14: ALLAH S.W.T YANG MENZAHIRKAN ALAM.
ALAM SEKALIANNYA ADALAH KEGELAPAN DAN YANG MENERANGKANNYA ADALAH
KERANA PADANYA KELIHATAN YANG HAQ (TANDA-TANDA ALLAH S.W.T). BARANGSIAPA
MELIHAT ALAM TETAPI DIA TIDAK MELIHAT ALLAH S.W.T SAMA ADA DALAMNYA, DI
SAMPINGNYA, SEBELUMNYA , ATAU SESUDAHNYA, MAKA DIA BENAR-BENAR MEMERLUKAN
WUJUDNYA CAHAYA-CAHAYA ITU DAN TERTUTUP BAGINYA CAHAYA MAKRIFAT OLEH TEBALNYA AWAN
BENDA-BENDA ALAM.
Alam ini pada
hakikatnya adalah gelap atau ‘adam, tidak wujud. Wujud Allah s.w.t yang
menerbitkan kewujudan alam. Tidak ada satu kewujudan yang berpisah daripada
Wujud Allah s.w.t.
Hubungan Wujud
Allah s.w.t dengan kewujudan makhluk sekiranya dibuat ibarat (sebenarnya tidak
ada sebarang ibarat yang mampu menjelaskan hakikat yang sebenarnya), perhatikan
kepada api yang dipusing dengan laju. Kelihatanlah pada pandangan kita bulatan
api.
Perhatikan pula
kepada orang yang bercakap, akan kedengaranlah suara yang dari mulutnya.
Kemudian perhatikan pula kepada kasturi, akan terhidulah baunya yang wangi.
Wujud bulatan api adalah wujud yang berkaitan dengan wujud api. Wujud suara
adalah wujud yang berkaitan dengan wujud orang yang bercakap. Wujud bau wangi
adalah wujud yang berkaitan dengan wujud kasturi. Wujud bulatan api, suara dan
bau wangi pada hakikatnya tidak wujud.
Begitulah ibaratnya
wujud makhluk yang menjadi terbitan daripada Wujud Allah s.w.t.
Wujud bulatan api
adalah hasil daripada pergerakan api. Wujud suara adalah hasil daripada
perbuatan orang yang bercakap. Wujud bau wangi adalah hasil daripada sifat
kasturi. Bulatan api bukanlah api tetapi bukan lain daripada api dan tidak
terpisah daripada api.
Suara bukanlah
orang yang bercakap tetapi bukan pula lain daripada orang yang bercakap.
Walaupun orang itu sudah tidak bercakap tetapi masih banyak lagi suara yang
tersimpan padanya. Bau wangi bukanlah kasturi tetapi bukan pula lain daripada
kasturi. Walaupun bulatan api boleh kelihatan banyak, suara kedengaran banyak,
bau dinikmati oleh ramai orang namun, api hanya satu, orang yang bercakap hanya
seorang dan kasturi yang mengeluarkan bau hanya sebiji.
Agak sukar untuk
memahami konsep ada tetapi tidak ada,
tiada bersama tetapi tidak berpisah.
Inilah konsep ketuhanan yang tidak mampu dipecahkan oleh akal tanpa penerangan
nur yang dari lubuk hati. Mata hati yang diterangi oleh Nur Ilahi dapat melihat
perkaitan antara ada dengan tidak ada, tidak bersama tetapi tidak berpisah.
Atas kekuatan
hatinya menerima sinaran Nur Ilahi menentukan kekuatan mata hatinya melihat kepada
keghaiban yang tidak berpisah dengan kejadian alam ini. Ada 4 tingkatan
pandangan mata hati terhadap perkaitan alam dengan Allah s.w.t yang
menciptakan alam.
1.
Mereka
yang melihat Allah s.w.t dan tidak melihat alam ini. Mereka
adalah umpama orang yang hanya melihat kepada api, bulatan api yang khayali
tidak menyilaukan pandangannya. Walaupun mereka berada di tengah-tengah
kesibukan makhluk namun, mata hati mereka tetap tertumpu kepada Allah s.w.t,
tidak terganggu oleh kekecuhan makhluk. Lintasan makhluk hanyalah umpama cermin
yang ditembusi cahaya. Pandangan mereka tidak melekat pada cermin itu.
2.
Mereka
yang melihat makhluk pada zahir tetapi Allah s.w.t pada batin. Mata
hati mereka melihat alam sebagai penzahiran sifat-sifat Allah s.w.t. Segala
yang maujud merupakan kitab yang menceritakan tentang Allah s.w.t. Tiap satu
kewujudan alam ini membawa sesuatu makna yang menceritakan tentang Allah s.w.t.
3.
Mereka
yang melihat Allah s.w.t pada zahirnya sementara makhluk tersembunyi. Mata
hati mereka terlebih dahulu melihat Allah s.w.t sebagai Sumber kepada segala
sesuatu, kemudian baharulah mereka melihat makhluk yang menerima kurniaan
daripada-Nya. Alam tidak lain melainkan perbuatan-Nya, gubahan-Nya, lukisan-Nya
atau hasil kerja Tangan-Nya.
