleteAlhamduliLLah. Ingin baca ulang.
ReplyDelete