74: SYUKUR MENGIKAT NIKMAT.
BARANGSIAPA TIDAK MENSYUKURI NIKMAT BERMAKNA MEMBUKA JALAN UNTUK
KEHILANGAN NIKMAT ITU.
DAN BARANGSIAPA BERSYUKUR MAKA SESUNGGUHNYA DIA MENGADAKAN PENGIKAT BAGI
NIKMAT YANG DIPEROLEHINYA.
Biasanya kita
takrifkan nikmat sebagai harta benda atau sesuatu yang menyenangkan. Kejadian
dan keadaan yang selesa juga dianggap sebagai nikmat. Harta yang banyak adalah
nikmat. Tubuh badan yang sihat adalah nikmat. Rupa yang cantik adalah nikmat.
Suara yang merdu adalah nikmat. Betulkah
semua itu nikmat?
Jika harta menjadi
nikmat tentu sahaja orang yang mempunyai harta yang banyak akan lebih tenteram
jiwanya. Jika kesihatan adalah nikmat tentu orang yang sihat tubuh badannya
akan berasa bahagia. Jika wajah yang cantik dan suara yang merdu adalah nikmat
tentu mereka yang memilikinya mendapat kepuasan. Tetapi, apa yang berlaku
adalah sebaliknya.
Orang yang berharta
masih juga berasa miskin hingga mereka berasa perlu melakukan rasuah. Orang
yang memiliki tubuh badan yang sihat masih tidak senang dengan tubuh badannya.
Orang yang memiliki wajah yang cantik dan suara yang merdu masih tidak berasa
senang dengan kecantikan wajah dan kemerduan suara yang dimiliki oleh orang
lain.
Anehnya pula orang
yang tidak berharta, tubuh sering dihinggapi penyakit, wajah tidak cantik dan
suara tidak merdu, boleh hidup dengan aman, bahagia dan tenteram. Golongan yang
memiliki segala-galanya tidak merasakan kenikmatan sedangkan golongan yang
tidak memiliki apa-apa pula yang merasakan kenikmatan hidup ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan
istilah nikmat?
Jika kita mahu memahami maksud nikmat, kita perlu memahami perjalanan hukum
sebab musabab yang sampai kepada kita. Kita melihat
beberapa orang menerima benda yang serupa dan menghadapi keadaan yang serupa
tetapi keadaan jiwa mereka tidak serupa.
Ada orang yang
terus menerus merungut walau sebanyak mana harta yang diterimanya. Ada orang
yang terus menerus berkeluh-kesah walaupun keadaan yang menguntungkan
mendatanginya. Ada pula orang yang sentiasa tenteram walaupun tidak didatangi
harta. Namun, dia tetap tenteram walaupun didatangi keadaan cemas atau
kesusahan.
Jika kita renungkan
dengan mendalam kita dapat merasakan bahawa apa yang mendatangi kita adalah
alat, sementara sesuatu yang datang bersama-sama alat itulah yang menimbulkan
nikmat ataupun sebaliknya. Alat yang datang mungkin serupa tetapi sesuatu yang
ikut serta itu tidak serupa. Mata benda dan kejadian hanyalah kenderaan yang
membawa utusan, dan utusan inilah yang
mencetuskan kebahagiaan atau keresahan. Utusan inilah yang perlu
disingkap untuk mengenali nikmat atau celaka.
Secara umumnya sebab musabab turun mengenai manusia melalui
tiga saluran.
1).Saluran pertama dinamakan saluran dosa. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini menjadi hukuman terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan, semuanya memberi tekanan kepada jiwa. Pemilikan harta yang banyak tidak memberi kepuasan kepadanya. Pemilikan isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya.
Tidak ada nikmat yang turun melalui saluran ini. Semuanya membawa tekanan kepada jiwa sebagai balasan kepada dosa-dosa yang telah dilakukan. Jika perkara-perkara yang seharusnya menyenangkan seperti memiliki harta yang banyak dan isteri yang cantik masih memberi tekanan kepada jiwa, apa lagi pada perkara-perkara yang dipanggil bala bencana, tentu sahaja lebih menekan jiwa orang berkenaan.
Juru iring atau utusan yang bertindak pada saluran ini adalah syaitan. Syaitan adalah sahabat kepada orang yang berdosa. Syaitan adalah utusan yang buruk, busuk dan keji. Walau apa pun yang turun melalui saluran ini bau busuk syaitan itulah yang diterima oleh hati. Oleh sebab itu hati tidak dapat merasakan kenikmatan, ketenteraman dan kepuasan.
