47: AL-KARIM, TUMPUAN SEGALA HAJAT.
JANGAN DILAMPAUI NIAT TUJUAN KAMU KEPADA SELAIN-NYA KERANA AL-KARIM
TIDAK DAPAT DILAMPAUI OLEH SEBARANG HARAPAN.
Orang yang masih dalam perjalanan sangat teringin untuk cepat sampai kepada
Allah s.w.t.
Dia terpesona melihat keadaan orang-orang yang telah sampai.
Kadang-kadang timbul rasa tidak sabar untuk ikut sama sampai kepada tujuannya. Perasaan
tidak sabar akan menimbulkan harapan atau cita-cita agar ada seseorang yang
dapat menolong mengangkatnya.
Orang yang
diharapkan itu mungkin terdiri daripada mereka yang telah sampai atau mungkin
juga dia menaruh harapan kepada wali-wali ghaib dan malaikat-malaikat. Maksud
dan tujuannya tidak berubah, iaitu sampai kepada Allah s.w.t tetapi dalam
mencapai maksud itu sudah diselit dengan harapan kepada selain-Nya.
Ini bermakna sifat bertawakal dan berserah dirinya sudah bergoyang.
Sebelum dia
terjatuh, Hikmat 47 ini menariknya supaya berpegang kepada al-Karim. Walau kepada siapa pun diletakkan
harapan namun, harapan dan orang berkenaan tetap mencari al-Karim. Tidak ada harapan dan cita-cita yang
dapat melepasi al-Karim.
Al-Karim
adalah salah satu daripada Asma-ul-Husna. Nama ini memberi pengertian istimewa
tentang Allah s.w.t. Al-Karim bermaksud:
1.
Allah s.w.t Maha Pemurah.
2.
Allah s.w.t memberi tanpa diminta.
3.
Allah s.w.t memberi sebelum diminta.
4.
Allah s.w.t memberi apabila diminta.
5.
Allah
s.w.t memberi bukan kerana permintaan, tetapi cukup
sekadar harapan, cita-cita dan angan-angan hamba-hamba-Nya. Dia tidak
mengecewakan harapan mereka.
6.
Allah
s.w.t memberi lebih baik daripada apa yang diminta dan diharapkan
oleh para hamba-Nya.
7.
Allah Yang Maha Pemurah tidak kedekut dalam
pemberian-Nya. Tidak dikira berapa banyak diberi-Nya dan kepada siapa Dia
memberi.
8. Paling
penting, demi kebaikan hamba-Nya sendiri, Allah
s.w.t memberi dengan bijaksana, dengan cara yang paling baik, masa yang paling
sesuai dan paling bermanafaat kepada si hamba yang menerimanya.
Sekiranya para hamba mengenali al-Karim nescaya permintaan,
harapan dan angan-angan tidak tertuju kepada yang lain melainkan kepada-Nya. Allah
al-Karim menciptakan makhluk dengan kehendak-Nya tanpa ada kaitan dengan
sebarang permintaan, cita-cita atau harapan sesiapa pun.
Dia menentukan dan menetapkan hukum pada setiap kejadian-Nya
dengan kehendak-Nya juga. Dia menyediakan segala keperluan
makhluk-Nya dan mempermudahkan makhluk-Nya memperolehi rezeki masing-masing
dengan kehendak-Nya juga. Tidak ada sesuatu yang campur tangan dalam urusan-Nya
membahagikan kebaikan kepada makhluk-Nya.
Manusia terhijab memandang kepada kemurahan al-Karim oleh
sikap mereka sendiri. Mereka menerima sesuatu kebaikan al-Karim
sebagai perkara semulajadi sehingga mereka lupa perkara yang mereka anggap
sebagai semulajadi itu sebenarnya dijadikan, tidak ada sebarang kebetulan pada
urusan Tuhan. Tuhan mengatur sesuatu
dengan rapi, kemas dan sempurna, tiada sebarang kecacatan dan tidak ada
kebetulan. Pergantian siang dengan malam, perubahan cuaca, keberkesanan
sistem sebab-akibat adalah kurniaan al-Karim untuk manfaat makhluk-Nya, tanpa sesiapa meminta Dia berbuat demikian.
