90-92: QABADH DAN BASATH.
DILAPANGKAN KAMU (DIBERI KEGEMBIRAAN) SUPAYA KAMU TIDAK DITINGGALKAN
DALAM KETAKUTAN. DIBERIKAN RASA TAKUT DAN GERUN SUPAYA KAMU TIDAK DITINGGALKAN
DALAM KESUKAAN. DIBEBASKAN KAMU DARI KEDUA-DUANYA SUPAYA KAMU TIDAK DITARIK
OLEH SESUATU SELAIN DIA (ALLAH S.W.T).
ORANG ARIF, APABILA DIBERIKAN NIKMAT KELAPANGAN ATAU KEGEMBIRAAN AKAN
LEBIH BERASA TAKUT DARIPADA APABILA DIBERI NIKMAT YANG MERUPAKAN
KESEMPITAN DAN KETAKUTAN, KERANA TIDAK DAPAT TEGAK DI ATAS BATAS-BATAS
KESOPANAN DALAM KEADAAN KESENANGAN KECUALI SEDIKIT.
KELAPANGAN DAN RIA HATI MEMPUNYAI RUANG UNTUK NAFSU MENGAMBIL KESEMPATAN
DARIPADA KEGEMBIRAAN ITU DAN PADA TAKUT DAN GERUN TIDAK ADA KESEMPATAN UNTUK
NAFSU MENCELAH.
1]. Qabadh adalah perasaan yang timbul dalam hati
apabila hati berhadapan dengan sifat
keagungan Allah s.w.t. (Sifat JALAL - notes by penyusun)
Hati dapat merasai keperkasaan-Nya. Bila hati melihat keperkasaan Allah s.w.t dan
mengakui kelemahan dirinya, maka lahirlah perasan takut, gerun, kecut dan berbagai-bagai perasaan yang seumpamanya
sehingga seolah-olah berkecai sekalian tulang belulangnya, luruh segala
dagingnya dan dia merasai kelemahan yang amat sangat di samping Yang Maha
Perkasa, Maha Agung dan Maha Keras.
Orang
yang menerima nikmat dalam bentuk qabadh akan menjadi tidak bermaya,
seakan-akan lumpuh. Apa yang dialami oleh hati berbekas pada anggota zahir
Pengalaman qabadh membuat seseorang
mengetahui betapa hebatnya tuntutan Allah s.w.t jika ditegakkan keadilan dan
keperkasaan-Nya. Tidak ada dosa yang terlepas daripada perkiraan dan
hukuman-Nya.
2]. Basath pula adalah perasaan yang timbul apabila hati berhadapan dengan sifat keindahan
Allah s.w.t. (Sifat JAMAL - notes by penyusun)
Hati melihat Allah
s.w.t Yang Maha Indah, Maha Lemah-lembut, Maha Pemurah, Maha Pengampun dan
seumpamanya, lalu terasalah pada hati akan kelazatan,
kenikmatan, kesenangan, keselesaan, kesejahteraan dan seumpamanya yang
tidak terperi.
Hati
yang dipenuhi oleh basath akan merasai keriangan yang tidak terucapkan dan dia
menjadi seumpama orang yang mabuk dalam kelazatan
Pengalaman basath pula memperlihatkan
kemurahan Allah s.w.t. Walaupun hamba-Nya menghadap-Nya dengan membawa dosa
sebanyak buih di lautan namun, Dia bersedia mengampunkannya.
* *
* * *
* * *
* * *
Orang yang menerima nikmat dalam bentuk qabadh akan menjadi tidak
bermaya, seakan-akan lumpuh. Apa yang dialami oleh hati berbekas pada anggota
zahir.
Tubuh badan turut
merasakan qabadh. Jika seseorang dikuasai oleh qabadh dalam tempuh yang lama,
mungkin tubuhnya tidak dapat bertahan dan dia mungkin akan mati lantaran
takutkan Allah s.w.t. Allah s.w.t
mendatangkan qabadh sebagai memperkenalkan keperkasaan-Nya bukan untuk
membinasakan hamba-Nya.
Oleh sebab itu Dia
tidak membiarkan hamba-Nya binasa dalam qabadh, maka didatangkan-Nya pula
basath, iaitu kegembiraan yang amat sangat. Hati
yang dipenuhi oleh basath akan merasai keriangan yang tidak terucapkan dan dia
menjadi seumpama orang yang mabuk dalam kelazatan
Pengalaman yang berganti-ganti antara qabadh dan
basath menambahkan makrifat seseorang.
Qabadh dan basath adalah dua hal yang bertentangan.
Apabila seseorang hamba dimasukkan ke dalam darjat pilihan, mata hatinya tidak
lagi melihat kepada pertentangan tersebut, sebaliknya terus tertuju kepada
Allah s.w.t yang menjadikan pertentangan sebagai bukti kebijaksanaan-Nya.
Pertentangan
hanya wujud jika dilihat secara berasingan, seperti melihat tangan kanan dengan
tangan kiri. Jika kedua-duanya dilihat sebagai kesatuan, iaitu tangan kanan dan
tangan kiri itu dibawa bertemu, maka kedua-duanya itu bertemu dengan sempurna,
tiada lagi perlawanan.
Makam melihat Allah s.w.t dalam dua perkara yang bertentangan dengan
sekali pandang adalah makam ‘arifbillah. Pandangannya tidak
terlepas daripada menyaksikan Allah s.w.t. Allah s.w.t dilihat pada orang yang
kena bunuh dan orang yang membunuh dengan sekali pandang. Tidak terhijab
pandangannya oleh hukum sebab musabab. Inilah makam hamba pilihan yang
disemayamkan di Hadrat-Nya. Tidak ada sesuatu selain-Nya yang dapat menarik
keluar hamba ini dari Hadrat-Nya.
Orang ‘arifbillah
yang mengekalkan ‘ubudiyahnya terhadap Allah s.w.t melihat qabadh dan basath
sebagai ujian dari Allah s.w.t.
.
No comments:
Post a Comment