4.
Mereka
yang melihat makhluk terlebih dahulu kemudian baharulah melihat Allah s.w.t. Mereka
memasuki jalan berhati-hati dan berwaspada, memerlukan masa untuk menghilangkan
keraguan, berdalil dengan akal sehingga kesudahannya ternyatalah akan Allah
s.w.t yang Wujud-Nya menguasai wujud makhluk.
5.
Selain yang
dinyatakan di atas tidak lagi dipanggil orang yang melihat Allah s.w.t.
Gambar-gambar alam, syahwat, kelalaian dan dosa menggelapkan cermin hati
mereka hingga tidak mampu menangkap cahaya yang membawa kepada makrifat.
Mereka gagal
untuk melihat Allah s.w.t sama ada di dalam sesuatu, di samping sesuatu,
sebelum sesuatu atau sesudah sesuatu. Mereka hanya melihat makhluk seolah-olah
makhluk berdiri dengan sendiri tanpa campur tangan Tuhan.
Anasir alam dan
sekalian peristiwa yang berlaku merupakan perutusan yang membawa perkhabaran
tentang Allah s.w.t. Perkhabaran itu bukan didengar dengan telinga atau dilihat
dengan mata atau difikir dengan akal. Ia adalah perkhabaran ghaib yang
menyentuh jiwa. Sentuhan tangan ghaib pada jiwa itulah yang membuat hati
mendengar tanpa telinga, melihat tanpa mata dan merenung tanpa akal fikiran.
Hati hanya mengerti
setiap perutusan yang disampaikan oleh tangan ghaib kepadanya dan hati
menerimanya dengan yakin. Keyakinan itu menjadi kunci kepada telinga, mata dan
akal. Apabila kuncinya telah dibuka, segala suara alam yang didengar, sekalian
anasir alam yang dilihat dan seluruh alam maya yang direnungi akan membawa
cerita tentang Tuhan.
Abid mendengar, melihat dan merenungi Keperkasaan
Tuhan. Asyikin mendengar, melihat dan merenungi keindahan Tuhan. Muttakhaliq
mendengar, melihat dan merenungi kebijaksanaan dan kesempurnaan Tuhan. Muwahhid
mendengar, melihat dan merenungi keesaan Tuhan.
Iaitu hari mereka
keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi
kepada Allah sesuatupun darihal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah
berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?” (Allah sendiri
menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Maha Mengatasi
kekuasaan-Nya segala-galanya!” ( Ayat 16 : Surah Mu’min )
Mereka telah
mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa
kepada mereka sebagai balasan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa. (
Ayat 42 : Surah al-Qamar )
Ayat-ayat
seperti yang di atas menggetarkan jiwa abid. Hati abid sudah ‘berada’ di
akhirat. Alam dan kehidupan ini menjadi ayat-ayat atau tanda-tanda untuknya
melihat keadaan dirinya di akhirat kelak, menghadap Tuhan Yang Esa, Maha
Perkasa, tiada sesuatu yang tersembunyi daripada-Nya.
Dialah yang telah
mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak
dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang
tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangi
pandangan(mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
Kemudian ulangilah
pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandangan(mu) itu akan berbalik kepadamu
dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan
lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). (Ayat 3 & 4 : Surah
al-Mulk)
Asyikin memandang kepada alam ciptaan dan dia mengulang-ulangi
pemandangannya. Semakin dia memandang kepada alam semakin dia melihat
kepada keelokan dan kesempurnaan Pencipta alam. Dia asyik dengan apa yang
dipandangnya.
Dialah Allah, Yang
Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang
Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nya
jualah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya
segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang tidak ada tuluk
banding-Nya, lagi Maha Bijaksana. (Ayat 24 : Surah al-Hasy-r)
Muttakhaliq menyaksikan sifat-sifat Tuhan yang dikenal dengan nama-nama
yang baik. Alam adalah perutusan untuknya mengetahui nama-nama
Allah s.w.t dan sifat-sifat Kesempurnaan-Nya. Setiap yang dipandang
menceritakan sesuatu tentang Allah s.w.t.
Sesungguhnya Akulah
Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan dirikan
sembahyang untuk mengingati Daku. (Ayat 14 : Surah Taha)
Muwahhid fana dalam
Zat. Kesedaran dirinya hilang. Melalui lidahnya muncul ucapan-ucapan seperti
ayat di atas. Dia mengucapkan ayat-ayat Allah s.w.t, bukan dia bertukar menjadi
Tuhan.
Dengan nama Allah,
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (Ayat 1 – 7 : Surah al-Faatihah)
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (Ayat 1 – 7 : Surah al-Faatihah)
Mutahaqqiq kembali kepada kesedaran keinsanan untuk memikul tugas
membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Hatinya sentiasa
memandang kepada Allah s.w.t dan bergantung kepada-Nya. Kehidupan ini adalah
medan dakwah baginya. Segala anasir alam adalah alat untuk dia memakmurkan
bumi.
AlhamduliLLah
ReplyDelete