Sistem perjalanan
darah, pernafasan, perkomahan, penghadhaman dan semua yang ada dengan manusia adalah kurniaan al-Karim yang memberi tanpa
diminta. Manusia tidur malamnya dan dikejutkan oleh al-Karim pada siangnya
tanpa diminta. Al-Karim menaburkan ikan-ikan di laut sebagai makanan manusia
tanpa diminta. Al-Karim menurunkan hujan dan menyuburkan pokok-pokok tanpa
diminta. Tidak dapat dinilaikan betapa
besar dan banyaknya nikmat yang disediakan oleh al-Karim untuk makhluk-Nya
tanpa mereka meminta. Makhluk berbangsa manusia adalah yang paling banyak
menikmati kemurahan al-Karim.
Makhluk yang tidak dibekalkan nafsu dan akal tidak tahu meminta. Mereka
menerima apa sahaja yang al-Karim sediakan buat mereka. Manusia yang dibekalkan
nafsu dan akal selain menerima segala nikmat yang disediakan oleh al-Karim
tanpa mereka mengajukan permintaan, mereka juga mempunyai keinginan, harapan,
cita-cita dan angan-angan. Dalam banyak perkara yang mereka inginkan mereka
ajukan permintaan kepada Allah s.w.t. Allah al-Karim bukan sekadar memberi apa
yang diminta malah Dia memberi juga apa yang dicita-citakan, diharapkan dan
angankan.
Al-Quran mengingatkan manusia supaya mengenang nikmat kebaikan dan
kemurahan Allah al-Karim.
Maka yang mana satu
di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat
manusia dan jin)? (Ayat 13 : Surah ar-Rahmaan)
Ayat di atas
diulang sebanyak 31 kali dalam satu surah sahaja iaitu surah ar-Rahman.
Wahai bangsa jin
dan bangsa manusia yang dipikulkan tanggungjawab pengabdian kepada Allah s.w.t!
Perhatikan nikmat, rahmat, kasihan belas dan kasih sayang-Nya, yang mana satu
yang mahu kalian dustakan? Allah s.w.t menanyakan yang sama sebanyak 31 kali.
Tiang Arasy bergegar sekiranya Allah s.w.t ajukan pertanyaan ini kepada
para malaikat yang menanggung Arasy. Apakah tidak hancur hati kamu mendengar
pertanyaan Tuhan ini?
Makhluk bangsa jin
yang beriman menyambut pertanyaan Tuhan ini dengan jawapan:
YA TUHANKU! TIDAK
ADA SESUATU PUN DARI KURNIA ENGKAU, YA RABBANA, YANG DAPAT KAMI DUSTAKAN.
Allah! Ar-Rahman!
Al-Karim! Kepada siapa lagi hendak kamu ajukan permintaan? Kepada siapa lagi
hendak kamu sandarkan harapan? Bukankah
Dia telah
berfirman:
Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. (Ayat 12 : Surah al-An’aam)
Contohilah sikap
Nabi Ibrahim a.s yang sentiasa bergantung kepada al-Karim dan tidak kepada yang
lain. Beliau a.s menolak pertolongan
yang ditawarkan oleh malaikat Jibrail a.s. Beliau a.s yakin bahawa Allah
al-Karim tidak akan membiarkannya. Penyerahan Nabi Ibrahim a.s kepada al-Karim
tidak sia-sia.
Kami berfirman:
“Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera atas Ibrahim!”. (Ayat 69
: Surah Anbiyaa’)
Allah s.w.t,
al-Karim, menerima penyerahan penuh Nabi Ibrahim a.s dan Dia melindungi
hamba-Nya yang bertawakal itu.
Berkata pula
seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah: “Aku akan membawanya
kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana
itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini
ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku
tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang
bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri,
dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi masalah kepada Allah),
kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. (Ayat 40 :
Surah an-Naml)
Al-Karim yang menyejukkan api dari membakar Nabi Ibrahim a.s, Dia
jugalah yang membawa Balkis dan istananya kepada Nabi Sulaiman a.s. Kurniaan
Al-Karim tidak dapat diukur dan disukat. Dia memberi terlalu banyak kerana Dia
sangat Pemurah.
No comments:
Post a Comment