39: NUR-NUR KURNIAAN ALLAH S.W.T.
DIKURNIAKAN PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T
DENGAN NUR-NUR TAWAJJUH (MENGHADAP ALLAH S.W.T) DAN BAGI ORANG YANG TELAH
SAMPAI BAGI MEREKA IALAH NUR-NUR AL-MUWAAJAHAH (MUSYAHADAH ATAU SALING
BERHADAPAN ANTARA HAMBA DENGAN ALLAH S.W.T).
MEREKA YANG PERTAMA ITU ADALAH UNTUK NUR-NUR, SEDANGKAN MEREKA YANG
TELAH SAMPAI ADALAH NUR-NUR ITU BUAT MEREKA LANTARAN MEREKA INI ADALAH KERANA
ALLAH S.W.T BUKAN KERANA SESUATU SELAIN-NYA. KATAKANLAH: “ALLAH!” KEMUDIAN
BIARKAN MEREKA (ORANG RAMAI) BERMAIN-MAIN DALAM KESESATAN.
Hikmat 39 ini
menceritakan keadaan dua golongan yang dipanggil sebagai ahli tawajjuh dan ahli
musyahadah.
1].Ahli tawajjuh
adalah orang salih yang berpegang teguh kepada syariat Allah s.w.t dan biasanya
digelar ahli syariat. Orang
salih atau ahli syariat melihat dirinya sebagai satu individu yang berkedudukan
sebagai hamba Allah s.w.t. Dia berkewajipan melaksanakan segala perintah
Allah s.w.t dan menjauhkan segala larangan-Nya. Dia melaksanakan amal
kebaikan dengan ikhlas, tidak didorong oleh riak dan ujub, tidak berbuat
sama’ah dan tidak menyombong dengan amal tersebut.
Allah s.w.t
memberkati amal ibadat yang demikian dan mengurniakan kepada mereka Nur
Tawajjuh. Nur yang demikian membuat mereka merasa damai dan tenang serta
bertambah rasa kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk
melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak ibadat
yang mereka lakukan semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan berhadap
kepada Allah s.w.t) dan semakin mereka merasa kelazatan beribadat.
Mereka bukan sahaja
meninggalkan perkara yang haram tetapi juga yang mubah. Banyak daripada perkara
yang halal ditinggalkan bagi menjaga agar mereka tidak terdorong mendekati yang
haram, apa lagi melakukannya. Inilah
sifat ahli syariat, memakai pakaian warak dan berjalan dengan Nur Tawajjuh.
2].Golongan kedua
ialah ahli musyahadah, biasanya dipanggil ahli hakikat. Ahli hakikat ialah orang yang mencapai hakikat
syariat dan tauhid sehingga tidak melihat lagi sesuatu kecuali Allah s.w.t.
Mereka menyaksikan
bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri, Maha
Mentadbir dan Maha Menentukan. Mereka menyaksikan sifat Allah Yang Maha
Sempurna dan Kekal.
Pandangan mereka
hanya tertumpu kepada Allah Azza wa Jalla. Segala yang maujud tidak memberi
bekas pada hati mereka, hanya Wujud Allah s.w.t yang menguasainya, terjadilah
musyahadah iaitu saling berhadapan. Nur-nur
al-muwaajahah meleburkan hijab yang menutupi alam maujud lalu mata hati melihat
kepada Yang Tersembunyi disebalik yang nyata.
Hamba melihat
Rahsia Tuhan yang selama ini terhijab oleh Alam al-Mulk (alam kejadian) dan
Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya. Terbukalah kepada si hamba rahsia
Alam Malakut dan nyatalah kedudukan hamba sebagai ayat atau tanda wujud. Hamba
melihat ketuhanan Allah s.w.t yang meliputi segala sesuatu dan Allah s.w.t
menyaksikan pengabdian hamba-Nya meliputi ilmunya, ahwalnya dan hatinya.
Allah s.w.t bukakan tabir hijab agar mata hati
hamba-Nya dapat menyaksikan kerajaan-Nya yang meliputi yang nyata dan juga yang
ghaib.
Dan demikianlah
Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit
dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan
sepenuh-penuh yaqin. (Ayat 75 : Surah al-An’aam)
Dan janganlah
engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan
melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat
Allah. (Ayat 88 : Surah al-Qasas)
Ada perbezaan
pandangan di antara ahli syariat dan ahli hakikat:
A).Ahli syariat berjihad membunuh musuh-musuh Allah s.w.t kerana
mengharapkan keredaan-Nya, moga-moga Allah s.w.t mengurniakan kepada
mereka nur-nur yang membawa mereka hampir kepada-Nya.
B).Ahli hakikat pula ketika berjihad dan membunuh mereka melihat kepada
firman Allah s.w.t:
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang
menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang
melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk
membinasakan orang-orang kafir). (Ayat 17 : Surah al-Anfaal)
Orang-orang yang
sampai kepada Allah s.w.t berkecimpung dalam nur-nur kerana:
Allah yang menerangi langit dan bumi. (Ayat 35 : Surah an-Nur)
Nurullah menjadi
jelas nyata pada penglihatan mata hati ahli musyahadah. Kewujudan langit dan
bumi tidak menghijab mata hati mereka. Tidak mungkin terlihat langit dan
bumi jika Nurullah tidak menerangi keduanya.
No comments:
Post a Comment