15 - 24: ALLAH S.W.T DAN MAKHLUK.
DI ANTARA BUKTI YANG MENUNJUKKAN ADANYA KEPERKASAAN ALLAH S.W.T YANG
LUAR BIASA ADALAH YANG DAPAT MENGHIJAB ENGKAU DARIPADA MELIHAT KEPADA-NYA
DENGAN HIJAB YANG TIDAK ADA WUJUDNYA DI SISI ALLAH S.W.T.
BAGAIMANA DISANGKA ALLAH S.W.T DAPAT DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA
YANG MENZAHIRKAN SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TAMPAK
ZAHIR PADA SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA AKAN MUNGKIN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TERLIHAT
DALAM TIAP SESUATU.
SESUATU BAGAIMANA AKAN DAPAT DITUTUP OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG
TAMPAK PADA TIAP SEGALA SESUATU. BAGAIMANA MUNGKIN DIHIJAB OLEH PADAHAL DIA
YANG ADA ZAHIR SEBELUM ADA SESUATU.
BAGAIMANA MUNGKIN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG LEBIH NYATA DARI
SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG ESA, TIDAK
ADA DI SAMPING-NYA SESUATU APA PUN.
BAGAIMANA AKAN DAPAT DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG LEBIH DEKAT
KEPADA KAMU DARI SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU, ANDAINYA TIDAK ADA ALLAH
S.W.T NESCAYA TIDAK ADA SEGALA SESUATU.
ALANGKAH AJAIBNYA BAGAIMANA NAMPAK WUJUD DI DALAM ‘ADAM (YANG TIDAK
WUJUD), ATAU BAGAIMANA DAPAT BERTAHAN SESUATU YANG ROSAK BINASA ITU DI SAMPING
ZAT YANG BERSIFAT KEKAL.
Alam ini kesemuanya
adalah gelap gelita sedang yang meneranginya adalah kerana nampak Wujud Allah
s.w.t padanya. Pada hakikatnya alam
ini tidak wujud, Allah s.w.t jua yang wujud.
Tetapi apa yang
terlihat kepada kita adalah alam semata-mata sedangkan Allah s.w.t yang lebih
nyata menjadi terlindung daripada pandangan kita. Allah s.w.t yang menzahirkan
segala sesuatu, bagaimana sesuatu itu pula menghijabkan-Nya. Allah s.w.t yang
tampak nyata pada segala sesuatu, bagaimana pula Dia terlindung. Allah s.w.t
adalah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya, bagaimana pula Dia dihijab oleh
sesuatu yang tidak wujud di samping-Nya.
Hati akan hanya
diisi dengan iman (percaya) atau ragu-ragu.
Jika Nur Ilahi
menyinari hati maka mata hati akan melihat dengan iman. Seandainya pandangan mata hati tidak bersuluhkan Nur Ilahi maka
apa yang dipandangnya akan membawa keraguan dalam bentuk pertanyaan
‘bagaimana’.
Pertanyaan
‘bagaimana’ itu merupakan ujian tentang Allah s.w.t. Ia boleh memberi rangsangan
untuk menambahkan pengetahuan tentang Tuhan. Jika tidak dikawal ia akan mendorong kepada perbahasan yang tidak ada
penyelesaian kerana bidang ilmu sangat luas, tidak mungkin habis untuk
diterokai. Jika kita ikuti perbahasan ilmu, kita akan mati dahulu sebelum
sempat mendapat jawapan penghabisan. Oleh itu letakkan garisan penamat kepada
ilmu dan masuklah ke dalam iman. Iman menghilangkan keraguan dan tidak perlu
bersandar kepada bukti dan dalil-dalil.
Pengalaman hakikat akan menghapuskan pertanyaan ‘bagaimana’. Apabila
keraguan datang, ia akan disambut dengan jawapan, “Dengan Dia aku mengenal
sifat-Nya, bukan dengan sifat-Nya aku mengenal Dia. Dengan Dia aku mengenal
ilmu pengetahuan, bukan dengan ilmu pengetahuan aku mengenal Dia. Dengan Dia
aku mengenal makrifat bukan dengan makrifat aku mengenal Dia”.
No comments:
Post a Comment