84: NIKMAT LAHIR DAN BATIN.
APABILA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU REZEKI BERUPA RASA PUAS DENGAN TAAT
(KEPADA ALLAH S.W.T) DAN RASA CUKUP (DENGAN-NYA), MAKA KETAHUILAH TELAH
DISEMPURNAKAN ATAS KAMU NIKMAT-NIKMAT YANG LAHIR DAN YANG BATIN.
Dua jenis rezeki
yang dinyatakan oleh Hikmat 84 di atas adalah Islam dan Iman. Hamba Allah s.w.t
yang memperolehi kedua-dua rezeki tersebut menjadi insan yang beriman dan
beramal salih.
Tidak ada amal
salih tanpa iman dan tidak ada kenyataan iman tanpa amal salih. Ayat-ayat
al-Quran sering menggandingkan iman dan amal salih sebagai satu, tidak
diceraikan. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak beramal menurut apa yang
diimaninya adalah dianggap sebagai orang yang berbohong, sementara orang yang
melakukan amal sedangkan hatinya tidak beriman adalah munafik.
Kesempurnaan seorang insan terletak pada gandingan kedua-duanya, iaitu
iman dan amal salih.
Islam bererti tunduk
patuh kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi
segala larangan-Nya. Orang Islam adalah orang yang bertaklid melulu kepada
Allah s.w.t. Segala fikiran dan kehendak menjurus sepenuhnya kepada apa yang
ditunjukkan oleh Allah s.w.t, yang dibawa oleh Rasul-Nya. Akal, perasaan dan
perbuatan tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t. Ketaatan kepada Allah s.w.t
mencakupi lahir dan batin.
Perbuatan lahir sesuai dengan tuntutan syariat dan perbuatan batin pula
mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah s.w.t. Memelihara sempadan yang
ditentukan oleh Allah s.w.t secara lahir dan batin menghasilkan takwa. Semulia-mulia
hamba di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertakwa. Takwa tidak
diperolehi tanpa amalan Islam. Islam sudah cukup lengkap. Segala perintah
yang meliputi suruhan dan tegahan sudah pun dibentangkan di hadapan mata. Tidak
usah menunggu perintah yang lain lagi.
Jika Islam melahirkan amal salih, iman pula melahirkan
penyaksian mata hati (musyahadah) terhadap ketuhanan Allah s.w.t pada setiap
pandangan kepada segala perkara.
Allah s.w.t
berfirman:
Wahai orang-orang
yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya… (Ayat 136
: Surah an-Nisaa’)
Ayat di atas
ditujukan kepada orang yang sudah beriman. Mereka sudah pun beriman tetapi
masih digesa supaya beriman. Iman pada tahap permulaan berdasarkan dalil-dalil
dan pembuktian. Kemudian mereka diajak pula kepada iman dengan penyaksian mata
hati, menyaksikan Rububiyah yang
tidak pernah berpisah daripada ubudiyah.
Tanpa penyaksian
terhadap Rububiyah segala amal tidak berguna kerana orang yang beramal
menisbahkan amal itu kepada dirinya sendiri, sedangkan tiada yang melakukan
sesuatu melainkan dengan izin Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya, dengan
Haula dan Kuwwata-Nya. Himpunan amal
sebesar gunung tidak dapat menandingi iman yang sebesar zarah.
Orang yang beriman
dan menyaksikan Rububiyah pada segala perkara dan semua amal itulah orang yang
memperolehi nikmat yang sempurna lahir dan batin, kerana hubungannya dengan
Allah s.w.t tidak pernah putus.
Bismillahirrohmaanirrohiim Mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete