30: QADAR YANG LEBIH HALUS.
TIADA SATU NAFAS TERLEPAS DARIPADA KAMU MELAINKAN DI SITU PULA ADA QADAR
YANG BERLAKU DI ATAS KAMU.
Persoalan Qadar
telah disentuh pada Hikmat 3 dan kembali disentuh oleh Hikmat 30 ini.
Persoalan Qadar
dibangkit semula setelah disinggung tentang permintaan atau doa yang bermaksud
tuntutan terhadap Allah s.w.t. Tuntutan-tuntutan
timbul lantaran kurang menghayati tentang Qadar. Kini kita diajak merenung
perkara Qadar kepada yang sangat halus iaitu satu nafas yang terjadi kepada
kita.
Kita kurang
memerhatikan tentang nafas kerana ia terjadi secara spontan, tanpa bersusah
payah dan kita anggap remeh untuk diperhatikan. Sekarang perkara yang kita
anggap remeh inilah yang hendak kita perhatikan dengan saksama. Apakah berbeza
perkara yang dianggap remeh dengan perkara yang dianggap besar dalam
perkaitannya dengan perjalanan Qadar.
Kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri adakah setiap nafas yang
kita hembuskan itu berlaku secara percuma, tanpa perkiraan, tidak mengikut
sukatan yang Allah s.w.t tentukan? Adakah apabila kita hembuskan satu
nafas hanya nafas sahaja yang berlaku atau pada masa yang sama berbagai-bagai
lagi Qadar yang terjadi? Perkara yang dianggap kecil ini haruslah direnung
dengan mendalam agar kita mendapat pengertian tentang Qadar secara terperinci.
Nafas ialah udara
yang keluar masuk pada badan kita melalui mulut dan hidung. Satu hembusan udara
yang keluar dari badan kita dipanggil satu nafas. Nafas ini penting bagi
jasmani kita. Nafas menjadi nyawa kepada diri kita yang zahir. Penghidupan diri yang zahir diukur dengan
perjalanan nafas. Kita biasanya menyukat umur kita dengan kiraan tahun.
Kita tidak menyukat umur kita dengan kiraan bulan, apa lagi kiraan hari dan
jam. Sebenarnya sukatan yang tepat tentang umur ialah nafas. Berapa jutaan
hembusan nafas itulah umur kita.
Kita melihat Qadar
sebagai ketentuan Ilahi yang berlaku kepada kita dalam skop yang luas. Sikap
memandang Qadar secara meluas menyebabkan kita terlindung untuk melihatnya pada
setiap detik dan setiap kejadian. Sebab itu kita sering terkeluar daripada
berpegang kepada Qadar.
Andainya kita
memandang hidup secara tepat iaitu dengan hitungan nafas nescaya kita akan
melihat Qadar secara halus sebagaimana halusnya kiraan nafas. Dapatlah kita
menghayati benar-benar bahawa pada setiap hembusan nafas itu berlaku Qadar
menurut ketentuan Ilahi. Jumlah udara yang keluar masuk pada badan kita bagi
setiap perjalanan nafas adalah menurut sukatan yang Allah s.w.t tentukan.
Jumlah nafas yang akan kita hembuskan juga telah ditentukan oleh Allah s.w.t
dan apabila jumlah nafas yang telah disediakan untuk kita itu habis maka
kita akan mati.
Jika kita dapat
melihat perjalanan Qadar hingga kepada peringkat yang halus ini, nescaya
pandangan mata hati kita tidak akan terlepas daripada melihat Qadar pada setiap
detik dan pada setiap kejadian.
Kita akan melihat
bahawa jumlah air hujan yang bertitik di atas bumbung rumah kita adalah
mengikut sukatan yang telah ditentukan Allah s.w.t. Bilangan debu yang
berterbangan juga ditentukan Allah s.w.t. Helaian rambut yang gugur dari kepala
kita juga ditentukan Allah s.w.t. Panjang, lebar dan dalam luka yang kita alami
ketika berlaku kemalangan juga ditentukan Allah s.w.t.
Tidak ada satu pun
yang menyimpang dari Qadar menurut ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Allah s.w.t, al-Latif, Maha Halus, tidak ada
sesuatu yang terkeluar daripada perkiraan dan pentadbiran-Nya.
Tidak ada sesuatu yang terlepas daripada sukatan dan
timbangan-Nya. Semua makhluk berjalan di atas landasan Qadar yang
diaturkan-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak sekali-kali
lalai, tidur atau keliru. Apa yang Dia tentukan itulah yang berlaku.
Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, tidak ada yang sumbang pada penciptaan dan
perjalanan penciptaan-Nya.
Tiada sesuatupun
dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang
menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. (Ayat
56 : Surah Hud)
Tidak ada sesuatu
kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga
yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan
Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian
itu adalah mudah bagi Allah. (Ayat 22 : Surah al-Hadiid)
Allah s.w.t
mengadakan ketentuan sejak azali. Tidak
ada sesiapa yang tahu tentang ketentuan Allah s.w.t. Malaikat hanya
menjalankan perintah-Nya.
Apa yang pada sisi
malaikat boleh diubah oleh-Nya, tetapi apa yang pada sisi-Nya tidak pernah
berubah. Malaikat menjalankan tugas dan manusia melakukan kewajipan. Tuhan yang memiliki ketentuan yang mutlak.
Doa dan amal
manusia mungkin menjadi asbab kepada berlakunya perubahan pada apa yang berada
dengan malaikat yang menjalankan tugas, jika Tuhan izinkan, tetapi ia tidak mengubah apa yang pada
sisi Tuhan.
No comments:
Post a Comment