40: HIJAB MENUTUP DIRI DAN ALAM GHAIB.
USAHA KAMU UNTUK MENYINGKAP KEAIBAN YANG TERSEMBUNYI DALAM DIRI KAMU
ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA USAHA KAMU UNTUK TERBUKA BAGI KAMU TIRAI GHAIB.
Sekiranya kita
mengamati Kalam-kalam Hikmat yang telah dihuraikan terlebih dahulu, kita akan
mendapati bahawa suasana yang terbaik dan kurang baik sering digandingkan.
Kita akan lebih tercenderung untuk melihat kepada suasana yang terbaik, dengan
itu mengarahkan usaha kita menuju ke arahnya. Tetapi, kita tidak terlepas
daripada sifat jahil dan tergopoh gapah. Kita mudah terkeliru dalam memilih
jalan serta tidak sabar menanti hasil yang baik.
Sebelum kita
melencung lebih jauh, Hikmat 40 ini memberi teguran dan petunjuk jalan yang
betul. Kita tidak seharusnya hanya
asyik memandang kepada mereka yang dipilih untuk sampai kepada Allah s.w.t dan
dibukakan kepada mereka ini tabir yang menutup segala keghaiban.
Walaupun kita terpesona dengan pencapaian yang telah mereka perolehi, kita
tidak sepatutnya mengarahkan semangat dan usaha gigih untuk mencapai keadaan
yang serupa.
Sudah menjadi
kebiasaan untuk sebahagian ahli tarekat mengarahkan amal ibadat dan zikir bagi
tujuan menyingkap tabir ghaib. Beberapa jenis zikir diamalkan untuk memecahkan
hijab-hijab tertentu. Zikir-zikir secara
demikian tidak menyampaikan seseorang hamba kepada Tuhannya. Setelah
mereka banyak berzikir namun, hati mereka masih berasa jauh daripada Tuhan,
maka mereka mula berasa berputus-asa dan timbullah keraguan di dalam hatinya. Keadaan yang demikian terjadi
kepada orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi
kedudukan.
Ada pula orang yang
menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kekeramatan. Di tengah jalan
mereka mendapat jazbah khadam lalu dibawa ke alam khadam. Terpesonalah mereka dengan berbagai-bagai makhluk halus yang
mempamerkan berbagai-bagai keanehan sehingga lupalah mereka kepada Allah s.w.t
yang menjadi maksud dan tujuan.
Mereka tidak lagi
meminta kepada Allah s.w.t tetapi meminta kepada khadam. Bertambah teballah dinding antara mereka dengan tauhid yang hakiki.
Kalam Hikmat di atas menarik orang yang baharu dalam perjalanan supaya menetapkan
kaki atas landasan yang betul iaitu dengan memerhatikan kepada diri sendiri, memeriksa
segala keaiban diri dan memperbetulkannya, sesuai dengan firman Allah s.w.t:
Dan juga pada diri
kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan
(dalil-dalil dan bukti itu)? (Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat)
Ungkapan yang
popular di kalangan ahli tasauf adalah:
SIAPA YANG KENAL
DIRINYA KENALLAH TUHANNYA. SIAPA YANG KENAL TUHANNYA BINASALAH JASADNYA.
Usaha menyingkap
keghaiban yang menyelimuti diri sendiri adalah sebaik-baik pekerjaan untuk
mencapai tujuan. Kenalilah keaslian diri sendiri yang suci murni. Ia tidak
dapat mengeluarkan cahayanya kerana ditutup oleh keaiban dan kekotoran yang
melekat di hati. Arahkan usaha dan perhatian untuk mencari keaiban dan
kekotoran tersebut, agar dapat dihapuskan dan dibersihkan.
Apabila kulit yang
membalut keaslian itu sudah terbuang baharulah diri kita dapat memancarkan
sinarnya. Allah s.w.t adalah nur bagi langit dan bumi. Apabila Nurullah memancar dari Hadrat Ilahi dan bertemu dengan Nurullah
yang memancar dari lubuk hati nurani hamba, maka terjadilah pertemuan Nurullah dari atas dengan Nurullah dari bawah:
Cahaya berlapis
cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan
peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan
berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu. (Ayat 35 : Surah an-Nur)
A).Hamba
menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t dan;
B).Allah s.w.t
menyaksikan pengabdian hamba.
Inilah makam musyahadah. Sekiranya kita
mahu mencapai makam ini berusahalah menyucikan diri sendiri kemudian berserah
terus kepada Allah s.w.t.
Kuncinya ialah
firman Allah:
Katakanlah (kepada
mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka
leka bermain-main dalam kesesatannya. (Ayat 91 : Surah al-An’aam)
Hanya orang yang
benar-benar berserah diri kepada Allah s.w.t boleh berkata: “Allah yang berkuasa! Allah yang
mengetahui! Allah itu dan Allah ini. Allah segala-galanya”. Kemudian mereka berpegang teguh dengan
pengakuan itu dan tidak memperdulikan lagi apa yang terjadi.
Allah s.w.t
menyambut para hamba yang demikian dengan firman-Nya:
Sesungguhnya orang-orang
yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami ialah Allah!”,
kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat
kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham):
“Janganlah kamu
bimbang (dari berlakunya perkara yang tidak baik terhadap kamu) dan
janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan
beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”. (Ayat 30 : Surah Fussilat)
Jalan untuk mencapai keteguhan hati adalah dengan berserah diri kepada
Allah s.w.t. Keteguhan hati membawa seseorang kepada syurga semasa
hidupnya. Syurga ini dinamakan makrifat dan ia lebih indah daripada syurga
akhirat kerana
a). syurga akhirat adalah makhluk ... sedangkan ;
b). syurga makrifat adalah Empunya syurga akhirat itu.
Jika syurga akhirat
itu sangat indah dan sangat sejahtera maka Empunya syurga itu Maha Indah dan
Maha Sejahtera.
Apalah nilai
keindahan di sisi Pemilik yang melahirkan keindahan, semua keindahan adalah
pancaran Keindahan-Nya.
No comments:
Post a Comment