2).Saluran kedua dinamakan saluran pembersihan. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini berperanan untuk menyucikan hati. Utusan-utusan yang turun melalui saluran ini berganti-ganti antara yang baik dengan yang buruk. Utusan yang buruk berfungsi sebagai menghukum hati akibat sisa-sisa dosa yang masih melekat pada dindingnya. Utusan yang baik pula berperanan menyucikan dinding hati yang telah ditinggalkan oleh kekotoran dosa. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini pada peringkat permulaannya bercampur-campur di antara yang menggembirakan dengan yang menekankan.
Tekanan dan kelapangan yang berganti-ganti itu melahirkan kesabaran pada hati orang berkenaan. Bila hati sudah bersih sepenuhnya daripada dosa, maka hanya proses pembersihan yang berlaku, tidak ada lagi hukuman. Pada peringkat ini hanya utusan yang baik-baik membawa sebab musabab kepadanya. Utusan yang baik-baik itu adalah para malaikat yang membawa perintah Allah s.w.t. Bila tidak ada lagi gangguan dari utusan yang kotor hati dapat memperteguhkan kesabarannya.
3) Saluran ke tiga dinamakan saluran peningkatan darjat. Hati yang sudah menerima hukuman dosa dan telah pula menjalani proses penyucian, layak untuk dibawa naik kepada Allah s.w.t. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini berperanan membawa hamba hampir dengan Tuhannya. Semua perkara yang datang dibawa oleh utusan yang baik-baik, dipelihara agar tidak diganggu oleh golongan kotor dan ditapis terlebih dahulu supaya yang dibawa itu tidak memudaratkan penerimanya.
Oleh itu tidak ada sebarang tekanan dan kekeliruan pada hati yang berada di dalam saluran ini. Hati sudah melepasi peringkat sabar dan masuk ke dalam reda. Walau bala bencana yang besar turun melalui saluran ini namun, hati tidak sedikit pun terusik, keredaan sejati terhadap ketentuan Allah s.w.t menguasainya. Bala bencana itu dirasakan oleh hati sebagai nikmat.
Begitulah tiga
saluran turunnya hukum sebab musabab yang menentukan nikmat atau celaka kepada
hati yang menerimanya. Ada satu lagi saluran yang khusus bagi orang yang
dipilih khusus oleh Allah s.w.t. Orang yang pada peringkat ini sudah selamat
dari waham sebab musabab dan tidak lagi melihat kepada sebab musabab.
Penglihatan mata hatinya berpindah dari melihat kepada perjalanan sebab musabab
kepada memerhatikan perbuatan Allah s.w.t.
Allah s.w.t tidak tunduk kepada hukum sebab musabab di dalam
menentukan keputusan-Nya dan Dia tidak memerlukan sebab untuk berbuat
sesuatu yang dikehendaki-Nya. Penglihatan orang pada peringkat ini
hanya tertumpu kepada Allah s.w.t, baik dalam kenikmatan mahu pun dalam
menghadapi malapetaka. Bila Allah s.w.t menjadi terang benderang, nescaya
putuslah segala hukum sebab musabab, dan
apabila Allah s.w.t dapat dilihat dengan penyaksian hakiki mata hati nescaya
putuslah segala nisbah.
Dan (ingatlah) aku
tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. (Ayat 82 : Surah al-Kahfi)
Begitulah ucapan
Nabi Khaidir a.s menceritakan kepada Nabi Musa a.s tentang perbuatannya menebuk
perahu, membunuh kanak-kanak dan mendirikan pagar tanpa alasan yang terang.
Inilah makam yang dinyatakan oleh ayat:
Maka bukanlah kamu
yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan
mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau
melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan
orang-orang kafir). (Ayat 17 : Surah al-Anfaal)
Seorang murid yang
masih dalam peringkat pembersihan masih lagi melihat kepada sebab musabab dan
perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepadanya adalah melalui saluran
yang kedua. Dia masih dalam perjuangan, sabar menghadapi bencana dan
sabar dalam kesenangan. Dalam menghadapi bencana dia bersabar agar tidak
bergoncang imannya dan dalam menghadapi kesenangan dia bersabar agar tidak
terjatuh ke dalam kelalaian.
Sabar begini menunjukkan dia bersyukur lantaran Allah s.w.t meletakkannya di dalam saluran yang mempunyai utusan yang baik-baik yang membawa nikmat. Dia melihat bahawa sabar itu sendiri adalah nikmat yang mesti disyukuri. Jika dia tidak bersyukur dengan kesabaran yang dikurniakan kepadanya itu dia akan jatuh ke dalam saluran yang pertama di mana apa jua yang sampai kepadanya menjadi bala yang mencengkam jiwa.
No comments:
Post a Comment