25: SIKAP ORANG BODOH.
TIDAK MENINGGALKAN SEDIKIT PUN DARI KEBODOHAN BAGI SESIAPA YANG
BERKEHENDAK MENGADAKAN PADA SESUATU MASA SESUATU YANG LAIN DARIPADA APA YANG
DIJADIKAN ALLAH S.W.T PADA MASA ITU.
Dalam perjalanan
menuju Allah s.w.t ada sebahagian orang yang tertinggal di belakang walaupun
mereka sudah melakukan amal yang sama seperti yang dilakukan oleh orang lain
yang lebih maju.
Satu halangan yang
menyekat golongan yang tertinggal itu adalah kebodohannya yang tidak mahu
tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t. Dia masih dipermainkan oleh nafsu dan akal
yang menghijab hatinya daripada melihat Allah s.w.t pada apa yang dilihat.
Pandangannya hanya tertuju kepada alam benda dan perkara zahir sahaja. Dia melihat kepada keberkesanan hukum
sebab-musabab dan meletakkan pergantungan kepada amalnya. Dia yakin yang dia boleh mendapatkan apa
yang dia ingini melalui usahanya.
Keadaan orang yang
disebutkan di atas telah disentuh pada Hikmat 1. Ketika rohani orang lain telah maju di dalam menuju Allah s.w.t dia
masih juga berpusing-pusing di dalam kesamaran dan keraguan. Nafsunya tetap
melahirkan keinginan-keinginan. Keinginan
diri sendiri menjadi rantai yang mengikat kaki daripada berjalan menuju Allah
s.w.t. Bagaimana boleh seseorang mendekati Allah s.w.t jika dia enggan
menjadikan Allah s.w.t sebagai Pengurus semua aspek kehidupannya.
Walau para hamba
rela atau membantah, Allah s.w.t tetap melaksanakan ketentuan-Nya. Allah s.w.t
melaksanakan kehendak-Nya pada setiap masa dan tidak ada sesiapa yang dapat
menghalang-Nya.
Tiap-tiap masa Ia
(Allah) di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan akhluk-makhluk-Nya).
(Ayat 29 : Surah ar-Rahman)
(Ayat 29 : Surah ar-Rahman)
Allah s.w.t sahaja
yang mencipta, meletakkan hukum dan peraturan, membahagikan rezeki dan
lain-lain. Dia menentukan urusan dengan bijaksana dan adil, termasuklah urusan
mengenai diri kita dan apa yang terjadi pada kita. Kita memandang diri kita dan
kejadian yang menimpa kita dalam sekop yang kecil. Allah s.w.t melihat
kepada seluruh alam dan semua kejadian, tanpa keliru pandangan-Nya kepada diri
kita dan kejadian yang menimpa kita, juga tidak beralih pandangan-Nya dari
makhluk-Nya yang lain.
Urusan
pentadbiran-Nya adalah menyeluruh dan sempurna. Orang yang tidak berbekas pada hatinya akan kesempurnaan Allah s.w.t
itu adalah orang dungu. Dia masih juga merungut tentang perjalanan hukum
takdir Ilahi, seolah-olah Tuhan harus tunduk kepada hukum makhluk-Nya. Bagi
murid yang cenderung mengikuti latihan kerohanian perlulah berusaha untuk
melenyapkan kehendak diri sendiri dan hidup dalam lakuan Allah s.w.t.
Jangan sekali-kali bertelagah dengan takdir kerana Penentu Takdir tidak
pernah berbincang dengan sesiapa pun dalam menentukan arus ketentuan-Nya.
Jika kita mahu
mengenali Allah s.w.t kita tidak boleh melihat-Nya pada satu aspek sahaja. Jika
kita melihat Allah al-Ghafur (Maha Pengampun), kita juga harus melihat Allah
al-‘Aziz (Maha Keras).
Jika kita melihat
Allah al-Hayyu (Yang Menghidupkan) kita juga harus melihat Allah al-Mumit (Yang
mematikan).
Jika kita dapat
melihat semua Sifat-sifat Allah s.w.t dalam satu kesatuan baharulah kita dapat
mengenali-Nya dengan sebenar-benar kenal. Bila Allah s.w.t dikenali dalam semua
aspek, hikmat kebijaksanaan-Nya dalam menentukan sesuatu perkara pada sesuatu
masa tidak terlindung lagi dari pandangan mata hati.
Hati yang tidak
mahu tunduk kepada Maha Pengatur tidak akan menemui kedamaian. Waktu, ruang dan
kejadian akan membuatnya gelisah kerana nafsunya tidak dapat menguasai semua
itu. Dia inginkan sesuatu perkara pada satu masa sedangkan Maha Pengatur
inginkan perkara lain. Kehendak makhluk tidak dapat mengatasi kehendak Tuhan.
Jika mahu hati menjadi tenteram usahakan
agar hati sentiasa ingat kepada Allah s.w.t.
“(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”.
Ketahuilah! Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ayat
28 : Surah ar-Ra’d)
Berimanlah kepada
Allah s.w.t dan beriman juga kepada takdir. Lepaskan waham sebab musabab yang
menjadi pagar nafsu menutup hati.
No comments:
Post a Comment